Anda suka melakukan aktiviti fizikal? Itu bagus tapi tahu tak tanpa sedar, ada kesilapan ketika bersenam yang mungkin dilakukan. Ikuti pencerahan ini…
Apa perlu buat sebelum melakukan aktiviti fizikal?
Anda pasti sudah sedia maklum bahawa bersenam yang dilakukan secara berkala adalah perkara terbaik untuk manfaat kesihatan keseluruhan.
Antara kebaikan daripada aktiviti fizikal adalah ia dapat memperkuatkan otot dan tulang, meningkatkan kesihatan kardiovaskular, mengurangkan tekanan, menguatkan ingatan dan mendorong tidur yang lebih baik.
Malangnya, dalam keghairahan anda bersenam demi mencapai impian: membesarkan otot atau mengurangkan berat, ramai individu menjadi kecewa dan berhenti bersenam sebelum dapat melihat hasilnya.
Sememangnya, ia bukanlah 1 keadaan yang mengejutkan. Eh, kenapa pula?
Ini kerana berlaku banyak kesilapan umum yang sering terjadi dalam program latihan kecergasan mereka.
Adakah anda juga tergolong dalam kumpulan yang melakukan kesalahan ini? Jom kita semak jenis kesilapan ketika bersenam yang biasa dilakukan.
6 kesilapan ketika bersenam
Berikut beberapa kesilapan biasa yang mungkin anda mahu elakkan:
- Melangkau sesi memanas badan
Bayangkan otot dan tisu penghubung seperti tali getah.
Jika anda menarik gelang getah ketika sejuk, ia boleh putus. Tetapi jika anda memanaskan getah itu, ia boleh menjadi lebih elastik dan fleksibel.
Begitu juga keadaan badan anda.
Sesi pemanasan badan atau warm up akan mempersiapkan otot jantung dan paru-paru untuk melakukan aktiviti fizikal, mengurangkan risiko kecederaan dan membantu menyiapkan minda untuk bersenam.
Jika anda warm up dengan betul, suhu otot dan badan akan naik dan meningkatkan aliran darah. Ia seterusnya memperbaiki peredaran darah dan keanjalan otot.
- Melakukan aktiviti fizikal tidak digemari
Antara faktor utama yang mempengaruhi kepatuhan terhadap program latihan kecergasan adalah motivasi.
Oleh itu, sebaiknya, pilihlah aktiviti yang anda sukai.
Ini kerana konsistensi adalah kunci kepada kejayaan dan jika anda melakukan aktiviti yang digemari, berkemungkinan untuk anda terus bersenam adalah lebih besar.
- Harapan tidak realistik
Anda perlu realistik untuk sebarang harapan yang boleh anda lakukan dan capai.
Contohnya, jika sekarang ini anda tidak bersenam setiap hari, adalah tidak munasabah untuk mengatakan yang anda akan melakukannya 6 kali seminggu selepas ini.
Sebaliknya, tetapkan matlamat lebih realistik, seperti bersenam 2 atau 3 kali dalam seminggu. Begitu juga ketika menetapkan intensiti latihan dan tempoh senaman dalam sehari.
Elak daripada melakukan kesilapan ketika bersenam ini, okay?
- Melebihi kemampuan diri
Biasanya, apabila memulakan sesuatu aktiviti fizikal, semangat anda pasti berkobar-kobar, kan?
Itu bagus. Tetapi anda perlu mengukur kemampuan diri anda sendiri. Cara terbaik, tingkatkan intensiti secara perlahan dari masa ke masa.
Ini untuk membantu anda keluar daripada zon selesa tanpa mencederakan diri sendiri.
- Jenis aktiviti fizikal yang salah
Dari mana anda belajar rutin senaman? Mengikut individu lain melakukannya di gim, daripada rakan sekerja, atau melalui tontonan di laman web?
Tanpa anda ketahui, mungkin mereka juga melakukan rutin yang salah.
Untuk mengetahui cara yang betul ketika bersenam adalah dengan mendapatkan rundingan daripada jurulatih profesional.
Mereka dapat membantu merancang latihan yang bersesuaian bagi mencapai matlamat anda.
- Tiada perubahan dalam senaman
Antara kesilapan ketika bersenam yang sering dilakukan adalah melakukan perkara yang sama dari hari ke hari.
Ya, ia bagus dalam prinsip penyesuaian untuk prestasi kerana menjadikan diri cekap dalam melakukan senaman yang sama berulang kali.
Pun begitu, dalam aspek penurunan berat badan, peningkatan kekuatan atau perkembangan kecergasan fizikal, ia sebaliknya.
Jika melakukan latihan kecergasan yang sama untuk tempoh jangka masa panjang, anda akan gagal melihat perubahan tambahan.
Cara mengatasi masalah ini, adalah dengan mengubah suai aktiviti fizikal setiap beberapa minggu atau bulan.
Perubahan ini boleh melibatkan jenis latihan, tempoh masa senaman atau jumlah pengulangan yang perlu dilakukan. Di sini, bantuan jurulatih profesional amat berguna.
Komitmen dan konsistensi melakukan aktiviti fizikal
Perkara paling utama dalam melakukan latihan kecergasan adalah untuk tidak berputus asa apabila tersasar daripada matlamat.
Konsistensi dan komitmen adalah 2 kualiti yang menjadikan program latihan kecergasan berjaya.
Namun, tidak dinafikan akan ada harinya anda bermotivasi untuk bersenam dan sebaliknya. Percayalah ia 1 keadaan yang normal. Usah rasa bersalah, okay?
Yang penting adalah untuk berusaha kekal konsisten dalam melakukan aktiviti fizikal.
[embed-health-tool-heart-rate]