backup og meta

Badan Naik Ruam Akibat Cahaya Matahari? Ini Sebab Alahan Ataupun Memang Puteri Lilin?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/04/2021

    Badan Naik Ruam Akibat Cahaya Matahari? Ini Sebab Alahan Ataupun Memang Puteri Lilin?

    Di tengah-tengah sistem solar, terletaknya sebuah bintang yang kita kenali sebagai matahari. Walaupun jauhnya hampir 1.4 juta kilometer dari Bumi, tapi semua hidupan di planet ini memerlukan cahaya matahari untuk kekal hidup.

    Walau bagaimanapun, bola api gergasi ini ditakuti oleh golongan puteri lilin, dan juga individu yang alah terhadap cahaya matahari.

    Mereka yang mempunyai alergi jenis ini akan mengalami ruam yang menyakitkan dan gatal-gatal pada bahagian kulit yang terdedah kepada cahaya matahari.

    Tetapi, apakah punca sebenar alahan terhadap cahaya matahari? Jom baca kupasan kami di bawah.

    Benarkah wujudnya alahan terhadap matahari?

    alergi matahari

    Polymorphous light eruption atau PLE merupakan satu kondisi yang menyebabkan kulit seseorang mengalami ruam timbul yang kemerah-merahan apabila terdedah kepada sinaran matahari.

    Kondisi ini merupakan salah satu penyakit kulit berkaitan cahaya matahari yang paling lazim berlaku. Untuk pengetahuan anda, hampir 10% daripada populasi dunia menghidap PLE.

    Selain itu, penyakit ini juga lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita kaukasia yang berkulit putih.

    Apa yang menarik adalah simptom PLE akan mula muncul ketika musim bunga dan awal musim panas apabila pesakit mula keluar dan terdedah kepada cahaya matahari.

    Walau bagaimanapun, episod ruam ini akan berkurang apabila musim panas tiba pada penghujungnya.

    Tetapi, pada tahun berikutnya, penyakit ini akan kembali menyerang jika penghidapnya tidak berhati-hati.

    Ada individu yang mengalami PLE secara turun-temurun. Namun, ada juga yang mengalaminya setelah menggunakan beberapa jenis ubat-ubatan tertentu ataupun terdedah kepada tumbuhan seperti limau atau parsnip.

    PLE selalunya akan hilang dengan sendirinya tanpa sebarang parut pada kawasan kulit dalam masa 10 hari.

    Namun, mereka yang mengalami alergi terhadap cahaya matahari yang lebih teruk mungkin memerlukan preskripsi ubat-ubatan seperti pil atau krim steroid untuk mengawal ruam yang mereka alami.

    Solar urticaria – Sejenis alergi matahari kronik

    Selain PLE, ada satu lagi penyakit alahan matahari kronik yang dikenali sebagai solar urticaria. Jika dibandingkan dengan PLE, solar urticaria merupakan penyakit yang lebih teruk dan sukar untuk diuruskan.

    Ruam gatal yang timbul pada kulit akibat penyakit ini selalunya akan kekal dalam masa 30 minit hinggalah 2 jam. 

    Pesakit pula akan sentiasa sensitif terhadap cahaya matahari. Malah, pesakit boleh diserang kejutan anaflaksis jika banyak permukaan kulit yang terdedah kepada cahaya matahari dalam satu-satu masa.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang mengalami solar urticaria perlu melindungi kulit mereka sepenuhnya untuk mengelakkan pendedahan terhadap cahaya matahari.

    Walaupun anda tidak menghidap PLE ataupun solar urticaria, sensitiviti terhadap cahaya matahari masih boleh berlaku jika anda mengambil ubat-ubatan tertentu. 

    Sebagai contoh, mereka yang mengambil doxycycline, antibiotik seperti sulfonamides ataupun NSAIDs seperti ibuprofen atau naproxen.

    Kesemua ubat-ubatan di atas berpotensi untuk membuatkan anda lebih sensitif terhadap pancaran matahari!

    Lindungi badan anda daripada pancaran terik matahari

    alergi matahari

    Walaupun PLE dan solar urticaria boleh terjadi pada mana-mana kawasan tubuh badan, tapi ia selalunya berlaku pada bahagian yang terdedah kepada cahaya matahari.

    Sebagai contoh, ruam mudah naik pada bahagian seperti lengan, kaki, tangan dan juga leher.

    Dalam kes yang serius, individu yang menghidap alergi matahari masih akan mengalami ruam walaupun telah memakai pakaian yang menutup kulit.

    Kadangkala, baju yang nipis dan tembus cahaya juga tidak dapat menghalang mereka yang mengalami solar urticaria daripada diserang alergi.

    Walaupun begitu, bahagian yang sentiasa terdedah kepada matahari seperti muka dan belakang leher tidak pula akan naik ruam jika terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari. 

    Pelik bukan!

    Atasi alergi terhadap cahaya matahari

    alergi matahari

    Jika anda mempunyai alergi ataupun sensitiviti terhadap cahaya matahari, atasinya dengan mengambil langkah berikut:

    1. Elakkan cahaya matahari semasa waktu puncak. Jika boleh, elakkan keluar rumah pada 10 pagi hingga 4 petang.
    2. Jangan biarkan kulit terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama. Pastikan anda tidak menghabiskan masa terlalu lama di luar rumah. Selain itu, anda juga boleh pakai pakaian yang direka khas untuk menghalang sinaran UV.
    3. Pakai pakaian yang menutup kulit. Jangan lupa pakai kaca mata hitam untuk menghalang sinaran matahari daripada menembusi kulit anda.
    4. Gunakan pelindung matahari. Jika boleh, gunakan jenama yang mempunyai SPF lebih daripada 30. Selain itu, pastikan anda sentiasa memakai pelindung matahari setiap 2 jam.
    5. Elakkan pemicu alergi anda. Jangan sentuh atau makan parsnip dan limau jika tahu yang anda mempunyai alergi, ini bagi mengelakkan kulit gatal.
    6. Jangan makan ubat yang membuatkan anda sensitif terhadap cahaya matahari. Kadangkala, beberapa jenis ubat-ubatan juga boleh menyebabkan anda jadi sensitif terhadap matahari. Dapatkan nasihat doktor.
    7. Pakai pelembap. Pelembap boleh membantu untuk melindungi kulit daripada cahaya matahari dan menghalang iritasi yang berlaku akibat kulit kering.

    Kesimpulan

    Alahan atau sensitiviti terhadap matahari yang ringan boleh hilang tanpa sebarang rawatan.

    Walau bagaimanapun, mereka yang alami alahan teruk perlu mengambil langkah pencegahan yang bersesuaian supaya anda tidak terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari.

    Ruam yang terhasil akibat sinaran mentari boleh mengganggu kehidupan seharian. Oleh sebab itu, jika anda alami keadaan ini, berjumpalah dengan doktor untuk rawatan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 05/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan