Definisi
Apa itu hiperakusis?
Hiperakusis adalah gangguan dalam persepsi kenyaringan suara. Pesakit yang menderita hiperakusis mungkin kelihatan terlalu sensitif terhadap pelbagai bunyi, mendapati banyak bunyi yang tidak tertanggung serta bunyi kuat yang tak tertanggung.
Apakah kebarangkalian hiperakusis?
Hiperakusis menjejaskan kedua kanak-kanak dan orang dewasa, tetapi dianggap sebagai penyakit yang jarang, berlaku hanya sekitar anggaran satu dalam 50,000 orang. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom bagi hiperakusis?
Hiperakusis boleh bermula secara tiba-tiba atau berkembang secara beransur-ansur dari masa ke semasa.
Apabila seseorang yang mengalami keadaan ini mendengar bunyi, mereka boleh:
- Merasa tidak selesa
- Menutup telinga mereka atau cuba melepaskan diri dari bunyi bising
- Rasa marah, tegang, tertekan, atau cemas
- Mengalami rasa sakit – hiperakusis boleh menjadi sangat menyakitkan bagi sesetengah orang
Sesetengah orang menjadi takut bunyi dan mengelakkan situasi yang bising, menyebabkan mereka menjadi terpencil secara sosial. Sekolah dan suasana kerja juga boleh terkesan kerana ia boleh menjadi sangat sukar untuk menumpukan perhatian.
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bilakah saya harus berjumpa doktor?
Sekiranya anda mengalami simptom dan gejala disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang persoalan, sila berbincang dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.
Punca-punca
Apakah yang mengakibatkan hiperakusis?
Punca hiperakusis masih tidak lagi jelas.
Faktor risiko
Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko hiperakusis?
Hiperakusis telah dikaitkan dengan beberapa penyakit atau keadaan medikal lain, walaupun ramai orang dengan hiperakusis tidak mengalami masalah lain secara jelas.
Hiperakusis telah dikaitkan dengan:
-
- Tinnitus – mendengar bunyi yang datang dari dalam tubuh anda, bukannya dari sumber luar
- Hilang pendengaran – otak kadang-kadang boleh mengimbangi kurang pendengaran dengan menguatkan isyarat yang datang dari telinga
- Kerosakan di telinga atau otak – termasuk dari kecederaan kepala, pembedahan telinga, pendedahan kepada bunyi kuat, penyingkiran tahi telinga, telinga melekat, dan jangkitan telinga yang berterusan
- Migrain
- Palsi Bell – sejenis paralisis muka
- Penyakit Ménière – gangguan telinga dalam yang menyebabkan sensasi berputar (vertigo), tinnitus, dan kehilangan pendengaran
- Depresi dan post-traumatic stress disorder (ptsd)
- Penyakit Addison – gangguan jarang pada kelenjar adrenal, yang terletak berhampiran buah pinggang dan menghasilkan hormon penting
- Gangguan yang mempengaruhi otak – seperti sindrom Williams atau gangguan autisme spektrum
Hiperakusis juga boleh menjadi kesan sampingan ubat-ubatan tertentu. Jika anda mengambil apa-apa ubat, semak risalah yang disertakan untuk melihat jika hiperakusis disenaraikan sebagai kesan sampingan yang mungkin.
Diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimanakah hiperakusis didiagnosis?
Ahli audiologi akan bermula dengan menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh dan meminta dari pesakit tentang sejarah perubatan, termasuk soalan mengenai tempoh dan keterukan gejala. Ujian pendengaran atau audiogram akan dijalankan, iaitu graf yang menggambarkan keupayaan seseorang untuk mendengar bunyi pada frekuensi yang berbeza.
Walau bagaimanapun, penting untuk diperhatikan di sini bahawa kebanyakan orang yang mempunyai hiperakusis asli tidak mempunyai sebarang kehilangan pendengaran seperti yang diukur dan direkodkan pada audiogram. Mereka mungkin mengalami kesukaran mendengar ucapan dalam persekitaran yang bising atau dalam keadaan sukar mendengar, walaupun ujian pendengaran tidak menunjukkan kehilangan pendengaran. Ini kadangkala dipanggil disfungsi pendengaran atau kesukaran pemprosesan auditori.
Bagaimanakah hiperakusis dirawat?
Tiada ubat atau pembedahan khusus yang boleh merawat hyperakusis, walaupun merawat sebarang punca yang mendasar dapat membantu menyelesaikan masalah.
Sekiranya tidak ada punca yang jelas, teknik pakar untuk membantu mengurangkan kepekaan anda terhadap bising mungkin akan disyorkan.
Rawatan mungkin melibatkan:
- Terapi perilaku kognitif (cbt) – ini bertujuan untuk membantu anda meneroka dan mengubah cara anda berfikir tentang bunyi bising untuk mengurangkan kesengsaraan, menukar tabiat mengelakkan diri anda, dan membantu anda pulih dari simptom hiperakusis anda
- Kaunseling dan pendidikan – untuk menyokong anda dan membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai hiperakusis anda
- Terapi bunyi (desensitisation) – ini bertujuan untuk membantu desensitasi pendengaran anda selama beberapa bulan, menggunakan penjana suara khas sama ada diletakkan di dalam bilik atau di telinga anda (serupa dengan alat bantu pendengaran)
Perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas hiperakusis?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi hiperakusis:
- Mempelajari teknik relaksasi
- Mendengar muzik atau bunyi yang menenangkan
- Tidak mengelakkan atau lari dari situasi bising
- Tidak menggunakan penyumbat telinga atau muff (ini boleh membuat telinga anda lebih sensitif)
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.