backup og meta

7 Perbezaan Baby Boy Dan Girl Yang Parents Kena Tahu, Baru Faham Perkembangan Anak!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    7 Perbezaan Baby Boy Dan Girl Yang Parents Kena Tahu, Baru Faham Perkembangan Anak!

    Beza bayi lelaki dan perempuan adalah cukup jelas dalam aspek anatomi. Tetapi adakah terdapat perbezaan anak lelaki dan perempuan yang melibatkan aspek perkembangan diri seperti kemahiran bercakap dan lain-lain?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Beza bayi lelaki dan perempuan

    Jawapannya, ada perbezaan, walaupun agak kecil. Namun perbezaan yang berlaku dipercayai lebih berhubung kait dengan genetik dan persekitaran berbanding jantina.

    Selain itu, setiap anak-anak akan membesar dan berkembang mengikut kadar yang tersendiri dan berbeza. 

    Bagi memastikan anak anda mencapai potensi sepenuhnya, sudah tentu perhatian dan galakan dari awal amat diperlukan.

    Berikut antara perbezaan antara anak lelaki dan perempuan yang boleh anda perhatikan:

    1. Kemahiran spatial, beza bayi lelaki dan perempuan

    Kemahiran spatial ditakrifkan sebagai satu set kebolehan mental yang secara langsung berkaitan dengan navigasi dan putaran objek mental. Dalam kemahiran ini, lelaki dikatakan mendahului wanita.

    Ingin tahu beza bayi lelaki dan perempuan dalam kemahiran ini? 

    Seawal usia 3-5 bulan, bayi lelaki dikatakan boleh membayangkan bagaimana objek akan muncul apabila diputarkan. Manakala bayi perempuan tidak boleh berbuat demikian.

    Keadaan ini sekali gus menerangkan sebab mengapa kanak-kanak lelaki lebih menyukai sukan dan permainan video berbanding kanak-kanak perempuan pada awal kehidupan.

    Anda boleh membantu anak perempuan membina kemahiran ini semasa bayi dengan memperkenalkan mereka kepada blok binaan, angka, puzzles dan aktiviti yang merangsang ketangkasan mental pada awal usia.

    2. Pemilihan permainan antara anak lelaki dan perempuan

    beza bayi lelaki dan perempuan

    Dalam situasi sebenar, seorang bayi tidak boleh membezakan antara alat permainan sebagai ‘boyish’ atau ‘girlish’.

    Walaupun kita sering melihat kanak-kanak perempuan bermain masak-masak dan yang lelaki bermain trak, tetapi trend itu berlaku kerana tekanan daripada masyarakat, rakan sebaya dan pemasaran khusus jantina.

    Hakikatnya, anak perempuan boleh menyukai barangan mainan yang biasanya dikeluarkan untuk lelaki jika mereka terdedah kepada jumlah testosteron yang baik dalam kandungan.

    Penyelidikan ke atas monyet untuk mengkaji mengenai mainan kegemaran, menunjukkan monyet jantan memilih mainan beroda berbanding mainan mewah, manakala yang betina memilih kedua-duanya.

    Dalam kes manusia, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah untuk menghilangkan stereotaip jika si kecil memilih mainan yang bertentangan dengan norma kebiasaan.

    3. Beza bayi lelaki dan perempuan dalam aspek percakapan

    Ini merupakan perkembangan yang secara konsistennya mempunyai perbezaan antara lelaki dan perempuan.

    Sesetengah kajian mendapati anak lelaki lebih cenderung untuk lewat bercakap dan bayi perempuan cenderung mempunyai perbendaharaan kata yang lebih banyak seawal usia 18 bulan.

    Namun perkembangan ini banyak dipengaruhi faktor sekeliling seperti sosioekonomi dan peluang. Pendedahan kepada bahasa dan persekitaran kanak-kanak boleh membuat perbezaan besar dalam bilangan perkataan yang mereka pelajari.

    beza bayi lelaki dan perempuan

    4. Kemahiran berjalan

    Apabila memperkatakan perihal jantina lelaki atau perempuan yang mempunyai kemahiran berjalan lebih awal, ia adalah seri.

