backup og meta

Minggu 14

Minggu 14

Perkembangan bayi

Perkembangan bayi dalam kandungan  

Selamat datang ke trimester kedua anda! Ini adalah peristiwa penting dalam perkembangan bayi anda. Bayi anda sekarang bersaiz seperti sebiji limau, seberat kira-kira 45 gram dengan panjang sekitar 9 cm dari kepala ke kaki.

Dalam minggu ini, rambut/bulu bayi anda akan mula tumbuh. Rambut berkembang bukan sahaja di kepala dan kening malah di seluruh badan. Lapisan bulu nipis meliputi bayi anda dipanggil lanugo. Ini membantu menghangatkan bayi anda. Apabila lemak bayi anda mula terkumpul pada badan, lemak pula yang akan menghangatkan bayi dan lanugo akan mula susut. Di samping itu, hati bayi anda akan menghasilkan hempedu manakala limpa menghasilkan sel-sel darah merah.

Perubahan hidup & tubuh badan

Bagaimanakah perubahan badan saya?

Anda mungkin menyedari perubahan dalam mood dan berasa lebih baik dengan pengurangan rasa loya dan keletihan. Semasa di trimester kedua, anda akan berasa lebih bertenaga dan bahagia. Walaupun simptom lama mungkin pergi, anda akan mengalami beberapa simptom baru seperti rasa sakit yang tajam atau sakit ringan pada satu atau kedua-dua belah perut anda. Ini dipanggil sakit ligamen bulat (round ligament). Rahim anda disokong oleh ligamen bulat yang diikat ke tepi abdomen anda. Dengan peningkatan saiz rahim, ligamen ini kian tertarik, menyebabkan kesakitan. Apabila ini berlaku, anda perlu berada dalam kedudukan yang selesa dan rehatkan kaki anda.

Apakah yang perlu saya beri perhatian?

Anda mungkin bimbang jika anda jatuh sakit. Apabila anda hamil, sistem imun anda lebih lemah daripada biasa. Ini bermakna anda akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan seperti selesema atau flu. Disebabkan itu, anda perlu menjaga kebersihan diri anda dengan cara  mencuci tangan selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan dan selepas anda menyentuh sampah atau kotoran. Anda harus mengelak daripada mereka yang sakit dan berkongsi sebarang makanan atau minuman dengan sesiapa pun. Simpan pensanitasi tangan dalam beg tangan anda. Ia mungkin berguna pada waktu yang tidak dijangka.

Pertemuan dengan doktor

Apa yang harus saya maklumkan pada doktor?

Anda perlu memaklumkan doktor jika anda mempunyai masalah tidur. Insomnia merupakan masalah yang dihadapi ramai wanita mengandung. Kerap ke bilik air dan posisi tidur yang tidak selesa boleh mengganggu tidur anda, menyebabkan anda berasa letih pada siang hari. Ini tidak sihat untuk anda dan bayi anda. Bincang dengan doktor anda untuk mencari cara-cara untuk menangani insomnia anda. Mendapat tidur yang mencukupi penting untuk kesihatan kehamilan anda.

Apakah ujian yang perlu saya tahu?

Beberapa minggu yang lalu, doktor melakukan pemeriksaan pranatal untuk mengesan sebarang keabnormalan kromosom. Jika doktor memaklumkan anda mempunyai risiko yang tinggi mendapat bayi dengan keabnormalan kromosom, anda mungkin perlu menjalani ujian diagnostik dipanggil amniosentesis. Amniosentesis adalah ujian yang biasanya dilakukan antara 14 hingga 18 minggu. Ujian diagnostik ini akan menentukan jika bayi anda mempunyai sebarang keabnormalan kromosom seperti sindrom Down. Sampel cecair amnion akan diuji dalam ujian amniosentesis. Untuk mendapatkan sampel ini, jarum yang sangat halus dimasukkan melalui abdomen ke dalam rahim anda. Ujian ini adalah kira-kira 99% tepat dan mempunyai risiko 1% menyebabkan keguguran. Anda perlu berbincang dengan doktor anda tentang semua risiko dan manfaat melaksanakan ujian ini.

Kesihatan & keselamatan

Apakah yang perlu saya tahu untuk kesihatan dan keselamatan semasa hamil?

Untuk memastikan anda dan bayi sihat dan selamat, berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda tahu:

Air minuman

Sistem imun anda lemah, yang bermakna anda boleh jatuh sakit akibat meminum air paip walaupun anda tidak pernah jatuh sakit sebelum ini. Mungkin terdapat bahan tercemar dalam air paip yang boleh membuatkan anda lebih berisiko untuk jatuh sakit. Untuk selamat, anda perlu memilih air botol apabila makan di luar. Anda juga boleh mempertimbangkan pengambilan air yang telah dididihkan untuk minum atau memasak.

Berendam dalam air panas

Anda mungkin merasa selesa berendam dalam tab mandi panas tetapi anda harus memastikan air mandian anda tidak terlalu panas. Apabila air mandian meningkatkan suhu badan anda lebih daripada 39 darjah Celsius, berendam selama lebih daripada 10 minit berpotensi membahayakan bayi dan anda. Berikut adalah beberapa masalah yang mungkin berlaku:

  • Tekanan darah rendah (hipotensi);
  • Pening;
  • Rasa lemah dan keletihan;
  • Risiko kelahiran cacat.

Jadi, fikirkan semula keputusan anda tiap kali anda mahu pergi ke bilik wap, sauna atau mandian tab panas.

Kami berharap untuk melihat anda pada minggu 15 untuk melihat keadaan anda.

Hello Health Group tidak menawarkan sebarang khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Gambaran Janin Minggu ke-14

perkembangan janin minggu ke-14

[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Poppy seed to pumpkin: How big is your baby? http://www.babycenter.com/slideshow-baby-size. Accessed June 1, 2016.

Pregnancy calendar week 14. http://kidshealth.org/parent/pregnancy_center/pregnancy_calendar/week14.html. Accessed June 1, 2016.

Your pregnancy: 14 weeks. http://www.babycenter.com/6_your-pregnancy-14-weeks_1103.bc. Accessed June 1, 2016.

Amniocentesis. http://www.whattoexpect.com/pregnancy/pregnancy-health/prenatal-testing/amniocentesis.aspx. Accessed June 1, 2016.

14 weeks pregnant. http://www.whattoexpect.com/pregnancy/week-by-week/week-14.aspx. Accessed June 1, 2016.

Versi Terbaru

02/12/2019

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab


Artikel Berkaitan

Keputihan Semasa Mengandung Ganggu Keselesaan Bakal Ibu? Amalkan 5 Tip Ini, Berkesan!

Sakit Kepala Sebab Anemia? Amalkan 9 Jenis Makanan Ini Masa Hamil, Hb Akan Naik!


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 02/12/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan