backup og meta

Tulisan Cakar Ayam Petanda Awal Anak Alami ADHD? Ibu Ayah Kena Pantau Ini!

Tulisan Cakar Ayam Petanda Awal Anak Alami ADHD? Ibu Ayah Kena Pantau Ini!

Ada kajian yang menyebut, kanak-kanak yang mempunyai gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD) mempunyai tulisan cakar ayam. Apakah yang sebenarnya menyebabkan tulisan buruk ini?

Apakah yang dimaksudkan dengan ADHD?

Gangguan hiperaktif kekurangan perhatian atau ringkasnya ADHD adalah sejenis masalah kesihatan mental yang boleh menyebabkan tingkah laku hiperaktif dan impulsif yang melebihi tahap normal.

Mereka yang mempunyai ADHD juga mungkin menghadapi masalah untuk menumpukan perhatian pada satu-satu tugas atau tidak boleh duduk diam untuk jangka masa yang panjang.

Kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak boleh menghidap ADHD. Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), peratusan kanak-kanak yang menghidap ADHD semakin meningkat pada masa sekarang.

Terdapat banyak tanda dan gejala ADHD yang boleh berlaku. Ada yang mungkin agak tersembunyi, malah ada juga simptom yang sangat jelas kelihatan.

Sebagai contoh, jika anak anda mempunyai kemahiran tingkah laku yang lemah, kesukaran akademik, atau masalah dengan kemahiran motor, ia mungkin merupakan antara tanda bahawa mereka menghidap ADHD.

Tulisan tangan yang lemah atau agak buruk juga dikaitkan dengan tanda-tanda ADHD.

Bolehkah ADHD jadi punca tulisan cakar ayam? 

tulisan cakar ayam

Berdasarkan artikel yang diterbitkan dalam jurnal Learning Disabilities Research and Practice, terdapat banyak kajian sebelum ini yang telah mengaitkan antara ADHD dengan tulisan tangan yang boleh dikatakan sebagai tulisan cakar ayam atau buruk. 

Tulisan buruk atau tulisan cakar ayam ini mungkin melambangkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ADHD mengalami kemahiran motor yang terjejas.

Kemahiran motor adalah kemampuan seseorang kanak-kanak itu untuk membuat pergerakan dengan tubuh badan mereka.

Kemahiran motor kasar adalah melibatkan pergerakan besar, seperti berlari. Manakala kemahiran motor halus pula adalah pergerakan yang kecil seperti menulis.

Kajian yang diterbitkan itu menyatakan bahawa, separuh daripada keseluruhan kanak-kanak yang mengalami ADHD mempunyai masalah dengan kedua-dua kemahiran motor kasar dan juga halus.

Sekiranya anak anda mempunyai masalah dengan kemahiran motor halus, seperti pergerakan tersentak dan kawalan tangan yang lemah, ini akan menyukarkan mereka untuk menulis dengan cepat dan jelas. 

Tulisan cakar ayam boleh buatkan anak anda hilang keyakinan di sekolah

Akibat daripada hal ini, guru di sekolah mungkin melabelkan kerja mereka sebagai satu kerja yang comot atau tidak kemas.

Rakan-rakannya yang lain juga mungkin akan mengejek mereka terutamanya jika melibatkan kerja berkumpulan.

Pengalaman seperti ini mungkin akan menimbulkan perasaan kecewa dan rendah diri, yang boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi anak anda di sekolah dan di kawasan lain.

Selain itu, mereka mungkin mula mengelak daripada melakukan tugasan yang memerlukan banyak tulisan tangan.

Sekiranya anak anda mengalami banyak masalah dengan tulisan yang buruk, bawalah si kecil untuk berjumpa dengan pakar psikiatri.

Ini mungkin merupakan tanda ADHD atau gangguan lain.

Sekiranya anak anda telah didiagnosis dengan ADHD, tanyakan kepada pakar psikiatri mengenai strategi rawatan dan latihan yang mungkin dapat membantu mereka menulis dengan lebih mudah dan jelas. 

Bolehkah tulisan cakar ayam akibat ADHD ini dirawat?

tulisan cakar ayam

Sekiranya anak anda didiagnosis mempunyai ADHD, pakar psikiatri biasanya akan mengesyorkan rancangan rawatan.

Ia mungkin melibatkan kombinasi ubat, terapi tingkah laku, kaunseling, dan perubahan gaya hidup.

Beberapa rawatan dapat membantu meningkatkan kemahiran menulis tangan mereka, serta gejala ADHD yang lain.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Attention Disorders menunjukkan, ubat perangsang mungkin dapat membantu meningkatkan tulisan tangan yang lebih baik dan cepat dalam kalangan kanak-kanak ADHD.

Tetapi kajian turut menyatakan bahawa pengambilan ubat sahaja tidak mencukupi. Kanak-kanak yang mempunyai tulisan tangan yang lemah pada awal kajian terus mengalami masalah yang sama pada akhirnya.

Dengan kata lain, tulisan tangan mereka menjadi lebih baik melalui pengambilan ubat-ubatan, tetapi masih ada ruang untuk mereka memperbaikinya.

Satu lagi kajian dalam jurnal CNS & Neurological Disorders telah mengkaji kesan ubat-ubatan dan latihan kemahiran motor pada kanak-kanak dengan ADHD.

Kanak-kanak yang mendapat latihan kemahiran motor sahaja, atau bersama dengan ubat-ubatan, menunjukkan peningkatan dalam kemahiran motor kasar dan halus mereka.

Sebaliknya, mereka yang menerima ubat sahaja tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Latihan kemahiran motor khas, dengan atau tanpa ubat, dapat membantu anak anda mengembangkan kemahiran tulisan tangan yang lebih baik.

Kesimpulan 

Jika anak anda mempunyai tulisan tangan yang boleh dianggap sebagai tulisan buruk, bawa mereka untuk berjumpa pakar psikiatri untuk memastikan sama ada mereka mempunyai gangguan ADHD atau tidak.

Jika ada, mulakan pelan rawatan yang boleh membantu anak anda untuk memperbaiki tulisan tangan mereka ke arah yang lebih baik. 

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Kaiser, M. L., Schoemaker, M. M., Albaret, J. M., & Geuze, R. H. (2014, November 6). What is the evidence of impaired motor skills and motor control among children with attention deficit hyperactivity disorder (ADHD)? Systematic review of the literature. Research in Development Disabilities, 36C, 338-357. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25462494/. Accessed Dec 2, 2021. 

About ADHD- Overview. https://chadd.org/about-adhd/overview/. Accessed Dec 2, 2021. 

Data and Statistics About ADHD. https://www.cdc.gov/ncbddd/adhd/data.html. Accessed Dec 2, 2021. 

Trends in the Parent-Report of Health Care Provider-Diagnosis and Medication Treatment for ADHD: United States, 2003—2011. https://www.cdc.gov/ncbddd/adhd/features/key-findings-adhd72013.html/. Accessed Dec 2, 2021. 

Attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD) in children. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/adhd/symptoms-causes/syc-20350889. Accessed Dec 2, 2021. 

ADHD in children. https://www.helpguide.org/articles/add-adhd/attention-deficit-disorder-adhd-in-children.htm. Accessed Dec 2, 2021. 

Versi Terbaru

30/08/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Terlompat Sana Sini & HiperAktif Sungguh Di Rumah, Adakah Anak Alami ADHD?

Apakah Aktiviti Sesuai untuk Anak ADHD?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 30/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan