backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Adakah Gangguan Autisme Boleh Sembuh Jika Tanda-Tanda Dikesan Lebih Awal Pada Anak?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 23/11/2021

    Adakah Gangguan Autisme Boleh Sembuh Jika Tanda-Tanda Dikesan Lebih Awal Pada Anak?

    Membesarkan anak autisme sememangnya akan mendatangkan dugaan dan cabaran buat ibu bapa. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika anda mempunyai dorongan dan sokongan daripada individu di sekeliling anda.

    Persoalannya, adakah anak autisme boleh sembuh jika ia dikesan dengan lebih awal? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut!

    Ciri-ciri anak autisme

    Sebelum itu, kita perlu mengetahui terlebih dahulu mengenai ciri-ciri kanak-kanak yang menghidap autisme. Ia boleh dikesan seawal usia mereka 18 bulan lagi. Antara kemahiran yang terjejas akibat kondisi autisme adalah:

    • Kemahiran bertutur dan berkomunikasi
    • Kemahiran interaksi sosial
    • Kemahiran mengawal emosi dan tingkah laku
    • Kemahiran sensori atau sentuhan fizikal
    • Kemahiran kognitif
    • Kemahiran bermain

    Melalui ciri-ciri ini, anda sebagai ibu bapa mungkin dapat mengesan kondisi anak anda yang mengalami autisme lebih awal lagi. Pun begitu, adakah mengesannya dengan lebih awal dapat menyembuhkan mereka?

    Anak autisme boleh sembuh atau tidak?

    autisme

    Kebanyakan pakar pediatrik sebulat suara bersetuju bahawa autisme adalah kondisi yang tidak boleh disembuhkan melalui teknologi perubatan.

    Sehingga kini, jenis rawatan yang boleh dilakukan untuk kanak-kanak autisme adalah berbentuk terapi untuk memperolehi kemahiran dalam mengurus diri, belajar dan berkomunikasi dengan individu lain.

    Menurut Dr. Ashanti W. Woods yang merupakan seorang pakar pediatrik di Mercy Medical Center, langkah intervensi yang lebih awal terbukti sebagai penyelesaian yang terbaik.

    Menurut beliau lagi, kanak-kanak yang telah didiagnosis dengan austime seawal usia lagi perlu dibantu dengan lebih awal bagi memastikan mereka mampu untuk berkomunikasi dengan lebih baik, meminimakan kegelisahan semasa bersosial serta mengurangkan cabaran mengawal tingkah laku.

    Untuk itu, mereka perlu segera mendapatkan terapi yang paling penting untuk dipelajari mereka iaitu terapi pertuturan-bahasa.

    Terapi pertuturan-bahasa diberikan kepada anak autisme bagi membantu mereka melatih kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi.

    tanda awal autisme

    Ia juga bermatlamat untuk mengoptimumkan fungsi komunikasi kanak-kanak autisme. Terapi, ini merangkumi beberapa bahagian, iaitu:

    • Penilaian bahasa, pertuturan dan komunikasi

    Pertama sekali, penilaian akan dijalankan bagi mengetahui tahap kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi anak autisme.

    Berdasarkan hasil penilaian tersebut, diagnosis kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi pula akan dijalankan. Sesudah itu, ahli terapi akan mengadakan perbincangan bersama ibu bapa atau penjaga mengenai matlamat terapi tersebut.

    • Terapi bahasa, pertuturan dan komunikasi

    Kemudian, terapi akan dijalankan sesuai dengan matlamat yang telah dibincangkan bersama ibu bapa atau penjaga. Terapi ini bermatlamat meningkatkan kemahiran awal pertuturan, pemahaman bahasa serta kemahiran bermain anak autisme.

    mengenali anak autisme

    • Penggunaan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC)

    Setelah melalui penilaian dan terapi, tiba masa anak autisme untuk berkomunikasi dengan individu lain. Mereka mungkin akan memerlukan Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) bagi membantu mereka berkomunikasi.

    Ia sangat membantu terutamanya bagi anak autisme yang langsung tidak boleh bercakap atau mempunyai pertuturan yang sangat terhad. Antara kaedah AAC yang selalu digunakan untuk membantu mereka adalah komunikasi bergambar atau Picture Exchange Communication System (PECS).

    Selain aspek pertuturan mereka, anak autisme juga perlu dibantu dalam pelbagai lagi aspek kehidupan bagi menyediakan mereka untuk kehidupan yang akan datang. Antara rawatan atau latihan lain yang perlu diberikan kepada anak autisme ini adalah:

    • Latihan skil sosial
    • Terapi intergrasi sensori
    • Terapi carakerja

    Ya, mungkin harapan anak autisme boleh sembuh sepenuhnya adalah agak mustahil dan segala proses latihan, rawatan dan terapi ini kadangkala agak melecehkan dan memenatkan anda sebagai ibu bapa.

    Namun begitu, anda perlu sentiasa ingat bahawa ini semua adalah berbaloi untuk anda dan anak istimewa anda!

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 23/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan