Pernahkah kalian terdengar atau terbaca istilah fetish seks? Apakah maksud fetish?
Hakikatnya, ia memang wujud dalam diri kebanyakan individu. Ada yang menganggap ia normal dan ada juga yang menyangka ia adalah satu gangguan pada mental.
Cuba tanya pada diri anda sendiri. Sebagai contoh, adakah anda tertarik kepada wanita yang memakai kasut tumit tinggi? Atau lelaki yang mempunyai bulu badan banyak? Jika ya, kalian juga mungkin mengalaminya.
Persoalannya, adakah ia sesuatu yang normal atau gangguan mental? Jom sama-sama kita selami artikel ini dengan lebih mendalam untuk mengetahui jawapannya!
Apa maksud fetish seks?
Sebelum pergi dengan lebih lanjut, haruslah kita tahu maksud sebenar di sebalik istilah ini terlebih dahulu. Untuk pengetahuan anda, maksud fetish adalah satu keadaan di mana seseorang itu cenderung untuk meminati atau menyukai sesuatu yang sangat spesifik.
Terdapat banyak jenis fetish di dalam dunia ini. Sebagai contoh, ada fetish makanan, fetish pakaian dan yang paling biasa adalah fetish seksual. Dalam erti kata yang lebih mudah, fetish adalah kecenderungan terhadap sesuatu.
Misalnya, ada suami yang gemar melihat isteri memakai lingerie sewaktu bersenggama dan ada juga yang teruja melihat isteri memakai baju kelawar sahaja. Ia adalah berbeza dan bergantung kepada individu masing-masing.
Pun begitu, sehingga kini masih belum ada sebarang kajian yang berjaya menemui sebab seseorang itu memiliki fetish. Berbalik kepada persoalan utama artikel, adakah ia sesuatu yang normal?
Adakah normal jika memiliki kecenderungan seks?
Menurut Scot Jacobey yang merupakan Pakar Terapi Seks, fetish adalah sebahagian daripada fantasi seks. Ia boleh dikategorikan sebagai salah satu daripada perilaku seks yang normal.
Pun begitu, ia sangat bergantung kepada apa yang difantasikan oleh seseorang itu. Sebagai contoh, tiada masalah jika fetish seksual ini dilampiaskan oleh individu bersama pasangannya yang telah sah berkahwin.
Namun, bagaimana pula jika seseorang itu memiliki fetish yang gemar menonton pasangan lain melakukan hubungan seks? Sudah terang lagi bersuluh, ia adalah satu perbuatan yang sangat tidak bermoral.
Contoh-contoh fetish seks yang wujud
#1. Fetish dengan kaki
Menurut sebuah kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Impotence Research, kaki adalah bahagian pada tubuh badan yang paling dikatakan boleh membangkitkan nafsu seseorang.
#2. Fetish dengan punggung
Tahukah anda bahawa orang yang cepat terangsang dengan punggung seseorang dinamakan sebagai pygophilia? Ia sememangnya wujud dan dimiliki oleh ramai orang.
#3. BDSM
Untuk pengetahuan anda, BDSM adalah sejenis fetish atau fantasi seks yang cenderung menggunakan kekerasan dan keganasan untuk memuaskan nafsu seksual masing-masing.
BDSM memerlukan banyak alat permainan seks untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, tali, gari, vibrator, dildo dan macam-macam lagi. Namun, adakah ia normal?
#4. Voyeurism
Menurut kajian yang pernah dijalankan oleh Archives of Sexual Behavior, lebih dari 10% lelaki mempunyai fetish sebegini. Buat anda yang belum tahu, ia adalah kecenderungan untuk seseorang itu gemar melihat pasangan lain melakukan hubungan seks di hadapan mereka.
Inilah salah satu dari fetish seks yang boleh dianggap sebagai gangguan mental. Manakan tidak, perbuatan ini sudah terang-terangan tidak bermoral serta salah dari sudut agama Islam.
Jadi, jika anda adalah salah seorang yang mempunyai kecenderungan ini, sila dapatkan bantuan kaunseling dan segera buangnya daripada senarai keinginan seksual anda.
Sebenarnya, terdapat banyak lagi fetish seks yang terdapat di dalam dunia ini selain contoh yang dinyatakan. Mungkin sesetengahnya adalah normal namun ada juga yang boleh dianggap sebagai gangguan mental seperti pedophila, preggophilia dan lain-lain.
Jadi, sila muhasabah diri anda. Jika anda rasa kecenderungan anda terarah kepada sesuatu yang tidak normal, segera dapatkan bantuan pakar!