Siapa sahaja yang tidak panik apabila berlaku kondisi mata berdarah kerana ia adalah antara organ terpenting buat kita semua.
Ini terutamanya jika pendarahan dalam mata ini berlaku tanpa sebarang sebab yang jelas dan terjadi secara tiba-tiba sahaja.
Persoalannya, apa punca sebenar kondisi mata berdarah ini berlaku? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.
Apa itu kondisi mata berdarah?
Pendarahan dalam mata akan berlaku apabila terdapat salur darah di bawah permukaan mata rosak atau bocor.
Akibatnya, kawasan mata putih penderita kondisi ini akan tampak merah dan ada darah yang muncul di sekitarnya.
Selain berlaku pada kawasan mata putih, pendarahan juga mungkin boleh berlaku pada kawasan mata yang lain termasuklah:
Mata hitam (hemorrhage)
Keadaan di mana kawasan mata hitam yang berdarah namun ia adalah satu kondisi yang sangat jarang berlaku.
Pupil (hyphema)
Keadaan di mana kawasan pupil mata yang berdarah dan ia adalah sesuatu yang lebih serius.
Iris (hyphema)
Keadaan di mana kawasan iris mata yang berdarah dan juga adalah sesuatu yang lebih serius.
Kebiasaannya, kondisi mata berdarah ini tidaklah berbahaya (bergantung kepada jenisnya) namun perhatian khusus daripada doktor masih diperlukan.
Apa punca kondisi mata berdarah?
Seperti mana yang kami telah nyatakan di atas tadi, ia terjadi berpunca daripada salur darah di bawah permukaan mata rosak atau bocor.
Punca sebenar ia terjadi masih belum dapat dipastikan sepenuhnya oleh pengkaji, namun ada beberapa kemungkinan yang menjadi dalangnya.
Berikut merupakan faktor risiko penyebab mata berdarah:
- Batuk
- Bersin
- Muntah
- Reaksi alahan
- Menggosok mata dengan kuat
- Kecederaan pada mata
- Menangis tanpa henti
- Memakai kanta lekap
- Meneran ketika membuang air besar
- Mengangkat barang berat
- Menyentak kepala tiba-tiba
- Tekanan darah tinggi
- Kondisi kesihatan lain
Dalam pada itu, kondisi ini sering kali dikaitkan dengan jangkitan sakit mata biasa dan dipercayai adalah salah satu daripada komplikasinya.
Ia adalah akibat daripada jangkitan?
Jangkitan sakit mata (konjunktivitis) adalah sejenis jangkitan pada membran telus (konjuktiva) yang menyebabkan organ ini merah dan gatal.
Selaput yang melapisi kelopak mata serta menutupi mata putih ini boleh dijangkiti dengan mikroorganisme; bakteria, virus, kuman atau alergen.
Apabila dijangkiti, saluran darah pada konjunktiva ini akan mengalami kerengsaan sekali gus menyebabkan keradangan pada mata.
Jika dibiarkan tanpa mengambil ubatan dan rawatan, maka komplikasi termasuklah pendarahan dalam mata mungkin boleh berlaku.
Maka anda wajar bertindak dengan cepat sekiranya dapati mata anda mula merah, gatal dan berlaku pendarahan dalam mata.
Apa yang boleh anda buat untuk rawat?
Pertama sekali, kalian perlu tahu bahawa konjunktivitis adalah salah satu punca mata berdarah dan ia boleh berjangkit.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk kalian melakukan kuarantin sendiri di rumah untuk mengelakkan jangkitan tersebar.
Namun wujud juga beberapa punca lain pendarahan dalam mata berlaku dan ia wajar ditentukan terlebih dahulu.
Jika ia disebabkan oleh kecederaan akibat kemalangan, jangan terlambat untuk berjumpa doktor untuk mengelakkan komplikasi seperti kehilangan penglihatan.
Di samping itu, ada beberapa cara merawat kondisi ini yang kalian boleh cuba:
- Mengambil ubatan antibiotik @ antiviral
- Mengambil ubatan antihistamin
- Mengambil ubatan tahan sakit
- Menuam air suam
- Menggunakan cermin mata
- Pembedahan
Jangan terlambat rawat mata berdarah!
Meskipun kami kata pendarahan dalam mata ini adalah kondisi yang tidak begitu berbahaya dan boleh pulih dengan sendiri, namun jangan pula anda bertindak mengabaikannya.
Ini kerana proses penyembuhannya adalah sangat bergantung kepada jenis atau punca sebenar ia berlaku kepada mata anda.
Sebaiknya, jangan ambil sebarang risiko dan segera berjumpa doktor untuk diagnosis ya!