Bayi Anda Bernafas Sampai Dada Berlekuk? Si Manja Mungkin Sudah Dijangkiti Virus RSV!
Tahukah anda apa itu virus rsv? Respiratory syncytial virus atau RSV ialah virus pernafasan yang sangat biasa dan boleh menjangkiti individu daripada pelbagai peringkat umur. Bagi orang dewasa atau kanak-kanak yang sudah besar, jangkitan RSV mungkin hanya menyebabkan simptom seperti selesema. Namun, bayi khususnya boleh mengalami komplikasi yang lebih serius.

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Apa itu virus RSV?
Penyakit RSV ialah virus yang menjangkiti saluran pernafasan dan mudah merebak melalui titisan pernafasan serta sentuhan dengan permukaan yang tercemar.
Jangkitan biasanya bermula dengan simptom seperti hidung berair atau tersumbat, batuk, kurang selera makan dan demam.
Dalam sesetengah bayi, jangkitan boleh merebak ke saluran pernafasan yang lebih kecil dan menyebabkan bronkiolitis, iaitu keradangan pada saluran udara kecil di dalam paru-paru.
Bagaimana virus ini boleh membahayakan bayi?
Parent perlu tahu bahawa bayi mempunyai saluran pernafasan yang lebih kecil berbanding kanak-kanak yang lebih besar.
Apabila berlaku keradangan dan pengumpulan lendir akibat jangkitan, saluran udara boleh menjadi lebih sempit dan menyukarkan bayi untuk bernafas.
Bayi yang sangat muda,bayi pramatang serta bayi yang mempunyai keadaan kesihatan tertentu mungkin mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit RSV yang teruk.
Namun, bayi yang sihat juga boleh mengalami jangkitan yang serius. Sebab itu, ibu bapa perlu mengetahui tanda tanda rsv!
Gejala infeksi RSV berlaku pada bayi
Pada peringkat awal, penyakit RSV di bayi boleh kelihatan seperti selsema biasa. Antara tanda penyakit RSV mungkin berlaku:
- Hidung berair atau tersumbat
- Batuk
- Bersin
- Kurang selera untuk menyusu
- Demam
- Bayi kelihatan lebih letih atau meragam
Simptom biasanya berlaku sedikit demi sedikit. Dalam sesetengah kes, batuk dan masalah pernafasan boleh menjadi lebih teruk selepas beberapa hari.
Segera ke hospital jika anak anda alami tanda-tanda berikut!
Ini bahagian paling penting untuk ibu bapa setelah fahami apa itu virus RSV dan simptom infeksi RSV yang berlaku.
- Sukar bernafas
- Bernafas terlalu laju
- Dada atau bahagian bawah tulang rusuk tertarik ketika bernafas
- Hidung kembang-kempis, atau mengeluarkan bunyi berbeza ketika bernafas
- Bibir atau kulit yang kelihatan kebiruan
- Bayi terlalu lemah untuk menyusu
- Kurang kencing atau sukar dikejutkan
Jangan tunggu situasi lebih teruk untuk datang ke hospital!
Virus RSV pada bayi, bagaimana ia merebak?

Anda perlu percaya bahawa RSV sangat mudah merebak. Virus boleh tersebar apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin, serta melalui sentuhan dengan tangan atau permukaan yang tercemar sebelum menyentuh muka bayi.
Oleh itu, ibu bapa dan penjaga boleh mengurangkan risiko jangkitan dengan mencuci tangan dengan kerap, elakkan bayi berjumpa dengan individu yang sedang sakit dan membersihkan permukaan yang kerap disentuh.
Elakkan juga membawa bayi berjumpa individu yang mempunyai simptom selsema, terutama ketika bayi masih kecil.
Bolehkah penyakit RSV dicegah?
Tiada cara yang menjamin bayi tidak akan dijangkiti RSV. Namun, beberapa langkah boleh membantu mengurangkan risiko.
- Amalkan kebersihan tangan
- Elakkan berkongsi peralatan makan atau minuman
- Jauhkan bayi daripada asap rokok.
Individu yang mempunyai simptom jangkitan pernafasan juga sebaiknya mengurangkan kontak rapat dengan bayi.
Jangan pandang ringan batuk dan selesema si manja
RSV memang biasa berlaku, tetapi kesannya tidak sama bagi setiap bayi.
Perhatikan cara bayi anda bernafas, keupayaan menyusu, tahap kecergasan dan jumlah lampin basah.
Jika naluri ibu bapa anda merasakan bayi kelihatan lebih tidak sihat daripada biasa, terus dapatkan nasihat doktor.
Dalam penjagaan bayi, mengenali apa itu virus rsv dan tanda-tandanya lebih awal boleh memberi perbezaan yang besar!