    Secara anekdot, ramai ibu bapa mengatakan kanak-kanak lelaki mencapai pencapaian motor kasar seperti duduk dan berjalan lebih awal daripada kanak-kanak perempuan, tetapi sesetengah pakar pediatrik mengatakan sebaliknya.

    Namun, berdasarkan kajian, tiada beza bayi lelaki dan perempuan apabila melibatkan kemahiran motor ini pada peringkat awal. Ini kerana kedua-dua jantina biasanya mula berjalan secara bebas selepas mencecah usia 1 tahun. 

    Baca juga:

    5. Beza bayi lelaki dan perempuan dalam saiz fizikal dan tumbesaran

    Sejak awal lagi, lelaki cenderung lebih berat semasa lahir dan trend ini berterusan apabila masa bayi. Anak perempuan biasanya akan mengejar apabila menghampiri usia kanak-kanak.

    Kebanyakan kanak-kanak perempuan mencapai separuh ketinggian dewasa mereka pada usia 19 bulan. Manakala kanak-kanak lelaki akan mencapai ketinggian ini apabila usia hampir 2 tahun.

    Sudah tentu setiap anak adalah berbeza, dari peringkat bayi, kanak-kanak hingga akil baligh. Kadar pertumbuhan berbeza-beza dan secara amnya, lelaki atau perempuan akan menghabiskan usia pertengahan kanak-kanak dengan saiz hampir sama.

    Apabila fasa remaja bermula, kanak-kanak perempuan biasanya mula mengatasi lelaki. Di sekolah menengah, yang perempuan biasanya lebih tinggi, namun lazimnya ini akan dapat dikejar oleh lelaki dalam tempoh 1 atau 2 tahun kemudian.

    6. Tahap agresif antara anak lelaki dan perempuan

    beza bayi lelaki dan perempuan

    Fakta yang diketahui bahawa lelaki adalah lebih agresif berbanding perempuan. Bahkan bayi lelaki boleh menunjukkan keagresifan ini walaupun sebelum mencapai usia 2 tahun!

    Pun begitu, anak lelaki perlu menjadi agresif untuk mempersiapkan diri mereka bagi konfrontasi fizikal. 

    Walaupun kanak-kanak perempuan tidak agresif seperti lelaki, tetapi apabila memasuki sekolah rendah, mereka boleh menendang atau menggigit ya!

    Jadi sebagai ibu bapa, anda perlu memastikan anak, tidak kira lelaki atau perempuan, diajar untuk mengawal kelakuan dan tingkah laku daripada bertindak sesuka hati memukul sesiapa sahaja.

    7. Latihan tandas

    Jika anda tertanya-tanya bila anak akan berhenti memakai lampin, jawapannya untuk bayi perempuan ia akan berlaku lebih awal berbanding lelaki.

    Kebanyakan anak perempuan boleh memulakan latihan tandas dalam sekitar usia antara 22 hingga 30 bulan, anak lelaki memerlukan usia 6 bulan lebih lama.

    Pun begitu, sekali lagi keupayaan dan keinginan setiap anak untuk potty train adalah berbeza-beza. Jadi anda perlu mencuba dan melihat jika wujud tanda-tanda mereka sudah bersedia.

    Kesimpulan 

    Tuntasnya di sini, beza bayi lelaki dan perempuan adalah tidak terlalu ketara apabila bercakap mengenai aspek perkembangan mereka. 

    Apa yang pasti, anda sebagai ibu bapa boleh membentuk mereka dengan cara yang dapat mencerminkan perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh lebih baik.

    Bagaimana dengan anak-anak anda? Apakah perbezaan yang diperhatikan pada anak lelaki dan perempuan anda? Ayuh kongsikan bersama kami!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan