backup og meta

Doktor Tak Wajib Bagi MC Jika Anda Sakit, Tapi Boleh Minta Jika Perlu! Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2023

    Doktor Tak Wajib Bagi MC Jika Anda Sakit, Tapi Boleh Minta Jika Perlu! Ini Sebabnya

    Anda tahu apakah maksud MC yang sebenar? Apakah kegunaan sijil cuti sakit dan bagaimana cara untuk mendapatkan sijil sakit ini apabila hadir ke fasiliti kesihatan? Lihat penerangan lanjut mengenai sijil cuti sakit kerajaan dan swasta di bawah ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    Apa maksud MC dan kegunaannya?

    maksud mc

    Secara umumnya, maksud bagi ringkasan akronim MC ialah medical certificate atau sijil cuti sakit dalam bahasa Melayu.

    Berdasarkan kepada laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia, sijil sakit ialah dokumen sah atau sijil yang hanya boleh dikeluarkan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar, bagi tujuan memperakui bahawa seseorang pesakit itu tidak layak untuk menjalankan tugasnya kerana sakit (cuti bergaji).

    Ini termasuklah golongan pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

    Seseorang pekerja berhak menggunakan sijil cuti sakit apabila dia menerima pemeriksaan dan rawatan perubatan serta tidak berupaya untuk melaksanakan tugas akibat penyakit fizikal atau mental, kecederaan, kehamilan atau melahirkan anak.

    Sijil sakit ini hanya dikeluarkan selepas Pengamal Perubatan Berdaftar telah melakukan konsultasi yang sesuai dengan pesakit, termasuk mengambil sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan lain jika perlu.

    Maksud MC: Adakah butiran penyakit mesti dinyatakan dalam sijil sakit?maksud mc

    Pengamal Perubatan Berdaftar mestilah menghormati hak pesakit berkenaan kerahsiaan dan privasi mengenai penyakit yang dialami.

    Secara umumnya, butiran mengenai diagnosis pesakit tidak perlu dinyatakan dalam sijil sakit. Namun, ada sesetengah majikan yang memerlukan doktor untuk menyatakan penyakit yang dialami dalam sijil sakit tersebut.

    Walau bagaimanapun, Pengamal Perubatan Berdaftar mestilah mendapatkan keizinan daripada pesakit untuk menyatakan butiran lanjut penyakit pada sijil tersebut.

    Sekiranya pesakit tidak mengizinkan perkara tersebut, maka Pengamal Perubatan Berdaftar dianggap tidak mendapat izin dan maklumat berkenaan sama sekali tidak boleh dikeluarkan. 

    Apakah maklumat yang perlu ada dalam sijil cuti sakit?

    Sijil sakit yang dikeluarkan oleh Pengamal Perubatan Berdaftar mestilah mengandungi maklumat seperti berikut:

    • Nama dan butiran lain pesakit seperti nombor kad pengenalan
    • Tarikh pemeriksaan dijalankan dan tarikh sijil dikeluarkan
    • Tarikh tempoh cuti sakit. Bilangan hari juga perlu dinyatakan, sama ada dalam bentuk bilangan mahupun perkataan
    • Nama, alamat, nombor telefon klinik, dan nama serta nombor pendaftaran Majlis Perubatan Malaysia bagi Pengamal Perubatan Berdaftar

    Sijil sakit mestilah mempunyai nombor siri dan salinan karbon sijil tersebut hendaklah disimpan oleh doktor. Hanya doktor yang namanya tertera pada sijil sakit sahaja boleh menandatangani sijil tersebut. 

    Adakah doktor mesti memberikan sijil sakit kepada pesakit?

    maksud mc

    Maksud MC dan tujuannya adalah untuk memperakui bahawa pesakit sedang menghidap penyakit yang cukup teruk sehingga dikecualikan daripada bekerja dengan gaji penuh. Sijil ini juga sebagai notis untuk makluman dan tindakan selanjutnya oleh majikan.

    Jika Pengamal Perubatan Berdaftar dalam pertimbangan profesionalnya merasakan penyakit itu agak ringan dan dianggap tidak mengganggu kerja pesakit, dia boleh memilih untuk tidak memberikan sijil sakit atau MC kepada pesakit.

    Walau bagaimanapun, nota atau surat kehadiran boleh diberikan untuk mengesahkan kehadiran pesakit ke klinik.

    Doktor biasanya akan bertanya kepada pesakit sebelum mengakhiri konsultasi jika dia memerlukan sijil cuti sakit untuk mengelakkan sebarang masalah atau isu di kemudian hari. 

    Kesimpulan

    Pemberian sijil sakit dengan maksud MC adalah sebagai satu bentuk kemudahan bagi mereka yang sedang sakit untuk berehat sementara daripada sebarang tugas yang dilakukannya.

    Ia bukanlah satu bentuk kelayakan yang mesti digunakan setiap kali anda hadir ke klinik.

    Jika pertimbangan doktor merasakan anda tidak memerlukan sijil sakit, maka anda tidak boleh berasa kecewa atau marah jika doktor tidak memberikan MC tersebut.

    Gunakan sijil sakit untuk keperluan kecemasan sahaja, bukan sebagai satu cara atau alasan untuk anda ‘mengelat’ daripada bekerja.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan