backup og meta

Bila Waktu Sesuai Sunat Anak Lelaki, Ketika Bayi Atau Tunggu Besar Sikit?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/01/2023

    Bila Waktu Sesuai Sunat Anak Lelaki, Ketika Bayi Atau Tunggu Besar Sikit?

    Sunat bayi lelaki sudah menjadi kewajipan dalam budaya masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia. Namun, amalan sunat anak lelaki ini tidak lebih daripada sekadar memenuhi tuntutan agama dan juga budaya.

    Persoalannya, adakah amalan sunat bayi lelaki ini benar-benar bermanfaat?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

    Ini yang dimaksudkan dengan sunat bayi lelaki

    Sunat atau khatan bermaksud satu prosedur yang dilakukan bagi membuang kulit kulup yang terdapat pada kepala zakar bayi lelaki.

    Apabila kulit kulup ini dibuang, maka bahagian hujung kepala zakar akan terdedah.

    Di negara-negara Amerika Selatan, kebanyakan bayi lelaki akan disunat dalam tempoh 10 hari pertama selepas kelahiran.

    Biasanya, ia hanya akan dilakukan dalam masa 48 jam sahaja selepas dilahirkan.

    Manakala dalam budaya masyarakat Melayu, amalan sunat bagi lelaki lebih kerap dilakukan apabila mereka sudah mula mencapai umur kanak-kanak. 

    Apakah hukum mengkhatankan bayi lelaki?

    sunat bayi lelaki

    Dalam Islam, hukum sunat bayi lelaki ini sebenarnya bergantung kepada mazhab yang menjadi pegangan sesuatu masyarakat atau negara.

    Majoriti penduduk Islam di Malaysia berpegang kepada Mazhab Syafie, oleh itu kita boleh melihat hukum mengkhatankan bayi lelaki ini dari sudut pandangan yang telah ditetapkan oleh mazhab ini.

    Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib bagi kedua-dua lelaki dan juga perempuan.

    Disunatkan untuk mengkhatankan bayi pada hari ketujuh kelahirannya.

    Namun, ia mestilah melihat kepada tubuh atau keadaan fizikal bayi tersebut sebelum dia disunatkan agar tidak menyebabkan sebarang kesan buruk akibat daripada prosedur bersunat.

    Dalam budaya masyarakat Melayu, biasanya sesuatu kenduri atau majlis kecil-kecilan akan dilakukan bagi menyambut hari berkhatan anak mereka.

    Kenduri yang dianjurkan ini lebih bersifat kepada kenduri kesyukuran.

    Amalan melakukan kenduri ini hanyalah satu amalan budaya masyarakat sahaja, dan bukanlah satu kewajipan dalam Islam.

    Walaupun bukan satu kewajipan, ia merupakan satu usaha yang agak baik kerana kita bersedekah dengan cara memberi makan kepada orang lain. 

    Umur yang sesuai untuk sunat bayi lelaki

    Untuk pengetahuan anda, sunat anak lelaki ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.

    Ini bermaksud, anak anda boleh disunatkan tanpa mengira tahap umur mereka.

    Di negara-negara Amerika Selatan atau Latin, sunat bayi lelaki biasa dilakukan sejurus selepas kelahiran si manja.

    Namun, memandangkan proses berkhatan ini sedikit menyakitkan, bayi akan diberikan dengan bius setempat (local anesthetic) untuk memberikan rasa kebas pada bahagian kulup yang akan dibuang.

    Bayi masih berada dalam keadaan sedar kerana bius yang diberikan hanya diletakkan di kawasan yang hendak dibuang.

    Jika anda mahu mengkhatankan anak anda apabila mereka sudah agak dewasa, ia juga boleh dilakukan.

    Namun memandangkan anak anda sudah agak dewasa dan lebih sedar berkenaan alat kelamin mereka, maka mereka mungkin akan mengalami kesan psikologi berkenaan prosedur berkhatan yang menyebabkan mereka berasa agak takut untuk menjalaninya.

    Kebaikan sunat anak lelaki

    sunat bayi lelaki

    Tahukah anda, ada beberapa manfaat atau kebaikan jika anda mengkhatankan anak lelaki anda sewaktu mereka masih bayi.

    Antara kelebihan tersebut ialah memudahkan proses pembersihan kemaluan bayi.

    Apabila bayi lelaki anda telah disunatkan, zakar mereka akan menjadi lebih mudah untuk dibersihkan.

    Ini boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan yang disebabkan oleh bakteria.

    Selain itu, amalan berkhatan bayi lelaki boleh mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing (UTI) sehingga 90%.

    Amalan berkhatan bayi juga boleh mengurangkan kejadian balanitis, iaitu sejenis jangkitan pada kelenjar atau kepala zakar.

    Risiko untuk mengalami jangkitan pada kulit kulup atau posthitis akan semakin berkurangan.

    Jangan terkejut jika amalan bersunat bayi juga boleh mengelakkan kejadian phimosis, iaitu keadaan di mana kulup tidak boleh ditarik yang menyebabkan kepala zakar menjadi ‘tercekik’.

    Selain itu, apabila bayi ini sudah semakin membesar dan meningkat dewasa, berkhatan juga boleh memberikan beberapa kebaikan lain.

    Antaranya: 

    • Mengurangkan risiko berlakunya kanser zakar
    • Mengurangkan kejadian iritasi, keradangan dan jangkitan lain pada zakar
    • Mengurangkan risiko mendapat penyakit jangkitan kelamin (STD)

    Cara berpantang selepas sunat anak lelaki

    sunat bayi lelaki

    Bayi atau kanak-kanak yang telah berkhatan masih perlu menjalani beberapa pantang untuk memastikan mereka cepat sembuh dan tidak mengalami masalah lain.

    Antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh ibu bapa ialah:

    • Pastikan mereka berehat sepanjang tempoh berpantang. Elakkan anak anda terlibat dengan sebarang aktiviti fizikal yang bersifat kasar atau lasak seperti menaiki basikal atau membonceng motosikal
    • Pastikan hujung kepala zakar sentiasa berada dalam keadaan yang kering dan bersih. Bengkak pada peringkat awal sejurus selepas prosedur bersunat akan kembali surut dalam beberapa hari. Jadi, ingat, bayi anda mungkin memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hingga 10 hari untuk sembuh dengan baik
    • Berikan anak anda (kanak-kanak sahaja) ubat tahan sakit seperti paracetamol jika perlu

    Kesimpulan

    Secara umumnya, sunat anak lelaki memberikan banyak manfaat kepada si kecil anda.

    Sunat bayi lelaki merupakan satu perkara yang wajib dalam agama Islam. Oleh itu, anda sudah boleh mula merancang bilakah mahu mengkhatankan anak anda.

    Dengan teknologi perubatan moden, ibu bapa tidak perlu berasa risau atau ragu-ragu untuk mengkhatankan bayi lelaki lebih awal daripada biasa. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 03/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan