Dapatkan nasihat perubatan segera untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku. Kadangkala, seseorang itu mungkin malu untuk berjumpa doktor kerana ia melibatkan bahagian sulit.
3. Hilang berat badan yang tidak dapat dijelaskan

Antara petanda umum bagi mana-mana kanser adalah hilang berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
Ia berbeza jika seseorang itu memang sedang dalam program diet atau mempunyai penyakit yang dimaklumi menyebabkan keadaan tersebut seperti hipertiroid.
Jika mengalami penurunan berat badan yang signifikan, iaitu 5 peratus daripada keseluruhan berat badan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.
4. Ketidakselesaan pada abdomen

Tidak kurang juga pesakit kanser kolorektal yang mengalami simptom ini. Mereka mengadu sakit perut, kembung dan perut penuh hampir setiap hari walaupun kadang-kadang berlaku tanpa pengambilan sebarang makanan.
Mereka juga mungkin mengalami kekejangan perut atau sakit pada pinggul.
Malangnya, simptom-simptom ini seakan-akan menyerupai penyakit asid refluks, penyakit radang usus atau rengsa usus. Oleh sebab itu, ia selalu di salah diagnosis.
5. Hilang selera dan mudah penat

Simptom ini juga adalah tidak spesifik untuk kanser kolorektal. Kebiasaannya mana-mana kanser boleh menyebabkan dua simptom ini.
Mudah penat itu mungkin disebabkan oleh kurang pengambilan makanan atau kurang darah merah (anemia) disebabkan pendarahan dari usus besar.
6. Sesak nafas atau ketidakselesaan dada

Banyak sebab boleh menyebabkan simptom ini. Dalam kes kanser kolorektal, anemia mungkin menjadi penyebabnya.
Selain itu, dalam kes yang lebih parah, sesak nafas mungkin disebabkan oleh kanser yang telah merebak sehingga ke paru-paru. Dalam kes seperti ini, prognosisnya adalah sangat rendah.
Apa yang saya harus lakukan untuk melawan bahaya kanser kolorektal?
Usaha melawan kanser adalah usaha bersama, bukan hanya tertumpu pada sektor kesihatan semata-mata.
Lebih-lebih lagi yang melibatkan kanser, diagnosis awal perlu dibuat untuk mendapatkan hasil yang lebih positif dari rawatan yang dijalankan.
Di Malaysia, pihak hospital ada menyediakan khidmat saringan kanser kolorektal. Ia kebiasaannya dijalankan bermula umur 50 hingga 75 tahun.
Namun bagi yang berisiko tinggi, ujian mungkin perlu dilakukan lebih awal.
Antara golongan yang berisiko tinggi adalah:
- Ada keluarga terdekat mengalami polip atau kanser kolorektal.
- Menghidapi penyakit ulseratif kolitis atau penyakit Crohn.
- Mempunyai sindrom genetik yang berkaitan seperti familial adenomatous polyposis (FAP) atau hereditary non-polyposis colorectal cancer.
Jika anda berisiko mendapat kanser kolorektal atau berumur antara 50 hingga 75 tahun, sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan ujian saringan.
Jangan tunggu sehingga simptom datang, kerana pada waktu itu, mungkin anda sudah terlambat.
Baca juga: