Kehangatan Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 semakin terasa. Setiap gabungan utama parti politik negara sudah pun membentangkan tawaran dan manifesto masing-masing bagi menawan hati rakyat. Mari kita lihat antara tawaran gabungan utama parti-parti politik di Malaysia untuk pilihan raya kali ini dalam sektor kesihatan awam bagi 5 tahun akan datang.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Tiga gabungan parti politik utama di Malaysia
Fungsi pilihan raya adalah untuk menentukan kerajaan yang mentadbir negara bagi tempoh masa 5 tahun akan datang.
Pada pilihan raya umum kali ini, terdapat tiga gabungan utama dengan dominasi terbesar politik di Malaysia.
Gabungan tersebut adalah Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH).
Berdasarkan analisis kami, kesemua gabungan ini menawarkan manifesto mereka yang tersendiri untuk sektor kesihatan negara.
Mari kita lihat apa yang mereka tawarkan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.
Tawaran pilihan raya umum Perikatan Nasional (PN)
- Menyediakan kerangka dan sistem pengurusan kesihatan negara yang holistik dengan mengambil kira keperluan kesihatan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua.
- Meningkatkan peruntukan kesihatan lebih 5% daripada kadar KDNK secara berperingkat untuk memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan.
- Mengasingkan item pembelian peralatan sukan, bayaran keahlian gimnasium, sewaan peralatan sukan, fi penyertaan pertandingan daripada item gaya hidup.
- Pengecualian cukai khusus Malaysia Sihat sebanyak RM3,000 bagi aktiviti sukan dan riadah bagi mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
- Membina dan menaik taraf kemudahan kesihatan yang dilengkapi sistem sokongan keluarga pesakit terutama di kawasan luar bandar.
- Menyediakan dana khas bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan hospital.
- Menambah bilangan doktor pakar dan menaik taraf hospital daerah.
- Mempercepatkan digitalisasi dan pemodenan fasiliti serta perkhidmatan kesihatan yang bersepadu dan terangkum, termasuk membangunkan data raya komprehensif.
- Meningkatkan khidmat kesihatan bergerak di kawasan padat penduduk.
- Memperkasa akses kepada bantuan kesihatan mental di pusat kesihatan Kerajaan.
- Memperluaskan pendekatan kesihatan preventif, termasuk bagi menangani penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases).
- Membangunkan industri farmaseutikal dan peralatan perubatan untuk memastikan negara mampu memenuhi keperluan perubatan dan kesihatan serta mengurangkan kos perubatan kepada rakyat.
- Memastikan setiap hospital mempunyai jaringan pengangkutan awam yang cekap dan kemudahan parkir yang mampan.
- Memperluaskan perkhidmatan jururawat komuniti untuk pesakit seperti lumpuh dan anak berkeperluan khas di rumah.
- Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pegawai perubatan dan kumpulan sokongan termasuk perjawatan doktor, kes buli dan kebajikan houseman serta isu kekurangan doktor pakar.
Tawaran pilihan raya umum Barisan Nasional (BN)
- Memperuntukkan 5% KDNK (peningkatan daripada RM36 bilion pada tahun 2023 kepada anggaran RM77 bilion) menjelang tahun 2027 untuk perbelanjaan kesihatan bagi meningkatkan kepakaran, akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
- Pembinaan lebih banyak hospital pakar untuk disiplin seperti penyakit berjangkit dan kesihatan mental.
- Meningkatkan peluang latihan kepakaran dan sub-kepakaran di hospital swasta bagi meningkatkan jumlah pakar perubatan.
- Membangunkan sebuah Hospital Pakar Awam Wanita (HAWA) pertama sebagai hospital pakar mengkhususkan isu kesihatan wanita.
- Skim subsidi nasional untuk ujian mamogram dan saringan barah serviks.
Tawaran pilihan raya umum Pakatan Harapan (PH)
- Beralih daripada penjagaan pesakit atau “sick care” kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan (healthcare & wellness) termasuk menangani penentu sosial untuk kesihatan.
- Meningkatkan Belanjawan Kesihatan Awam kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) dalam masa 5 tahun.
- Memberi tumpuan khusus untuk menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Diseases).
- Menubuhkan Suruhanjaya Kesihatan yang akan merangka dan memantau pelaksanaan “Pelan Reformasi Kesihatan Negara.”
- Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan untuk mengukuhkan pengurusan sumber manusia, perjawatan, latihan dan perkembangan kerjaya para petugas kesihatan.
- Pengurangan tempoh menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, pemodenan fasiliti kesihatan dan mewujudkan waktu operasi yang fleksibel di klinik kesihatan berpopulasi tinggi.
- Hospital kerajaan beroperasi mengikut syif berbanding mengikut waktu kerja biasa sepertimana amalan di beberapa negara.
- Meluaskan program perlindungan mySalam kepada golongan M40.
- Memperkukuh penjagaan primer dan pencegahan melalui sistem berasaskan kapitasi Pengamal Am (General Practitioner).
- Memberi tumpuan khusus kepada agenda negara menua (ageing nation) sebagai kesiapsiagaan menjelang 2030.
- Menyegerakan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai satu perbuatan jenayah.
- Memberikan lebih perhatian untuk meningkatkan penjagaan kesihatan mental secara holistik termasuk meluaskan liputan skim insurans kepada rakyat merangkumi perlindungan dalam isu kesihatan mental.
Jadi anda rasa, tawaran pihak manakah yang lebih realistik dan menawan hati anda? Baliklah mengundi dan buat semakan pilihan raya umum untuk melihat prestasi gabungan pilihan anda.
[embed-health-tool-bmi]