backup og meta

5 Manfaat Amalkan Dua Biji Epal Dalam Sehari, Sangat Bagus Untuk Kesihatan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/02/2023

    5 Manfaat Amalkan Dua Biji Epal Dalam Sehari, Sangat Bagus Untuk Kesihatan

    Ada pepatah mengatakan “Sebiji epal dalam sehari boleh menjauhkan anda daripada doktor,” tetapi bagaimana pula dengan dua biji epal sehari? Apakah manfaat yang mungkin diperolehi sekiranya mengamalkan pengambilan buah tersebut? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Dua biji epal = 4 peratus

    Jika sebelum ini anda mengamalkan untuk memakan sebiji epal sehari, mungkin selepas ini anda boleh mula mengambil dua biji epal setiap hari. Kenapa? Ini kerana terdapat penyelidikan yang mengatakan dua biji epal yang dimakan setiap hari akan dapat membantu mengekalkan kadar kolesterol

    Lebih menarik lagi, penyelidik turut mendakwa bahawa individu yang mengambil dua biji epal sehari, untuk tempoh selama lapan minggu akan dapat menurunkan kadar kolesterol tidak baik sehingga empat peratus.

    Keadaan ini sekali gus dapat mengurangkan risiko untuk mengalami serangan strok atau jantung yang disebabkan pengerasan kolesterol pada arteri. Menarik, tetapi betul ke?

    Kajian yang dilakukan

    dua biji epal

    Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition, responden yang berusia antara 20 hingga 69 tahun diminta untuk mengambil dua biji epal sehari dalam tempoh dua bulan. Tahap tekanan darah diambil oleh penyelidik pada sebelum dan selepas tempoh kajian.

    Pengkaji turut membuat perbandingan hasil kajian dengan individu yang mengambil dua gelas minuman air epal yang mempunyai kadar kandungan kalori yang sama sepanjang tempoh dua bulan kajian. 

    Daripada hasil kajian, individu yang memakan epal akan mengalami penurunan kadar kolesterol tidak baik secara purata 3.6 peratus lebih rendah berbanding individu yang mengamalkan pengambilan minuman berasaskan epal. 

    Kadar peratusan itu adalah jauh lebih rendah berbanding pengambilan ubatan statin, iaitu ubat-ubatan yang biasanya diambil untuk mengurangkan kolesterol antara 30 hingga 55 peratus. Tetapi perubahan diet yang kecil ini dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

    Lebih menarik lagi, hasil kajian ini juga mendapati individu wanita yang mengamalkan pengambilan dua biji epal ini setiap hari akan mendapat lebih manfaat berkaitan kolesterol berbanding lelaki. 

    Walaupun dikatakan wanita lebih memperolehi manfaatnya, ia tidak bermakna tiada langsung kebaikan yang diperolehi oleh individu lelaki, bukan? Namun, sebenarnya masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengesahkan mengenai perkara ini. 

    Jadi apa kata kita fokuskan kembali mengenai kebaikan buah epal ini, okay?

    Apakah manfaatnya?

    Sebelum bercerita mengenai manfaatnya, pernah tak anda terfikir kenapa epal yang menjadi pilihan? Ini kerana epal merupakan buah yang mengandungi kandungan serat dan air yang tinggi – dua sifat yang membuatkan anda kenyang.

    Dua epal yang besar, mengandungi kira-kira satu per empat serat harian yang disyorkan bagi seorang individu dan terdapat sejenis serat yang menyokong perkembangan bakteria baik sekali gus dapat mengurangkan kolesterol. Haaa, sebab itulah wujudnya pepatah, “Sebiji epal dalam sehari boleh menjauhkan anda daripada doktor.”

    Penyelidik kajian juga mendapati individu yang mengamalkan pengambilan buah ini setiap hari juga akan mempunyai saluran darah yang lebih sihat dan lebih tenang. Kesan keadaan ini adalah sama dengan pengambilan makanan lain yang mengandungi sebatian semula jadi yang dipanggil polifenol.

    Untuk pengetahuan, polifenol adalah sebatian fitokimia yang secara semula jadi terkandung di dalam tumbuhan. Sebatian ini memberikan pelbagai warna (pigmen) dalam makanan. Bukan itu sahaja, polifenol juga berfungsi untuk melindungi tumbuhan dari bahaya.

    Menurut pengarang kanan kajian dari Hugh Sinclair Unit of Human Nutrition di University of Reading, Profesor Julie Lovegrove berkata, “Nampaknya pepatah lama yang sering disebut mengenai buah ini adalah hampir tepat.”

    Individu yang memakan dua epal bersaiz besar setiap hari yang mengandungi kandungan polifenol yang tinggi akan mempunyai tahap kolesterol LDL yang lebih rendah dan tiada sebarang pengurangan kolesterol baik berbanding mereka yang mengambil minuman berasaskan epal. Kolesterol LDL ini juga disebut sebagai kolesterol tidak baik. 

    “Kami percaya serat dan polifenol dalam epal adalah penting dan epal merupakan sejenis buah yang sangat popular dalam kalangan individu dari pelbagai peringkat usia. Ia merupakan sejenis buah yang mudah untuk dimakan dan adalah pilihan makanan snek yang sihat.”

    Pakar percaya jenis serat yang ditemui dalam epal bermanfaat kepada bakteria penting dalam usus untuk menghasilkan rantaian pendek asid lemak yang boleh menurunkan kolesterol dalam hati. 

    Kebaikan epal

    dua biji epal

    Epal atau nama saintifiknya malus domestica adalah sejenis tanaman berbuah dalam genus malus dan keluarga mawar. Ia berasal dari Asia Barat dan merupakan tanaman yang paling banyak ditanam di dunia.

    Jom ketahui apakah kebaikan epal:

    Otak

    Menurut kajian yang dibentangkan di Alzheimer’s Association’s International Conference pada 2017, individu yang gemar makan makanan berasaskan tanaman mempunyai kurang risiko demensia

    Jantung

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Florida State University, buah ini yang tinggi kandungan serat dapat membantu mengawal paras kolesterol agar kandungan kolesterol ‘baik’ melebihi kolesterol ‘jahat’. 

    Berat badan

    Berdasarkan kajian, individu yang gemar makan buah ini sebagai pembuka selera akan membuatkan mereka berasa kenyang sebelum makan sajian utama. Kajian tersebut menyambung lagi bahawa individu tersebut akan memperoleh kalori yang lebih rendah iaitu sebanyak 200 kalori kurang daripada individu yang tidak melakukannya. 

    Risiko diabetes

    Dalam satu kajian berskala tinggi yang pernah dijalankan, memakan sebiji epal sehari mempunyai hubungan dalam menurunkan risiko mengalami diabetes jenis 2 sehingga 28 peratus, berbanding jika langsung tidak mengambil epal. 

    Keadaan ini mungkin kerana polifenol yang terkandung di dalam epal yang membantu mencegah kerosakan tisu pada sel beta di dalam pankreas. Sel beta berfungsi menghasilkan insulin kepada badan dan fungsinya selalu terjejas pada individu yang mempunyai diabetes jenis 2.

    Kanser

    Kandungan antioksidan dalam buah ini yang sangat tinggi menjadikan ia antara sumber makanan yang mampu melawan kanser. Menurut kajian yang dilakukan di Itali, makan buah ini sekali sehari dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolorektal berbanding buah-buahan yang lain.

    Kesimpulan 

    Jadi walaupun masih banyak kajian yang perlu untuk mengesahkan mengenai kebaikan buah ini dalam mengurangkan kadar kolestrol tidak baik dalam badan, tetapi buah epal tetap memberikan manfaat kebaikan kepada mereka yang mengamalkannya. Jadi, jangan lupa makan dua biji epal setiap hari, okay?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 13/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan