Kekeringan Faraj: Kenapa Ia Terjadi & Apa Yang Boleh Anda Lakukan Mengenainya
Isu vagina kering berupaya menyerang mana-mana wanita, namun perkara ini lebih kerap berlaku pada wanita selepas menopaus.

Kondisi Miss V kering telah menjejaskan lebih daripada separuh wanita pasca-menopaus, yang berusia antara 51 hingga 60 tahun.
Teruskan pembacaan kerana artikel ini akan membantu anda memahami punca vagina kering, rawatan dan langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.
Vagina kering, apa yang perlu anda tahu?
Tahukah anda, terdapat lapisan nipis dan lembap melapisi dinding faraj?
Kelembapan ini berfungsi dengan menghasilkan persekitaran alkali, untuk membolehkan sperma bertahan dan bergerak semasa proses persenyawaan.
Cecair faraj ini juga melincirkan dinding faraj, lantas mengurangkan geseran semasa melakukan aktiviti hubungan seksual.
Seiring pertambahan usia wanita, perubahan dalam pengeluaran hormon berupaya menyebabkan dinding faraj menjadi tipis.
Semakin nipis dinding Miss V, semakin sikit sel yang bertanggungjawab mengeluarkan kelembapan. Hal ini boleh memicu isu vagina kering!
Perubahan hormon merupakan penyebab kekeringan faraj yang paling biasa, namun itu bukanlah satu-satunya penyebabnya.
Penyebab Miss V wanita kering
Kekeringan faraj selalunya disebabkan oleh penurunan kadar estrogen. Tahap estrogen wanita akan mula menurun ketika menopaus menghampiri.
Ovari menghasilkan estrogen, dan estrogen mengawal perkembangan ciri-ciri badan wanita; payudara dan bentuk badan.
Ia juga memainkan peranan penting dalam kitaran haid dan kehamilan.
Selain itu, estrogen mengekalkan tisu-tisu yang melapisi faraj tebal, lembab, dan sihat.

Apabila hormon ini berkurang, lapisan bakal menjadi lebih nipis, kering, dan kurang elastik. Perubahan ini dikenali sebagai atrofi faraj!
Tahap estrogen boleh turun atas pelbagai sebab termasuk:
- Menopaus
- Pembedahan membuang ovari
- Melahirkan anak dan menyusu
- Rawatan kanser, termasuk kemoterapi dan radiasi
- Ubat anti-estrogen untuk merawat kanser payudara atau endometriosis
Antara punca lain vagina kering turut merangkumi:
- Sindrom Sjögren: Gangguan autoimun yang melibatkan keradangan kelenjar air liur dan air mata.
- Mengambil antihistamin: Bantu menguruskan gejala selesema dan alergi. Kesan sampingan boleh merangkumi kekeringan faraj dan masalah kencing.
- Antidepresi: Ubat ini kadangkala memberi kesan sampingan seksual seperti Miss V kering, penurunan libido (rangsangan seks), dan kesukaran mengalami orgasma.
- Tekanan dan kegelisahan: Menjejaskan libido dan pelinciran faraj.
Bila anda perlu temui doktor?
Bagaimanapun, kekeringan faraj jarang menjadi indikasi kepada masalah perubatan yang serius.
Pun begitu, sekiranya tidak dirawat, vagina kering berisiko menyebabkan luka atau keretakan pada tisu faraj!
Tambah lagi, jika kondisi ini disertai pendarahan faraj yang teruk, usah buang masa dan segera dapatkan rawatan perubatan!
Semasa pemeriksaan, doktor mungkin memeriksa dinding Miss V untuk mencari luka atau bahagian kulit yang menipis.
Mereka juga boleh mengambil sampel keputihan, bagi menguji keberadaan bakteria berbahaya.
Selain itu, ujian hormon dapat menentukan sama ada anda berada dalam fasa perimenopause atau menopaus.
Jenis-jenis rawatan & tip pencegahan vagina kering
Wujud pelbagai opsyen rawatan disediakan untuk masalah ini. Beberapa pilihan boleh didapati di kaunter, manakala ada yang memerlukan preskripsi.
Krim estrogen topikal
Contoh terapi estrogen topikal merangkumi:
- Cincin faraj: Cincin yang bersifat fleksibel ini dimasukan ke dalam faraj di mana ia secara berterusan bakal melepaskan sejumlah estrogen berdos rendah ke dalam tisu. Ia juga diganti setiap 90 hari.
- Krim faraj: Krim ini boleh disapu menggunakan aplikator ke dalam faraj. Kajian menunjukkan, krim estrogen adalah rawatan yang berkesan dan diterima baik untuk atrofi faraj dan isu kekeringan, berbanding plasebo.
- Tablet faraj: Tablet ini perlu dimasuk ke dalam faraj menggunakan aplikator.
Walaupun kajian mengenai kesan jangka panjang estrogen topikal masih terhad, pilihan ini dikatakan mungkin selamat jika dibandingkan dengan terapi penggantian hormon oral.
Pun begitu, wanita yang mempunyai sejarah barah payudara, yang sedang atau mungkin hamil, atau sedang menyusu harus berbincang dengan doktor mengenai keselamatan terapi estrogen topikal terlebih dahulu.
Rawatan di kaunter
Rawatan-rawatan di kaunter juga boleh membantu menyelesaikan masalah vagina kering.
Sebagai contoh, kalian boleh menggunakan pelincir ketika bersama untuk memudahkan penetrasi.
Pelincir berasaskan air mungkin lebih baik berbanding jenis yang berasaskan minyak, kerana pelincir minyak berupaya menyebabkan kerengsaan dan kerosakan kondom.
Selain itu, anda boleh menggunakan pelembap faraj setiap 1 hingga 2 hari untuk bantu mengekalkan kelembapan semula jadi Miss V, dan ia boleh diperolehi di dalam talian.
Tip mencegah Miss V dari kering
Anda boleh mencegah atau mengurangkan kekeringan faraj dengan:

- Melakukan hubungan seks dengan kerap.
- Tidak meruang (douche) atau memakai produk penjagaan wanita dengan pewangi tiruan dan hanya mencuci menggunakan sabun bebas pewangi dan pewarna.
- Mengambil masa yang lebih banyak untuk foreplay sebelum seks untuk membangkitkan syahwat dan merangsang diri sendiri (tingkatkan pelincir semula jadi faraj).
Konklusi
Kekeringan faraj sememangnya boleh memicu ketidakselesaan di kawasan faraj dan pelvis.
Pun begitu, jarang sekali ia menjadi masalah serius atau perlu dirisaukan.
Dengan cara dan kaedah yang betul, kekeringan faraj dapat diubati dan dicegah dengan mudah!
Namun, jika anda mengalami kekeringan faraj yang berterusan, pastikan untuk berbincang dengan doktor agar mereka dapat bantu anda mendapatkan rawatan yang tepat.