backup og meta

8 Sebab Kenapa Lagu Kanak-Kanak Seperti 'Baby Shark' Penting Untuk Tumbesaran Anak Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 18/10/2022

    8 Sebab Kenapa Lagu Kanak-Kanak Seperti 'Baby Shark' Penting Untuk Tumbesaran Anak Anda

    Cuba anda imbau kembali zaman kanak-kanak anda. Sudah pasti segala memori pahit dan manis masih anda ingat sehingga kini, bukan? Mungkin semasa zaman kanak-kanak juga terdapat cabarannya tersendiri, seperti menghafal lagu kanak kanak yang guru anda ajar di sekolah.

    Hakikatnya, zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling gembira kerana kita tidak perlu memikirkan mengenai cabaran-cabaran hidup yang timbul apabila melangkah ke alam kedewasaan berkenaan kerjaya, kewangan, hubungan dan pelbagai lagi.

    Ya, ia mungkin bukan satu cabaran yang besar. Akan tetapi, ia adalah sangat penting buat seorang kanak-kanak.

    Ini kerana lagu kanak kanak sudah menjadi sebahagian daripada pelan pengajaran dan pembelajaran di sekolah di seantero dunia.

    Bukan sahaja di sekolah, anda juga boleh lihat lagu kanak kanak dinyanyikan di kaca televisyen dan corong radio.

    Antara contoh yang paling popular di negara kita kini adalah Didi & Friends, Omar & Hana dan lain-lain. Dan jika anda adalah anak 90-an, sudah pasti anda masih ingat rancangan ALONG, bukan?

    Mungkin ada individu yang masih belum tahu bahawa lagu kanak kanak sebenarnya membawa banyak manfaat terhadap kanak-kanak. Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

    lagu kanak kanak

    Lagu Kanak kanak

    Kanak-kanak dilahirkan sebagai seorang artis yang semula jadi. Beri sahaja peluang kepada mereka untuk bercerita, berjenaka, menari atau menyanyi, sudah pasti mereka tidak akan melepaskan peluang tersebut dan mempersembahkan karya seni mereka kepada anda.

    Cuba anda bayangkan bagaimana anak anda dapat belajar abjad A sehingga Z dan angka 1 sehingga 10 tanpa sebarang lagu yang dicipta untuknya.

    Sudah pasti ia akan membuat anak anda tidak langsung mahu cuba untuk mempelajarinya.

    Hakikatnya, lagu, lirik, melodi dan segalanya yang berkaitan dengan muzik mempunyai kuasa untuk meninggalkan impak positif di dalam hidup kita asalkan ia bukannya muzik yang melalaikan dan merosakkan diri.

    Sebagai contoh, lagu kanak kanak yang selalu kita nyanyikan semasa zaman kanak-kanak dahulu kadangkala masih terngiang-ngiang di halwa telinga kita sehingga ke hari ini.

    Tanpa disedari, agu-lagu tersebut juga sebenarnya telah meninggalkan impak yang positif buat kita.

    Kepentingan lagu kanak kanak buat mereka

    Sebagai seorang kanak-kanak yang sedang mengenali dan mempelajari kehidupan, mereka perlu diajar menggunakan muzik dan lagu kanak-kanak.

    Menurut Dr. Carol Loy yang merupakan pengarah kurikulum Prasekolah Kinderland di Singapura, muzik dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan.

    Disebabkan itu, Kinderland sudah mula memperkenalkan muzik kepada kanak-kanak sejak 3 abad yang lalu lagi.

    Menurut beliau lagi, terdapat banyak kepentingan lagu anak kecil buat mereka, termasuklah:

    #1. Membantu mengembangkan bahasa kanak-kanak

    lagu kanak kanak

    Jelas sekali, penggunaan lirik lagu yang mudah dan menarik di dalam lagu kanak-kanak akan membantu kanak-kanak mempelajari dan mengembangkan bahasa mereka.

    Daripada lagu-lagu ini juga, kanak-kanak dapat mengenal pelbagai kata dan ayat yang baharu walaupun ketika itu mereka belum lagi tahu maknanya.

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Rice University’s Shepherd School of Music and University of Maryland, College Park pada tahun 2012, mereka menyatakan bahawa kanak-kanak akan mempelajari bunyi sesuatu bahasa itu terlebih dahulu sebelum maknanya.

