Tempoh kehamilan adalah satu fasa dalam kehidupan wanita yang menyaksikan perubahan pada fizikal ibu termasuklah dari segi pertambahan berat badan. Kebanyakan ibu hamil menggunakan alasan makan untuk dua orang bagi menikmati pelbagai hidangan yang diingini. Namun, adakah anda pasti makanan yang anda ambil memberikan nutrisi yang mencukupi untuk badan anda dan bayi?
Disebabkan itulah semua pakar menyarankan wanita yang ingin hamil dan sedang hamil untuk mendapatkan vitamin pranatal, iaitu suplemen vitamin lengkap yang dibuat khusus untuk ibu mengandung. Walau bagaimanapun, lambakan vitamin pranatal yang terdapat di pasaran menyebabkan para ibu keliru untuk memilih vitamin pranatal yang sesuai buat mereka. Sebelum membeli suplemen vitamin pranatal, anda perlu melihat label bagi mengetahui kandungan yang ada dalam vitamin tersebut.
Apa perbezaan suplemen vitamin pranatal dengan suplemen lain?
Vitamin pranatal biasanya mengandungi lebih asid folik dan zat besi berbanding suplemen lain yang dijual di pasaran. Doktor akan menyarankan pengambilan vitamin pranatal buat wanita yang sedang merancang untuk hamil. Ini kerana, kandungan asid folik yang mencukupi dalam vitamin pranatal membantu wanita untuk mengelakkan masalah kecacatan tiub neural pada janin. Zat besi pula membantu menyokong pertumbuhan dan perkembangan bayi. Selain itu, zat besi dapat membantu menghalang masalah anemia yang mungkin terjadi pada ibu semasa hamil nanti.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa pengambilan vitamin pranatal dapat mengurangkan risiko mendapat bayi yang kecil untuk usia gestasinya.
Kandungan yang perlu ada dalam vitamin pranatal
Vitamin pranatal boleh didapati di mana-mana farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor. Ahli farmasi atau doktor anda mungkin akan menyarankan beberapa jenama vitamin pranatal yang terbaik. Akan tetapi, adalah lebih baik jika anda melihat label pada vitamin pranatal sebelum membelinya. Selain meneliti jenis vitamin dan mineral yang ada dalam suplemen, anda juga disarankan untuk melihat jumlah setiap kandungan vitamin & mineral agar ia menepati dengan saranan dos yang dibolehkan untuk ibu hamil.
Vitamin pranatal anda perlu mengandungi:
- 400 mcg asid folik
- 400 IU vitamin D
- 200-300 mg kalsium
- 70 mg vitamin C
- 3 mg thiamin
- 2 mg riboflavin
- 20 mg niasin
- 6 mcg vitamin B12
- 10 mg vitamin E
- 15 mg zink
- 17 mg zat besi
- 150 mcg iodin
Dalam sesetengah kes, doktor anda akan memberikan anda preskripsi jenis vitamin pranatal tertentu. Doktor mungkin akan menyarankan dos yang lebih tinggi untuk nutrien tertentu bergantung kepada keadaan anda. Contohnya, jika anda mempunyai sejarah melahirkan bayi yang mengalami kecacatan tiub neural, doktor mungkin akan menyarankan pengambilan suplemen asid folik berdos tinggi yang berasingan – seperti 4 miligram asid folik (iaitu bersamaan 4,000 mikrogram)- sebelum dan semasa anda hamil.
Selain kandungan yang ada dalam vitamin pranatal, adakah saya perlu mengambil vitamin lain?
Bukan semua vitamin pranatal mengandungi asid lemak omega-3. Asid lemak omega-3 baik dalam membantu menggalakkan perkembangan otak bayi. Jika anda jarang atau tidak makan makanan yang mengandungi asid lemak omega-3, doktor mungkin akan menyarankan untuk anda mengambil suplemen asid lemak omega-3 sebagai tambahan kepada vitamin pranatal anda.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa vitamin pranatal dan suplemen vitamin lain hanyalah sebagai pelengkap kepada pemakanan sihat, bukannya pengganti kepada nutrisi anda. Lantaran itu, anda masih perlu mengamalkan pengambilan makanan sihat dan seimbang di samping mengambil vitamin pranatal semasa hamil.
[embed-health-tool-due-date]