Salah faham terbesar mengenai penyusuan susu ibu adalah ia menyebabkan perubahan fizikal kepada payudara wanita seperti tidak sama rata dan kendur. Walhal, kehamilan itu sendiri adalah faktor utama yang boleh mengubah bentuk payudara anda. Cuba fahami penyebab di sebalik perubahan yang berlaku kepada payudara anda dalam konteks peranannya sebagai salah satu sumber terpenting dalam pemakanan dan tumbesaran bayi anda.
Adakah penyusuan susu ibu punca payudara anda berubah?
Secara amnya, tidak terdapat otot pada payudara. Payudara dihubungkan kepada dada anda oleh jalur nipis yang dipanggil sebagai ligamen Cooper. Semasa hamil, lapisan nipis ini meregang dan darah dipam ke dalam payudara, menjadikan payudara anda lebih berat dan penuh. Kehadiran susu juga menjadikan tisu payudara lebih penuh dan memperlihatkan payudara anda kelihatan kendur. Lemak dan penghubung tisu boleh berubah beransur-ansur selepas habis fasa penyusuan. Tidak kira jika anda menyusukan bayi atau tidak, perubahan-perubahan ini masih berlaku. Kesan kehamilan kepada penampilan payudara menjejaskan setiap wanita dengan cara yang berbeza dan bergantung kepada pelbagai faktor. Antara faktor yang mempengaruhinya termasuklah:
- Indeks jisim tubuh
- Bilangan kehamilan sebelumnya
- Saiz payudara sebelum kehamilan
- Umur
- Sejarah merokok
Adakah penyusuan susu ibu menyebabkan payudara saya tidak sekata atau berubah bentuk?
Perubahan bentuk biasanya disebabkan oleh payudara terlalu penuh dengan susu. Walau bagaimanapun, setiap payudara adalah berbeza. Jadi, tidak semestinya jika sebelah payudara anda berubah, sebelah yang lain akan ikut berubah.
Semasa hamil, ligamen yang menghubungkan payudara anda dengan dada akan meregang, akhirnya mengecut selepas penyusuan. Ini boleh mengubah kontur garisan payudara dan menyebabkan payudara tidak sama rata. Bagi kebanyakan wanita, payudara tidak sama rata adalah biasa berlaku tanpa mengira kehamilan. Selepas penyusuan, terdapat kebarangkalian sebelah payudara akan kembali kepada saiz asal sementara sebelah lagi kelihatan lebih leper.
Apakah terdapat rawatan untuk payudara berubah bentuk atau tidak sama rata?
Banyak prosedur kecantikan yang ada kini boleh membantu wanita mengembalikan semula penampilan fizikal mereka seperti sebelum hamil, termasuklah memejalkan payudara atau mesoterapi. Jika anda ingin mempertimbangkan prosedur pembedahan, anda perlu merujuk kepada doktor bagi mendapatkan konsultasi tentang pencegahan sebarang kesan yang tidak diingini. Jika anda melihat perubahan pada payudara anda selepas penyusuan, ingatlah bahawa perubahan-perubahan ini adalah semula jadi dan jarang sekali membahayakan kesihatan.
Kehamilan dan penyusuan adalah proses sukar dan meninggalkan kesan kepada tubuh anda, tetapi susu ibu adalah sumber pemakanan paling penting untuk bayi anda dan ia merupakan sumber yang ideal untuk kesihatan dan tumbesaran optima bayi. Ramai wanita yang belajar untuk menyayangi dan menerima tubuh seadanya selepas kehamilan/ penyusuan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]