    Ini membuktikan bahawa lagu kanak-kanak sangat penting untuk perkembangan bahasa kanak-kanak.

    #2. Melatih kanak-kanak menjadi pembaca yang baik

    Dengan meminta kanak-kanak menghafal sesuatu lirik lagu kanak kanak, ini secara tidak langsung akan membuat mereka membaca dengan penuh teliti.

    Minta mereka membaca sambil menyanyi lagu tersebut. Lama-kelamaan, mereka akan dapat membaca dengan lebih laju dan mudah sekali gus menjadikan mereka pembaca yang baik.

    #3. Melatih kanak-kanak menjadi pendengar yang baik

    Selain menjadi seorang pembaca yang baik, kanak-kanak yang dibesarkan dengan mendengar pelbagai lagu kanak kanak sudah pasti akan menjadi seorang pendengar yang baik.

    Selain membaca, cara untuk menghafal lirik lagu adalah dengan mendengarnya. Jadi, anda boleh minta anak anda mendengar sesuatu muzik lalu minta mereka mengulangnya.

    #4. Melatih keyakinan kanak-kanak

    Jika anak anda seorang pemalu, penakut dan tidak gemar menonjolkan diri, apa kata anda memberi galakan kepada mereka menerusi lagu dan muzik.

    Jadikan lagu tersebut sebagai pembakar semangat mereka untuk melakukan sesuatu perkara dan minta mereka menyanyi bersama-sama dengan anda. Lama-kelamaan mereka akan lebih yakin pada diri sendiri.

    #5. Mengajar kanak-kanak melakukan rutin

    Agak sukar untuk meminta anak anda memberus gigi, mencuci muka dan mandi dengan sendiri, bukan? Sebenarnya, kesukaran ini boleh diselesaikan dengan penggunaan lagu. 

    Ini kerana mereka amat gemar dan mudah belajar melalui pengulangan. Jadi, tidak hairanlah mereka gemar menonton kartun yang sama berulang-ulang kali.

    Oleh itu, apa kata anda gunakan lagi anak kecil yang popular bertajuk Bangun Pagi untuk mengajar anak anda tentang cara menguruskan diri ketika waktu pagi?

    Antara kandungan lirik lagunya yang dapat menarik perhatian anak anda untuk melakukan rutin pada waktu pagi sebelum ke sekolah adalah seperti berikut:

    Bangun Pagi Gosok Gigi,

    Cuci Muka Terus Mandi,

    Pakai Baju Minum Susu,

    Salam Ayah Dan Ibu.

    #6. Membantu kanak-kanak relaks

    Apabila seseorang kanak-kanak menyanyi lagu anak kecil bersama rakan-rakan mereka di sekolah, tubuh badan mereka akan merembeskan endorfin dan oksitoksin.

    Hormon-hormon ini akan membantu mereka untuk jadi lebih relaks sekaligus menghilangkan sebarang gangguan dan tekanan yang dialami oleh mereka.

    #7. Memberi kanak-kanak motivasi

    lagu kanak kanak

    Setiap lagu pasti mempunyai cerita dan pengajarannya yang tersendiri. Seperti contoh lagu Bangau Oh Bangau yang liriknya terus berlanjutan dan saling berpautan antara satu sama lain menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa setiap tindakan kita akan memberi kesan terhadap individu yang lain.

    Jadi, lagu ini mungkin akan menjadi motivasi buat mereka.

    #8. Melatih kreativiti kanak-kanak

    Cuba anda minta anak anda gubah sebuah lagu berdasarkan lagu-lagu yang sedia ada.

    Jika mereka memang gemar mendengar dan banyak menghafal lagu anak kecil, sudah pasti mereka boleh melakukannya.

    Ini kerana lagu merupakan salah satu daripada aspek muzik yang sememangnya dapat melatih kreativiti dalam diri kanak-kanak.

    Jika anak anda bukan seorang penyanyi yang baik atau memang tidak minat menyanyi, jangan putus asa.

    Ini kerana terdapat lagi cara anak anda untuk mendapatkan manfaat daripada muzik, iaitu bermain alat muzik.

    Cuba beri anak anda pegang gitar, drum atau piano dan lihat apa yang mereka boleh lakukan dengannya. Seiring dengan bakat, minat dan latihan, tidak mustahil anak anda boleh bermain alat muzik dengan baik satu hari kelak, bukan?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Kredit gambar: Popsugar.com

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 18/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan