Anak Balik Sekolah Mesti Bau 'Telur', Macam Mana Cara Ibu Bapa Mengatasinya?
Anda risau anak berpeluh terlalu banyak? Kadangkala, buntu juga mencari cara menghilangkan bau peluh badan anak serta mencari punca masalah bau badan yang mereka alami.
Kepada ibu bapa di luar sana, anda perlu tahu bahawa berpeluh merupakan masalah biasa bagi kanak-kanak yang meningkat remaja. Apabila anak berpeluh dengan banyak, sudah tentulah masalah bau badan pula yang akan menyusul.
Berpeluh merupakan salah satu cara badan menyingkirkan lebihan haba dari badan. Kebiasaannya, kita akan berpeluh ketika cuaca panas atau selepas bersenam.
Apabila peluh tersejat, ia akan membawa sekali haba tersebut dan membenarkan kulit kita menyejuk.
Walau bagaimanapun, ada satu kondisi yang dikenali sebagai hiperhidrosis yang membuatkan seseorang itu berpeluh secara keterlaluan. Hiperhidrosis juga sangat lazim dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Jadi, bagaimana ibu dapat menentukan punca sebenar masalah bau badan yang dialami anak? Adakah ia sesuatu yang normal atau perlukan perhatian doktor?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Punca masalah bau badan dalam kalangan remaja
Selalunya, punca masalah bau badan yang utama datang daripada penjagaan diri yang tidak sempurna. Pola pemakanan juga boleh menyebabkan bau badan mereka lebih kuat daripada biasa.
Jika ini yang berlaku, penyelesaiannya adalah mudah. Anak hanya perlu mandi lebih kerap atau pakai deodoran untuk menyingkirkan masalah bau badan yang mereka alami.
Walaupun begitu, ada remaja atau kanak-kanak yang berpeluh lebih kerap dari orang lain. Malah, masalah ini membuatkan mereka rasa rendah diri dan malu ketika berada di sekolah.
Jika anak berpeluh secara abnormal, ini merupakan tanda hiperhidrosis. Anak anda mungkin menghidap kondisi ini jika mereka:
- Berpeluh sehingga basah baju atau bangun tidur dengan tilam yang basah.
- Berpeluh secara keterlaluan sedangkan orang lain tidak berpeluh.
- Berpeluh ketika rasa tertekan atau resah.
- Sukar memegang objek tertentu kerana tapak tangan yang basah.
Cara menghilangkan bau peluh badan anak
Sebagai ibu bapa, kita pasti akan rasa runsing jika anak berpeluh terlalu banyak atau berbau busuk. Walau bagaimanapun, kita juga haruslah faham bahawa ia sebahagian dari proses tumbesaran.
Dekati anak dengan rasa empati. Cuba fahami punca masalah bau badan yang mereka alami. Ada banyak cara menghilangkan bau peluh badan dan kebanyakkannya sangat mudah untuk dilakukan.
Ikuti tip di bawah untuk bantu anak menyelesaikan masalah bau badan yang dialami:
1. Minta anak mandi dengan kerap

Jika anak mempunyai masalah bau badan, minta anak mandi dengan kerap. Jangan lupa, gunakan sabun ketika mandi dan nasihatkan anak untuk basuh bahagian yang berbau seperti ketiak, celah kelengkang dan kaki.
Anak tidak suka mandi? Cuba bawa mereka ke pusat membeli belah dan biarkan mereka pilih sabun dan syampu yang disukai. Dengan cara ini, mereka mungkin akan lebih bersemangat untuk mandi dengan lebih kerap.
2. Pakai deodorant atau antiperspiran untuk hilangkan peluh
Anda sudah boleh mengajar anak memakai deodorant atau antiperspiran ketika mereka berusia 10 atau 11 tahun. Ini merupakan salah satu cara menghilangkan bau peluh badan yang efektif dan mudah untuk dilakukan.
Ada juga kanak-kanak yang mungkin perlu menggunakannya lebih awal dan ini merupakan sesuatu yang normal.
Walau bagaimanapun, sebelum beli, pastikan anda tahu apakah perbezaan antara deodoran dan antiperspiran. Deodoran membantu mengurangkan bau badan manakala antiperspiran mengurangkan peluh.
Jadi, belikan sesuatu yang sesuai dengan anak. Lebih baik jika ibu bapa dapat menerangkan perbezaan kedua-dua produk ini kepada anak dan minta mereka pilih sendiri. Ada juga produk yang menggabungkan deodorant dan antiperspiran.
3. Jangan lupa basuh baju anak

Jangan biarkan anak campak baju dan pakai semula jika mereka mempunyai masalah bau badan. Walaupun baju nampak bersih tapi itu tidak bermaksud ia tidak berbau! Jadi, pastikan anak basuh baju mereka setiap hari. Sama jugalah dengan stokin dan seluar dalam.
Ibu bapa juga boleh ambil kesempatan ini untuk mengajar anak cara membasuh baju. Skil ini sangat penting pada masa hadapan, lebih-lebih lagi jika anak berminat untuk masuk sekolah berasrama.
4. Kaki pun berbau juga disebabkan peluh!
Ketika ibu bapa sedang fokus pada cara menghilangkan bau peluh badan anak, mereka lupa bahawa bau busuk juga datang pada kawasan kaki.
Satu cara yang mudah untuk pastikan kaki anak tidak berbau adalah dengan memastikan mereka sentiasa memakai stokin. Jika anda biarkan anak bermain sambil memakai kasut, bau busuk pada kaki akan melekat pada kasut.
Pilih stokin yang diperbuat daripada kapas supaya ia dapat meresap peluh dengan lebih efektif. Selain itu, anda juga boleh letakkan pewangi khas ke dalam kasut anak.
