brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Bayi Naik Ruam Di Muka? Jangan Panik, Ini Cara Selamat Untuk Atasinya!

Kulit bayi sangat lembut dan mudah mengalami kemerahan, bintik atau ruam, terutama pada bahagian muka. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan peluh, air liur, kulit kering atau masalah kulit seperti ekzema.

Bayi Naik Ruam Di Muka? Jangan Panik, Ini Cara Selamat Untuk Atasinya!

Jadi, kenapa bayi naik ruam di muka? Tidak semua ruam memerlukan rawatan yang sama. Sebelum mencuba sebarang petua, penting untuk mengetahui punca dan jenis ruam yang dialami si kecil.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Jenis ruam muka bayi yang biasa berlaku

Ruam pada wajah bayi boleh muncul atas pelbagai sebab. Antara yang biasa termasuk:

Jerawat bayi

Jerawat bayi kelihatan seperti bintik atau benjolan merah kecil pada pipi, dahi dan hidung. Ia biasanya muncul sekitar beberapa minggu selepas kelahiran dan kebanyakannya akan hilang sendiri tanpa rawatan khusus.

Ruam air liur

Ruam ini berlaku apabila air liur kerap terkena kulit sekitar mulut, dagu dan pipi. Pendedahan berulang kepada air liur boleh menyebabkan kulit bayi menjadi merah dan merengsa.

Ruam panas bayi

Ruam panas ini biasanya muncul sebagai bintik kecil berwarna merah atau merah jambu apabila bayi berpeluh dan terlalu panas. Ia boleh berlaku pada muka, leher dan dada.

Ekzema

Ekzema boleh menyebabkan kulit bayi menjadi kering, merah dan gatal. Bayi yang mempunyai kulit sensitif atau sejarah keluarga ekzema mungkin lebih mudah mengalaminya.

Milia

Bintik putih kecil yang biasanya muncul pada hidung, pipi atau dagu bayi. Ia tidak berbahaya dan selalunya hilang sendiri tanpa rawatan.

cara hilangkan ruam di muka bayi
Contoh milia pada kulit bayi.

Cara hilangkan ruam di muka bayi

Cara menguruskan ruam bergantung pada puncanya. Elakkan terus mencuba bahan semula jadi atau produk kulit yang tidak dirumus untuk bayi kerana sesetengah bahan boleh menyebabkan kerengsaan.

Sebaliknya, ibu bapa boleh cuba beberapa langkah penjagaan mudah berikut:

1. Bersihkan muka bayi dengan lembut

Gunakan air suam dan kain lembut untuk membersihkan muka bayi. Jika perlu menggunakan pencuci, pilih produk bayi yang lembut dan tanpa pewangi. Elakkan menggosok kawasan yang mengalami ruam.

2. Pastikan kulit tidak terlalu panas

Jika bayi mengalami ruam panas, pastikan persekitarannya tidak terlalu panas dan pakaikan pakaian yang longgar serta selesa.

Elakkan bayi daripada terlalu berlapis-lapis pakaian kerana haba dan peluh boleh memburukkan ruam.

3. Lap air liur dengan perlahan

Jika ruam berada di sekitar mulut, dagu atau pipi, lap air liur menggunakan kain lembut yang dibasahkan dengan air biasa.

Jangan menggosok kulit kerana geseran boleh menyebabkan kerengsaan bertambah. Bib juga boleh digunakan untuk menyerap air liur, tetapi tukarnya apabila sudah basah.

4. Gunakan pelembap yang sesuai

Jika kulit bayi kering atau mengalami ekzema, pelembap boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit.

Apakah krim yang sesuai untuk ruam pada bayi?

Secara umum, pilih pelembap berbentuk krim atau salap yang dirumus untuk kulit bayi dan tanpa pewangi.

Untuk ekzema, pelembap yang lebih pekat seperti krim atau salap biasanya disarankan berbanding losen.

Namun, jika ruam berterusan atau semakin teruk, dapatkan pemeriksaan doktor sebelum menggunakan sebarang krim rawatan.

5. Elakkan bahan yang boleh merengsakan kulit

Jangan sapukan bahan seperti minyak pati, pewangi, sabun yang kuat atau campuran bahan dapur pada ruam tanpa nasihat profesional kesihatan.

Kulit bayi lebih sensitif dan sesetengah produk boleh menyebabkan ruam menjadi lebih teruk.

Bila perlu bawa bayi jumpa doktor?

Kebanyakan ruam bayi adalah ringan dan boleh pulih dengan penjagaan kulit yang sesuai.

Namun, ibu bapa perlu membawa bayi berjumpa doktor jika ruam:

  • Semakin merebak atau teruk
  • Menyebabkan bayi sangat tidak selesa atau kerap menggaru
  • Kelihatan bernanah, melepuh atau berair
  • Disertai demam
  • Tidak bertambah baik walaupun penjagaan kulit sudah dilakukan
Bagi bayi yang sangat kecil, ruam berbentuk lepuh atau berair juga perlu diberi perhatian kerana sesetengah jangkitan kulit boleh kelihatan seperti ruam biasa.

Jika anda tidak pasti tentang punca ruam atau keadaan kulit bayi kelihatan semakin teruk, pemeriksaan doktor boleh membantu menentukan punca dan rawatan yang sesuai.

Kesimpulan

Cara hilangkan ruam di muka bayi bergantung pada puncanya. Ada ruam seperti jerawat bayi, milia dan sesetengah ruam panas yang boleh hilang sendiri, manakala ekzema memerlukan penjagaan kulit yang konsisten.

Elakkan mencuba terlalu banyak petua semula jadi pada kulit bayi. Sebaliknya, gunakan penjagaan yang lembut, pilih produk tanpa pewangi dan pastikan bayi tidak terlalu panas.

Jika ruam semakin teruk, berpanjangan atau disertai gejala lain, bawa si kecil berjumpa doktor untuk mengetahui punca dan rawatan yang sesuai.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 2 hari lalu