Perubatan tradisional telah lama menjadi sebahagian daripada warisan budaya dan alternatif kesihatan yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia.
Dari rawatan berasaskan herba hingga teknik urutan dan akupunktur, bidang ini menawarkan pelbagai kaedah penyembuhan yang diwarisi turun-temurun.
Namun, bermula 1 Mac 2025, kerajaan akan mengambil langkah tegas bagi memastikan hanya pengamal yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibenarkan untuk beroperasi secara sah.
Tindakan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna serta meningkatkan kredibiliti industri perubatan tradisional di negara ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Apa maksud perubatan tradisional?
Ia merujuk kepada rawatan kesihatan yang berasaskan kaedah turun-temurun dan amalan budaya, termasuk penggunaan herba, akupunktur, refleksologi, urutan, serta terapi alternatif lain yang digunakan sebelum kemunculan perubatan moden.
Ia banyak diamalkan dalam pelbagai budaya seperti Melayu, Cina, dan India, dengan tujuan utama untuk merawat penyakit.
Mengapa pendaftaran perubatan ini diperlukan?
Pendaftaran pengamal perubatan tradisional Cina, Melayu mahupun India bukan sekadar satu formaliti, tetapi satu keperluan untuk memastikan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan adalah selamat, berkesan dan memenuhi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
Berikut adalah beberapa kepentingan utama pendaftaran ini:
- Keselamatan pesakit – Tanpa pemantauan yang betul, terdapat risiko bahawa rawatan yang diberikan mungkin tidak selamat atau tidak berkesan. Dengan pendaftaran, hanya pengamal yang memiliki kelayakan dan kepakaran diiktiraf dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan mereka.
- Mengelakkan penipuan – Terdapat banyak kes pengamal tidak bertauliah yang mengambil kesempatan terhadap pengguna dengan menawarkan rawatan palsu atau tidak berkesan. Melalui pendaftaran, pengguna dapat mengenali pengamal yang sah dan mengelakkan risiko ditipu.
- Pengawalan standard amalan – KKM menetapkan garis panduan tertentu bagi memastikan amalan perubatan ni dilakukan dengan cara yang profesional dan tidak membahayakan pengguna. Ini termasuk aspek kebersihan, penggunaan bahan yang selamat, dan etika perubatan.

Hukuman kepada pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar
Kerajaan memandang serius isu pengamal perubatan tradisional yang tidak berdaftar, dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan.
Berdasarkan peruntukan Akta Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2016 (Akta 775), hukuman yang boleh dikenakan adalah seperti berikut:
- Kesalahan pertama – Denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali
- Kesalahan berikutnya – Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali
Langkah ini bertujuan untuk memastikan pengamal yang beroperasi di Malaysia benar-benar kompeten dan bertanggungjawab dalam memberikan rawatan kepada pesakit.
Statistik pendaftaran pengamal perubatan tradisional

Berdasarkan data terkini daripada KKM, setakat 25 Februari 2025, sebanyak 18,802 permohonan pendaftaran telah diterima daripada pengamal perubatan tradisional dan komplementari di seluruh negara. Daripada jumlah ini:
- 14,312 pengamal tempatan telah berdaftar secara rasmi
- Perubatan tradisional Melayu mencatatkan pendaftaran tertinggi dengan 4,541 pengamal
Ini menunjukkan bahawa kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran semakin meningkat dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Melayu tetapi masih terdapat ramai yang belum mengambil tindakan untuk mendaftar.
Bagaimana cara untuk mendaftar sebagai pengamal perubatan ini?
Bagi pengamal yang masih belum berdaftar, berikut adalah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan pengiktirafan daripada KKM:
- Mengisi borang permohonan – Borang boleh didapati melalui laman web rasmi KKM atau di pejabat KKM yang terdekat.
- Menyediakan dokumen sokongan – Ini termasuk sijil latihan, pengalaman kerja, serta dokumen pengenalan diri yang sah.
- Menghadiri sesi taklimat atau temuduga – Dalam sesetengah kes, KKM mungkin akan mengadakan sesi taklimat atau temuduga untuk menilai kelayakan pengamal sebelum meluluskan pendaftaran.
- Membayar yuran pendaftaran – Yuran yang dikenakan adalah dalam jumlah yang berpatutan dan bertujuan untuk menampung kos pengurusan dan pemantauan.
Kesimpulan
Langkah kerajaan dalam menguatkuasakan pendaftaran pengamal perubatan tradisional Cina, Melayu dan India merupakan satu usaha penting untuk memastikan industri ini terus berkembang dengan cara yang selamat dan beretika.
Sebagai pengguna, kita juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih rawatan perubatan ini dengan memastikan bahawa pengamal yang dipilih adalah sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa.
Dengan cara ini, kita dapat menikmati manfaat perubatan tradisional Melayu, Cina mahupun India tanpa risiko terhadap kesihatan dan keselamatan kita.
[embed-health-tool-bmi]