Bukan main runsing lagi apabila kondisi ini masih tidak kunjung sembuh bukan? Sebab itu kena tahu ubat untuk sakit tekak yang terbaik!
Setiap kali ia berlaku, penderita mungkin hanya akan mempunyai dua ikhtiar utama yakni minum banyak air suam serta kemam lozeng.
Sebenarnya, ubat untuk sakit tekak bukan setakat itu sahaja dan terdapat banyak lagi cara yang boleh anda cuba secara moden atau tradisional.
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih mendalam lagi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkan di sini.
Ia bukan keadaan kesihatan yang boleh dipandang enteng!
Kondisi sakit tekak selalu berlaku kepada individu akibat daripada jangkitan mikroorganisma sama ada virus mahupun bakteria.
Selain itu juga, ia mungkin didalangi oleh beberapa faktor risiko yang lain seperti reaksi alahan, udara yang tercemar atau penyakit refluks asid.
Lebih membimbangkan, keadaan kesihatan ini turut merupakan simptom penyakit berbahaya yang lain termasuklah wabak pandemik COVID-19.
Jadi, sesuatu perlu dilakukan segera dalam berikhtiar mencari ubat untuk sakit tekak yang terbaik sama ada secara moden mahupun tradisional!
Penawar sakit tekak moden
Selepas berjumpa dengan doktor, anda mungkin akan dipreskripsikan dengan ubatan moden yang boleh diperolehi daripada klinik, farmasi atau hospital seperti berikut:
Ubatan antibiotik
Jika ia adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti Streptococcus, maka ubatan antibiotik perlu untuk anda ambil.
Ubatan antiviral
Jika ia adalah disebabkan oleh jangkitan virus seperti Influenza, maka ubatan antiviral wajar untuk anda ambil.
Ubatan antiradang
Terdapat banyak jenama ubatan antiradang bukan steroid (ibuprofen, naproxen) yang kalian boleh ambil bersama preskripsi untuk melegakan rasa sakit pada tekak.
Cecair semburan penyejuk
Cecair yang boleh diperolehi daripada klinik, farmasi atau hospital ini boleh disemburkan pada tekak yang sedang sakit.
Ia mengandungi agen bahan penyejuk seperti menthol atau eucalyptus yang boleh membantu melegakan sakit tekak.
Lozeng sakit tekak
Untuk pengetahuan anda, lozeng mengandungi beberapa sebatian yang mampu membantu melegakan sakit tekak termasuklah:
- Menthol
- Tylenol
- Amylmetacresol
Lebih menarik, ia didatangkan dalam bentuk dan rasa seakan gula-gula lantas membuat individu yang tidak gemar makan ubat mampu mengambilnya.
Penawar sakit tekak tradisional
Dalam pada itu, kalian juga mungkin mahu dan boleh mencuba beberapa ubat untuk sakit tekak secara tradisional di rumah sendiri termasuklah:
Air suam
Apabila minum banyak air suam, tekak penderita akan mengeluarkan lebih banyak air liur sekali gus memulihkan deria rasa individu.
Ia juga mungkin boleh berfungsi sebagai ubat tahan sakit opioid semula jadi pada otak lantas memberikan efek plasebo pada penderita.
Air garam
Kondisi sakit tekak juga sebenarnya mungkin boleh dilegakan dengan hanya berkumur air garam yang dicampurkan dengan air suam.
Ia disebabkan oleh sifat garam itu sendiri yang mampu membunuh bakteria atau virus yang menyebabkan keadaan kesihatan ini terjadi.
Cuka epal
Secara semula jadinya, cuka epal memang tinggi sebatian antimikrobial yang mampu melawan pelbagai jangkitan akibat mikroorganisma.
Disebabkan sifatnya yang asidik, ia berupaya membantu menipiskan lapisan mukus dalam mulut dan tekak lantas menghalang mikrobial daripada merebak.
Madu untuk sakit tekak
Untuk pengetahuan anda, madu telah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu ubat untuk kondisi batuk.
Ini kerana ia mempunyai bahan yang berpotensi untuk bertindak sebagai pemulih luka, rengsa atau radang termasuklah pada tekak.
Pudina untuk sakit tekak
Pudina mengandungi menthol yang mampu menipiskan lapisan mukus dalam mulut sekali gus melegakan kahak, batuk dan sakit tekak.
Selain menthol, ia juga tinggi sebatian antiradang, antibakteria dan antiviral yang sangat bagus untuk merawat ketidaknormalan pada tekak.
Bawang putih
Bawang putih adalah tinggi dengan kandungan allicin, sebatian organosulfer yang berfungsi melawan pelbagai jenis jangkitan.
Menurut kajian, pengambilannya dalam diet seharian anda mampu menghalang diri daripada terkena demam, selesema atau batuk biasa.
Aiskrim ketika sakit tekak
Meskipun kedengaran agak pelik, memang benar bahawa aiskrim adalah pemanis hidangan yang juga boleh berfungsi sebagai penawar sakit tekak.
Ini kerana ia mengandungi glukosa yang mampu memberi tenaga selain suhu sejuk dan tesktur lembut yang mampu melegakan kesakitan pada tekak.
Serbuk penaik
Menurut The National Cancer Institute, serbuk penaik mampu melegakan kondisi ini kerana ia boleh membantu menghalang pertumbuhan yis dan kulat.
Caranya, campurkan 1/4 sudu kecil serbuk penaik, 1/8 sudu kecil garam dan 1 cawan air suam kemudian kumur sebagai alternatif ubat sakit tekak.
Akar manis
Anda boleh dapati ubat untuk sakit tekak ini dengan campurkan akar manis bersama air suam untuk mendapatkan larutan kumur yang efektif.
Buat anda yang mungkin belum tahu, herba ini mampu membantu penderita mengurangkan sakit tekak, kahak dan juga batuk.
Jadi, cubalah salah satu cara yang kami cadangkan di atas. Jika masih tidak sembuh, sila dapatkan rawatan daripada klinik atau hospital berhampiran anda.