backup og meta

Jom Kenali Personaliti Introvert, Extrovert Dan Ambivert! Anda Kategori Mana Satu?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 28/05/2021

    Jom Kenali Personaliti Introvert, Extrovert Dan Ambivert! Anda Kategori Mana Satu?

    Personaliti seseorang individu memang sangat kompleks kerana ada mereka yang suka menonjol, namun ada juga yang suka menyendiri.

    Disebabkan itu, telah wujud istilah introvert dan ekstrovert yang masing-masing membawa personaliti berbeza namun saling melengkapi.

    Mungkin hanya dua istilah ini yang selalu diketengahkan bukan? Namun ada satu lagi istilah yang harus kalian tahu iaitu ambivert!

    Personaliti introvert dan ekstrovert

    Bayangkan di dalam satu majlis keramaian, pasti akan wujud dua golongan individu yang berlainan cara atau kaedah mereka berkomunikasi dan bersosial.

    Pertama, akan wujud golongan yang gemar menonjol dan mereka ini digelar ekstrovert.

    Kedua, akan wujud golongan yang gemar menyendiri dan mereka ini digelar introvert.

    Menurut Kaunselor Profesional Megan MacCutcheon, kedua-duanya sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain dalam sebuah kelompok masyarakat.

    perancang keluarga

    Jom dekati individu introvert!

    Seperti yang selalu dimomokkan, mereka yang mempunyai perwatakan seperti ini sering dikaitkan dengan sifat pemalu, pemendam serta pasif.

    Ya, ia mungkin benar dan berikut adalah sedikit perincian mengenainya:

    Anda cenderung mengelak konflik

    Mereka yang introvert sangat cenderung mengelak aktiviti pergaulan bersama individu yang mereka kurang atau tidak dikenali.

    Sebenarnya, mereka bukan bersifat sombong namun sebaliknya hanya risau jika kehadiran mereka mewujudkan suasana tidak selesa.

    Disebabkan itu, pergaulan secara langsung adalah tidak sesuai buat mereka sebaliknya lebih memilih untuk bergaul secara atas talian atau melalui penulisan.

    Anda lebih gemar bersifat berwaspada

    Sebelum membuat sebarang keputusan, mereka ini lebih banyak menghabiskan masa untuk berfikir sebelum memutuskan apa-apa.

    Ini kerana mereka akan memikirkan setiap pro dan kontra yang akan berlaku serta menganalisis setiap kemungkinan yang bakal berlaku.

    Adakah ini sesuatu yang buruk? Mungkin tidak kerana pemikiran inilah yang akan membantu keberkesanan sesuatu tindakan itu.

    media sosial

    Anda adalah pendengar dan pemerhati yang baik

    Aktiviti bersosial dan berkomunikasi mungkin memerlukan lontaran suara yang menggunakan tenaga dan ini sangat memenatkan bagi mereka.

    Disebabkan itu, mereka yang introvert lebih gemar menjadi pendengar dan pemerhati sahaja setiap kali aktiviti pergaulan berkumpulan.

    Ya, ia adalah satu kelebihan kerana ini merupakan satu keperluan paling utama dalam menjadi seorang sahabat yang baik.

    Mari kenali individu ekstrovert!

    Berbeza dengan introvert, mereka yang mempunyai perwatakan seperti ini sering dikaitkan dengan tenaga yang agresif, komprehensif dan aktif.

    Ya, ia memang benar dan berikut adalah sedikit perincian mengenainya:

    Anda cenderung mencuba sesuatu yang baharu

    Kadangkala, kehidupan yang bersifat rutin pasti sangat membosankan dan disebabkan itu mereka sangat berani untuk mencuba perkara baharu.

    Tidak kira sama ada hal tersebut berbahaya dan berisiko, ia sudah tentu akan dilakukan apabila perkara itu diputuskan.

    Dalam pada itu, sifat ekstrovert dalam diri pasti akan membuat anda menjadi seorang yang cepat bertindak daripada berfikir terlebih dahulu.

    Anda lebih gemar bergerak dalam kumpulan

    Mereka yang ekstrovert lebih selesa untuk bergerak dan bekerja bersama individu lain dan sering kali dianggap sebagai ketua.

    Ini kerana tenaga yang dibawa perlu digunakan dengan baik dan dicurahkan setiap kali menyelesaikan sesuatu tugasan itu.

    Namun, sekadar aktif berbicara tidak bermakna bahawa anda adalah ketua yang baik dan ia merupakan satu skil lain yang perlu digilap.

    kesunyian

    Anda akan kesunyian apabila keseorangan

    Individu dengan personaliti ekstrovert akan membawa satu tenaga yang sangat banyak serta ia perlu disalurkan melalui komunikasi dan sosial.

    Apa yang menariknya adalah mereka ini akan lebih cepat penat apabila tidak melakukan aktiviti berbanding ketika menjayakan sesuatu.

    Disebabkan itu, mereka sangat gemar dan perlu untuk berada di tengah-tengah fokus masyarakat agar tenaga ini dapat dihabiskan dengan ideal.

    Anda bukan kedua-duanya?

    Sekiranya anda mendapati bahawa anda tidak tergolong dalam kelompok introvert dan ekstrovert, anda mungkin gabungan kedua-duanya!

    Gabungan ini dinamakan sebagai ambivert dan anda sendiri mungkin akan keliru dengan sifat aktif dan pasif yang wujud bersama dalam diri.

    Jika kalian cenderung dan gemar berada dalam kelompok masyarakat ataupun bersendiran juga tidak mengapa, ini bermakna anda adalah seorang ambivert.

    Konklusinya, personaliti seorang individu itu mungkin akan menjadi penentu bagaimana diri anda bakal menjalani kehidupan.

    Pun begitu, kesemuanya ada pro dan kontra masing-masing dan kalian tidak perlu tertekan jika tergolong dalam mana-mana personaliti.

    Percaya pada diri, maka kehidupan yang kalian jalani pasti akan menjadi lebih baik!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 28/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan