Didikan seni dan kreatif sangat penting dalam pembentukan fizikal dan perkembangan emosi anak anda pada hari ini. Seni bukan sahaja dapat membantu dari aspek pembangunan emosi atau rohani, seni juga dapat membantu dalam perkembangan fizikal kanak-kanak yang amat diperlukan seperti kemahiran menulis semasa dewasa kelak. Oleh itu, ibu bapa haruslah menekankan kepentingan didikan seni dan kreatif ini seawal usia anak lagi.
Jenis seni
- Muzik
Mendengar atau menghasilkan muzik atau bunyi dapat membantu kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran intelek, pendengaran, deria, ucapan dan kemahiran motor mereka. Bahasa muzik adalah satu bahasa yang universal dan anak kecil yang membesar dengan belajar mendengar muzik akan dapat bergaul secara sosial dengan kanak-kanak lain dan mudah untuk bertenang. Muzik juga dapat merangsang kemahiran mendengar dan kecerdasan emosi mereka.
Muzik dan lagu kanak-kanak merupakan alat pengajaran yang hebat dan terbaik. Rima dan pengulangan, bersama pengerakan tangan merupakan cara yang terbaik untuk kanak-kanak meningkatkan kemahiran dan keupayaan perbendaharaan kata mereka dan lebih memahami maksud sesuatu perkataan. Mendengar muzik dan menyanyikan lagu-lagu bersama dengan anak kecil atau bayi bukan hanya akan memberikan perubahan pada tahap fisiologi, tetapi ia juga secara tidak langsung dapat menggalakkan ikatan emosi yang kuat dengan ibu bapa.
- Kesusasteraan
Pakar psikologi pendidikan khusus dalam pendidikan awal kanak-kanak bersetuju bahawa ia sebenarnya agak sukar untuk mengembangkan dan membina tabiat membaca dalam kanak-kanak seperti individu dewasa. Secara umumnya, anda sebagai ibu bapa mungkin hanya akan dapat untuk menanam rasa suka membaca dalam diri seseorang anak pada tempoh mereka masih kecil.
Membaca kepada kanak-kanak merupakan satu cara yang dapat memperkayakan pengalaman mereka. Ia membantu membangun dan memperkembangkan kemahiran kognitif seperti ingatan, bahasa dan imaginasi. Kanak-kanak akan menemui satu dunia yang sangat luar biasa dan unik dalam buku. Berkongsi buku dan cerita dengan kanak-kanak pada usia yang sangat muda akan menjadikan mereka menganggap membaca sebagai satu hiburan yang menyeronokkan dan bukan sebagai kerja rumah yang membosankan. Ini sekali gus akan menjadikannya tugasan untuk menjadikan membaca sebagai salah satu permainan yang akan dilakukan pada masa lapang mereka sebagai sesuatu yang mudah.
Minat untuk membaca ini harus ditanam, diperkuatkan dan diperkembangkan bermula dari rumah. Ia bukan sahaja untuk memupuk dan membangunkan keupayaan membaca dan berimaginasi, tetapi dalam masa yang sama ia juga akan menguatkan ikatan antara anak dan ibu bapa.

- Melukis dan mewarna
Sama ada berwarna ataupun melukis, kedua-dua aktiviti ini adalah sangat bermanfaat. Antara manfaat yang boleh diperolehi adalah ia membantu mengembangkan kemahiran motor, menulis, membaca, kreativiti dan meningkatkan harga diri anak-anak. Bukan sekadar itu sahaja, aktiviti mewarna dan melukis pastinya merupakan satu kaedah dan cara yang terbaik untuk kanak-kanak menyatakan dan meluahkan perasaan dan emosi mereka. Jika itu tidak cukup menyakinkan anda tentang kebaikan dua aktiviti kreatif ini, mewarna dan melukis juga turut memainkan peranan penting dalam perkembangan keperibadian dan kematangan psikologi mereka.
Sekiranya anda sebagai ibu bapa ingin menggalakkan perkembangan kreativiti semula jadi dalam diri anak-anak, pakar mencadangkan anda untuk memberikan anak anda peluang untuk mewarna dan melukis secara bebas kepada anak-anak anda. Dengan cara ini, ia memberikan anak-anak anda peluang untuk mengekspresikan imaginasi dan kreativiti mereka. Berikan kepada mereka bahan seperti warna air, krayon, dan tanah liat. Benarkan mereka untuk bereksperimen pada kertas lukisan, kadbod dan sebarang material yang bersesuaian dan tidak mendatangkan bahaya kepada mereka.
- Teater
Ia mungkin satu seni yang jarang dipraktiskan di Malaysia, berbanding di negara barat. Tetapi sebenarnya penglibatan kanak-kanak dalam seni teater akan dapat membantu kanak-kanak untuk mempelajari nilai penting dalam diri mereka seperti rasa hormat dan sikap toleransi. Persembahan teater kanak-kanak akan memberikan kanak-kanak peluang untuk meletakkan diri mereka dalam sesuatu watak yang berbeza daripada mereka serta berpeluang untuk merasai dan mendalami watak tersebut. Secara tidak langsung, ini akan dapat membantu mereka untuk menjadi lebih terbuka dan berdedikasi. Penglibatan dalam teater juga akan membantu meluaskan lagi imaginasi dan kreativiti anak anda.
- Ekspresi badan
Pergerakan dan ekspresi badan akan memberikan kesan positif kepada pembangunan fizikal dan pertumbuhan badan yang sihat. Kanak-kanak belajar untuk membawa diri dengan penuh keyakinan dan mengekalkan kelenturan dan keupayaan semula jadi mereka untuk bergerak, berlari dan melompat. Selain itu, manfaat lain yang boleh diperolehi adalah ia dapat membantu anak-anak anda dalam aspek keseimbangan, koordinasi dan kawalan badan mereka. Selain kebolehan fizikal, ekspresi badan melalui pergerakan juga menawarkan manfaat untuk kecerdasan emosi mereka. Ia memberikan faedah sosial dan kreativiti kepada mereka dengan cara yang positif.
Menggalakkan seni pengerakan badan untuk memperkembangkan kanak-kanak secara tidak langsung memberikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri melalui cara dan pengerakan yang disukai mereka. Sebagai ibu bapa, cuba galakkan anak-anak anda untuk memperbanyakkan pergerakan badan dalam mengekspresikan diri mereka.
Cara menginspirasikan kreativiti anak
Memberikan peluang kepada anak anda untuk mengekspresikan kreativiti bermakna anda perlu bersedia dengan kekotoran, ruang yang berselerak dan keadaan yang mungkin sedikit huru-hara. Sediakan ruang untuk anak-anak anda bebas bereksperimen dan mengekspresikan imaginasi mereka dengan keadaan yang akan menjadi sedikit berselerak. Mungkin jika cuaca bersesuaian, anda boleh membenarkan anak-anak anda untuk melakukannya di halaman rumah.

Hindari daripada memberikan sebarang arahan kepada anak-anak anda. Usah memberitahu kepada anak anda apa yang perlu atau bagaimana untuk melakukannya. Sebaliknya, benarkan anak anda untuk melakukan apa yang dirasakannya dan berikan galakan.
Cuba untuk berbual dan berbicara mengenai seni. Apabila bercakap bersama anak anda tentang hasil seni yang melibatkan aspek mewarna dan melukis ini, cuba untuk memberikan komen yang lebih spesifik. Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan, “Mama tengok awak lebih suka menggunakan warna biru. Kenapa awak memilih warna tersebut?”
Cuba untuk mendalami proses seni yang dilakukan oleh anak anda. Sebagai contoh, cara yang terbaik untuk menggalakkan komunikasi berkaitan dengan seni yang dihasilkan oleh anak anda adalah seperti menyatakan, “Ceritalah pada mama apa yang awak hasilkan ini,” atau tanyakan, “seronok tak mewarna dan melukis gambar ini?”
Elakkan daripada melukis atau mewarna bersama dengan anak. Apabila ibu bapa mewarna atau melukis sesuatu sementara anak anda turut melakukan perkara yang sama, ia mungkin mendatangkan kecenderungan untuk menyebabkan wujudnya rasa kecewa dalam diri anak. Cara yang terbaik adalah dengan berada dekat bersama dengan anak anda dan membiarkan mereka tahu bahawa anda tertarik dan menyokong dengan apa yang dilakukannya.
Apabila anak anda selesai dengan aktiviti seninya, cuba elakkan daripada memberi cadangan untuk sebarang penambahan atau perubahan pada hasil kerja mereka. Ini kerana adalah penting untuk anak anda merasakan apa yang dilakukan dan dihasilkannya adalah sudah mencukupi, walaupun ia hanyalah sekadar titik pada satu kertas lukisan.
Bebas mengekspresi
Menurut pengasas Brooklyn Design Lab, iaitu sebuah sekolah seni untuk kanak-kanak, Amy Yang, kanak-kanak mungkin tidak dapat menyatakan secara spesifik tentang apa yang dilukis atau dilakukan pada kertas, tetapi mereka gemar dan sukakan perasaan yang muncul apabila mereka dapat mewarna pada sekeping kertas, bagaimana hasilnya apabila manik bergemerlapan (glitter) ditaburkan serta bunyi lembut yang terhasil daripada sapuan berus berwarna. Maka biarkan anak-anak anda untuk melakukan apa yang digemari, mewarna, melukis atau mungkin kelihatan seperti menconteng sekeping kertas. Namun, hakikatnya ia adalah cara terbaik untuk membenarkan anak-anak anda mengekspresikan apa yang dirasa dan difikirkannya. Biarkan mereka menikmati saat-saat itu.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen