Definisi
Apa itu Masalah Pendengaran?
Masalah pendengaran, atau kehilangan pendengaran ialah keadaan kesihatan yang menyebabkan anda kehilangan keupayaan mendengar bunyi dengan baik. Terdapat tiga jenis masalah pendengaran bergantung kepada bahagian yang terjejas:
- Sensorineural: Berlaku apabila sel dalam bahagian dalam telinga atau saraf auditori rosak. Ia berlaku secara natural akibat penuaan atau setelah kecederaan.
- Konduktif: Berlaku disebabkan halangan yang menghalang bunyi daripada bahagian luar telinga ke dalam telinga.
- Campuran: Berlaku apabila terdapat masalah pendengaran konduktif dan sensorineural pada masa yang sama.
Apakah kebarangkalian Masalah Pendengaran?
Masalah pendengaran adalah keadaan kesihatan yang sangat kerap berlaku terutamanya dalam kalangan orang tua. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Masalah Pendengaran?
Simptom masalah pendengaran kebiasaannya ialah:
- Kesukaran mendengar dan memahami perkataan terutamanya dalam tempat yang bising;
- Kesukaran mendengar konsonan
- Sering menyuruh orang lain mengulang ucapan mereka
- Mendengar radio atau menonton TV dengan suara yang tinggi;
- Tidak dapat mengenal pasti arah bunyi
- Kesukaran melibatkan diri dalam perbualan.
Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Anda patut berjumpa doktor jika anda mengalami perkara berikut:
- Kehilangan keupayaan mendengar secara tiba-tiba.
- Tidak dapat memahami keseluruhan cerita dalam perbualan.
- Bunyi kedengaran sayup-sayup
- Perlu meninggikan suara TV atau radio secara berlebihan.
Punca
Apakah Punca Masalah Pendengaran?
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah pendengaran. Punca yang paling kerap ialah:
- Penuaan dan pendedahan kepada bunyi yang kuat boleh menyebabkan kerosakan pada rambut atau sel saraf yang menghantar isyarat bunyi ke otak. Apabila isyarat tidak lagi dihantar langsung, keupayaan pendengaran anda akan berkurang. Bunyi mungkin menjadi sayup dan anda tidak dapat memahami perbicaraan dalam keadaan bising.
- Tahi telinga berlebihan boleh menutup laluan telinga dan pergerakan gelombang bunyi
- Jangkitan telinga atau pertumbuhan tulang yang tidak normal atau ketumbuhan.
- Gegendang telinga yang pecah disebabkan bunyi yang terlalu kuat, perubahan tekanan secara tiba-tiba atau tercucuk gegendang telinga dengan objek.
- Penyakit genetik atau faktor yang diwarisi.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Masalah Pendengaran?
Terdapat banyak faktor risiko bagi masalah pendengaran, termasuklah:
- Pendedahan kepada bunyi bising;
- Faktor yang diwarisi
- Bekerja dalam keadaan yang bising
- Penggunaan antibiotik tertentu seperti gentamicin atau ubat kemoterapi tertentu akan mempengaruhi keupayaan pendengaran, begitu juga aspirin dos yang tinggi, ubat antimalarial atau diuretik gelung (loop diuretic).
- Masalah kesihatan tertentu yang berkaitan dengan demam seperti meningitis boleh merosakkan koklea.
- Penuaan: struktur dalam telinga semakin lemah dengan peningkatan usia menyebabkan masalah pendengaran.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Masalah Pendengaran didiagnosis?
Doktor anda akan bertanyakan dahulu simptom, bila simptom kelihatan dan jika anda terdedah kepada bunyi bising yang kuat pada waktu terdekat. Doktor juga mungkin akan bertanya tentang persekitaran rumah dan kerja anda untuk mencari punca bunyi bising yang boleh menyebabkan masalah pendengaran. Beberapa ujian juga boleh dilakukan untuk mengenal pasti bahagian telinga yang rosak dan rawatan yang bersesuaian.
- Pemeriksaan fizikal: doktor akan memeriksa dalam telinga untuk mengenal pasti punca seperti tahi telinga atau jangkitan telinga.
- Ujian saringan: doktor akan meminta anda menutup sebelah telinga dan menguji keupayaan pendengaran anda dan juga reaksi telinga kepada bunyi.
- Ujian garpu tala (Tuning fork test): Garpu tala digunakan untuk mengesan masalah pendengaran, kemudian saraf anda atau bahagian telinga yang rosak akan dikesan.
- Ujian audiometri: anda akan memakai fon telinga dan mendengar pelbagai bunyi dalam ton yang berbeza dan doktor mungkin akan menyuruh anda menentukan bunyi tertentu.
Bagaimana pesakit Masalah Pendengaran dirawat?
Bergantung kepada punca masalah pendengaran, doktor akan menyarankan rawatan yang bersesuaian. Rawatan mungkin sahaja adalah pembersihan tahi telinga untuk membuang halangan. Jika anda mengalami kerosakan yang lebih teruk pada telinga, doktor mungkin akan mencadangkan:
- Pembedahan diperlukan jika terdapat masalah pendengaran yang teruk dan jangkitan.
- Alat bantuan pendengaran membantu anda mengenal pasti dan mendengar bunyi dengan lebih mudah.
- Implan koklea juga merupakan rawatan untuk kes yang teruk untuk menggantikan bahagian dalam telinga yang rosak.
Anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan alat ini disebabkan kemungkinan risiko berkaitan masalah telinga, hidung dan tekak.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Masalah Pendengaran?
Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani masalah pendengaran:
- Meletakkan diri anda pada keadaan yang sesuai sewaktu perbualan, menghadap muka atau menutup bunyi bising yang boleh mempengaruhi perbualan.
- Jika anda terlepas sebarang perkataan, minta mereka mengulanginya dengan jelas dan kuat.
- Gunakan alat bantuan untuk membantu masalah pendengaran anda.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.