Penggunaan alat elektronik sewaktu interaksi tersebut boleh memutuskan ikatan emosi. Jika anda ingin mengekalkan kehangatan rumah tangga seperti yang pernah anda lalui dahulu sewaktu mula-mula kenal, letakkan telefon pintar anda jauh-jauh. Berikan sepenuh masa anda kepadanya.
3. Hormat waktu peribadi pasangan
Suami isteri memang akan sentiasa berkepit ke sana ke mari. Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh ada masa peribadi. Sebagai individu yang mengambil berat akan kebajikan pasangan anda, hormatilah waktu peribadi (waktu bersendirian) mereka.
Setiap individu mempunyai minat, hobi dan kehidupan sosial masing-masing. Apabila dua insan bersetuju untuk hidup bersama (kahwin), perlu ada konsep toleransi di antara mereka. Berdua-duaan setiap masa boleh menjejaskan keintiman emosi dan kepercayaan dalam jangka masa panjang.
Hormatilah masa peribadi isteri anda, nescaya, anda berdua akan lebih intim di masa yang mendatang.
4. Luangkan lebih masa bersama dengan isteri anda

Bukan senang nak cari masa untuk berdua tambahan lagi jika ada anak. Tanggungjawab yang bertambah sebagai seorang suami berserta dengan badan yang letih lesu setelah pulang daripada kerja membuatkan idea untuk meluangkan masa dengan isteri seakan-akan mustahil.
Namun, anda tidak perlu mengorbankan masa kerja untuk bersama dengan si isteri. Jangan pula ada yang ponteng kerja ya! Luangkan masa selama 30 minit setelah anak masuk tidur. Berbual dan tolong isteri anda buat kerja rumah jika ada.
Anda boleh membawa isteri anda bersiar-siar, keluar memandu berdua pada waktu malam atau minum kopi pada hari minggu. Perkara sebegini yang boleh meningkatkan keintiman emosi di antara anda dan isteri.
5. Kembalikan kehangatan berasmara dalam hubungan intim
Pada saat awal perkahwinan, semuanya nampak indah. Hormon oksitosin yang dirembeskan oleh otak membuatkan anda dan pasangan berasa gembira (euphoria) dan teruja dengan sentuhan fizikal. Namun, seperti dadah, kesannya juga akan pudar dimakan masa.
Jadi bagaimana cara untuk anda mengembalikan kehangatan asmara? Pakar Terapi Seks Dr Micheal Stysma menyarankan pasangan suami isteri untuk meningkatkan kepanjangan masa melakukan foreplay sebelum hubungan seks.
Bukan mudah nak kekalkan kehangatan selepas bertahun lamanya anda bersama. Kesannya, kebanyakan pasangan tidak melakukan hubungan seks secara kerap dan jarang menyentuh antara satu sama lain. Perkara ini boleh menjejaskan keintiman emosi pasangan tersebut.
6. Sediakan tempat yang selamat untuk isteri
Sebagai suami, anda bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang selamat untuk si isteri. Jika objektif itu tercapai, tidak sukar untuk anda mendapatkan keintiman emosi bersama dengan pasangan anda.
Walau bagaimanapun, pada situasi masa kini, ramai isteri yang tidak mendapat layanan baik daripada suami. Mereka berasa dihina, dikhianati, tidak disayangi dan mula berkelakuan buruk hingga boleh mempengaruhi keteguhan rumah tangga.
7. Dapatkan pertolongan pakar

Jika tiada jalan penyelesaian yang berkesan, jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Kaunselor dan pakar terapi hubungan mempunyai kepakaran untuk membantu pasangan mengenal pasti punca dan masalah kepada persengketaan atau hilang keintiman emosi di antara dua individu.
Konklusi
Keintiman emosi memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan rumah tangga pasangan suami isteri. Persengketaan di antara keduanya merupakan satu proses pembelajaran yang melibatkan sikap toleransi antara satu sama lain.
Namun, jika anda menghadapi masalah, pastikan anda mendapatkan nasihat dan bantuan daripada pakar.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga: