backup og meta

Guna Mesin Untuk Buang Kahak? Boleh Cuba Juga 6 Petua Tradisional Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/02/2024

    Guna Mesin Untuk Buang Kahak? Boleh Cuba Juga 6 Petua Tradisional Ini!

    Masalah kahak yang terkumpul terlalu banyak di dalam tekak boleh terjadi kepada semua individu tidak kira usia atau jantina. Malangnya, mungkin masih ramai belum tahu cara buang kahak yang berkesan.

    Selain ubatan dan rawatan doktor, adakah wujud alatan atau mesin yang boleh membantu membuang kahak?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila klik di sini.

    Kenapa ada kahak di tekak?

    Ramai yang akan mengaitkan kahak dengan kondisi kesihatan lain seperti batuk, selesema, demam dan lain-lain. Namun, tidak mustahil juga untuk terjadi keadaan kesihatan di mana tidak batuk tapi ada kahak.

    Untuk pengetahuan anda semua, tubuh badan manusia akan sentiasa menghasilkan sejenis cecair berbentuk lendir atau mukus yang berada di bahagian mulut, hidung, tekak dan organ paru-paru.

    Kahak (phlegm) adalah sejenis membran cecair yang dihasilkan oleh paru-paru untuk melindungi sistem pernafasan daripada mikrob, alergen dan bendasing lain daripada memasuki tubuh badan.

    warna kahak
    Maksud warna kahak yang berbeza.

    Dalam erti kata mudah, kahak memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan sistem pernafasan anda terpelihara. Pun begitu, akan timbul masalah jika ia terlalu pekat dan banyak.

    Bagi memastikan kahak yang ada tidak terlalu banyak dan tidak pula terlalu sedikit, individu perlu tahu cara buang kahak yang berkesan.

    Petua hilangkan kahak cara tradisional

    Selain ubatan dan rawatan klinikal, ada juga cara buang kahak yang lebih tradisional. Tidak perlu banyak ramuan atau bahan dapur untuk tujuan ini, berikut beberapa petua yang mungkin anda boleh cuba:

    • Meludah – Anda tidak boleh biar kahak terkumpul terlalu lama dan banyak. Jadi, cuba untuk meludahkan kahak itu keluar sekerap yang mungkin sebelum ia lama berkumpul
    • Minum air suam – Pengambilan cecair yang cukup akan meningkatkan hidrasi, ini sekali gus dapat mencairkan dan mengalirkan kahak ke paras optimum
    • Kumur air garam – Dengan berkumur air garam, ia boleh membantu menarik kahak keluar dari tekak selain membunuh bakteria yang berada di sekitarnya
    • Telan pati madu – Pati madu yang dicampurkan dengan kayu manis, halia, ginseng, pudina serta herba lain juga boleh membantu membuatkan kahak lebih cair dan mudah keluar
    • Lozeng – Biasa diambil ketika sedang batuk, ramai yang mungkin belum tahu jika gula-gula lozeng ini juga boleh membantu melegakan sakit tekak serta mengurangkan jumlah kahak
    • Hentikan tabiat buruk – Sebenarnya, tabiat buruk seperti merokok sama ada tembakau atau vape adalah antara punca utama kahak terkumpul lebih banyak. Jadi, dengan menghentikan tabiat buruk ini sudah tentu akan membantu anda
    cara buang kahak
    Tabiat buruk punca banyak kahak.

    Dalam masa yang sama, pengamalan diet lebih sihat – lebihkan sayur dan buah, kurangkan pedas, kafein dan alkohol, sudah tentu boleh membantu usaha anda sebagai salah satu cara buang kahak yang baik.

    Cara hilangkan lendir di kerongkong

    Tahukah anda bahawa kini telah ada cara buang kahak yang jauh lebih moden dan canggih dengan hanya menggunakan alatan mesin!

    Juga dikenali dengan nama aspirator, ia boleh membantu menarik keluar bukan sahaja kahak, malah air liur, darah, nanah serta semua rembesan daripada saluran pernafasan dengan mudah dan cepat.

    cara buang kahak
    Mesin untuk membantu menyedut kahak.

    Dahulu, alatan ini hanya digunakan di klinik atau hospital untuk tujuan kecemasan seperti situasi saluran pernafasan individu yang tersumbat atau tercekik dengan bendasing demi menyelamatkan nyawa.

    Menyedari keperluannya yang sangat berguna, alatan ini sudah banyak terjual di pasaran dengan pelbagai jenama. Ia juga boleh didapati dengan mudah sama ada melalui belian di luar ataupun atas talian.

    Apa yang mungkin membimbangkan adalah jika mesin itu mesra dan selamat untuk digunakan atau tidak. Nasihat daripada kami, carilah produk yang telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Selain itu juga, gunakan internet dan sumber maklumat lain untuk mendapatkan panduan penggunaan alatan ini ya?

    Jadi, anda tidak perlu lagi bimbang dengan cara buang kahak kerana ada banyak pilihan rawatan anda boleh cuba.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan