backup og meta

Guna Asid Borik Untuk Rawat Masalah Jangkitan Faraj, Biar Betul? Selamat Ke?

Guna Asid Borik Untuk Rawat Masalah Jangkitan Faraj, Biar Betul? Selamat Ke?

“Asid borik digunakan untuk merawat jangkitan faraj? Biar betul?’ Ini mungkin reaksi segelintir wanita apabila doktor mengesyorkan penggunaan asid tersebut sebagai rawatan alternatif.

Penggunaan istilah asid sering menggambarkan sesuatu yang menakutkan dan bersifat menghakis, lantas boleh menimbulkan kekeliruan kaum Hawa.

Asid borik adalah serbuk putih yang terdapat di farmasi atau kedai perkakas, boleh melakukan banyak perkara daripada mengeluarkan kotoran pakaian hingga menghilangkan bau hapak peti sejuk.

Persoalan utama di sini, bagaimana asid yang digunakan untuk urusan rumah boleh dijadikan sebagai rawatan alternatif jangkitan faraj? Teruskan pembacaan!

Fahami tahap pH faraj

Untuk makluman, faraj wanita secara semula jadinya mempunyai persekitaran yang berasid.

Faraj yang sihat mempunyai pH sekitar 4, hasil pengeluaran asid laktik oleh flora faraj yang normal.

Tambahan itu, pH faraj yang berasid ini secara semula jadi membantu menjaga kesihatan alat kelamin.

Apa kepentingan pH yang seimbang bagi wanita? Mempunyai kadar pH sihat bantu mengurangkan pertumbuhan banyak patogen, termasuk yang berkaitan dengan penyakit kelamin.

Apabila pH terganggu akibat jangkitan atau masalah kesihatan faraj lain seperti vaginosis bakteria, ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan organisma tidak sihat.

Justeru, pada saat itulah asid borik dalam bentuk vaginal suppositories (dimasukkan di faraj) dapat membantu!

Ini disebabkan sifatnya yang anti mikroba dan anti kulat yang melebihi kesan pHnya, menyumbang kepada kemampuannya dalam melawan jangkitan yis dan trichomoniasis.

Mari fahami kegunaan asid borik sebagai rawatan alternatif dengan lebih lanjut!

Jenis-jenis jangkitan sesuai dirawat menggunakan asid borik

#1 Jangkitan kulat

punca keputihan

Jangkitan kulat faraj, juga dikenali sebagai kandidiasis yang melibatkan pembiakan sejenis kulat yang berlebihan dikenali sebagai Candida Albicans (yis yang paling biasa ada pada manusia).

Jumlah jangkitan ini meningkat dalam kalangan wanita pada akhir kehamilan dan mereka yang mengalami immunosuppressed (sistem imun tidak berfungsi seperti normal).

Antara simptom yang dapat diperhatikan merangkumi rasa gatal-gatal pada faraj, kemerahan, dan keputihan.

Walaupun kewujudannya boleh mengganggu keselesaan anda, tapi masalah ini biasanya tidak serius dan ada rawatannya.

Terdapat bukti yang cukup baik berkenaan penggunaan asid borik dalam merawat jangkitan yis.

Malah, ia didapati berkesan terutamanya bagi wanita yang jangkitan kulatnya bukan disebabkan oleh Candida Albicans.

Kajian mendapati asid ini berkebolehan dalam menghilangkan jangkitan yang tidak berpunca daripada jenis kulat tersebut dan mempunyai kadar penyembuhan sebanyak 40% hingga 100%!

#2 Vaginosis bakteria

Berbeza dengan jangkitan yis, vaginosis bakteria (BV) sebenarnya bukan sejenis jangkitan.

Ia berlaku apabila keseimbangan semula jadi bakteria di dalam faraj terjejas, maka pertumbuhan berlebihan bakteria tertentu akan menyebabkan beberapa gejala, termasuk kegatalan.

Selain gatal-gatal, vaginosis bakteria sering menunjukkan simptom lain seperti keputihan berair yang berbau hanyir.

Di samping itu, BV juga sering dikaitkan dengan peningkatan pH faraj, yang bersamaan dengan bahagian intim yang kurang berasid.

Terdapat kekurangan bukti yang berkualiti dalam penggunaan asid borik untuk merawat vaginosis bakteria, walaupun 1 kajian yang tidak dilakukan secara rawak menunjukkan hasil yang baik.

Selain itu, asid borik kini dalam fasa percubaan klinikal yang besar dan berterusan untuk menguji sama ada ia sama efektif dengan metronidazole dalam merawat BV.

Disebabkan keberkesanan asid ini dalam merawat BV masih menjadi tanda tanya, bukti kajian yang lebih banyak dan berkualiti harus dilakukan bagi menentukan sama ada ia berkesan dijadikan rawatan atau sebaliknya.

#3 Trichomoniasis

seks

Trichomoniasis atau trich adalah 1 jenis jangkitan kelamin yang disebabkan oleh parasit Trichomoniasis vaginalis dengan anggaran sebanyak 3.7 juta orang di A.S. dijangkiti, menurut CDC.

Jangkitan kelamin ini juga dikatakan mudah terkesan dengan tahap pH yang lebih berasid.

Hal ini menjadikannya sukar untuk tumbuh di persekitaran yang berasid, dan jangkitan terbukti banyak berlaku kepada wanita yang mempunyai tahap pH faraj lebih tinggi berbanding yang sihat.

Terdapat beberapa bukti yang menyokong penggunaan suppositories asid borik sebagai rawatan yang berkesan digunakan untuk trichomoniasis.

Walaupun penyelidikan dilakukan dalam skala kecil, kajian berasaskan makmal mendapati asid ini secara efektif menghalang pertumbuhan trichomoniasis.

Hasil ini menyokong idea bahawa asid borik berupaya menjadi pilihan rawatan alternatif yang sesuai untuk jangkitan kelamin itu!

Konklusi

Bukti yang telah penulis kupaskan di atas mungkin tidak begitu konsisten, namun sudah cukup kuat untuk menujukkan penggunaan asid borik sebagai rawatan alternatif mungkin pilihan yang selamat dan berkesan.

Pun begitu, sebelum kalian membuat sebarang keputusan, ada baiknya berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencubanya.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://my.clevelandclinic.org/health/drugs/19641-boric-acid-vaginal-suppository
  2. https://www.uofmhealth.org/health-library/d01225a1#:~:text=This%20product%20works%20by%20replenishing,burning%2C%20itching%2C%20and%20odor.
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4514959/
  4. https://www.uofmhealth.org/health-library/tn9595
  5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25581807/#:~:text=Conclusions%3A%20The%20microbicidal%20effect%20of,therapeutic%20arsenal%20for%20treating%20trichomoniasis.

Versi Terbaru

28/05/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Nak 'Bersama' Tapi Ada Jangkitan Kulat Pula... Sebelum Proceed, Ambil Tahu Risiko Ini!

Ingin Faraj Yang Sihat Kena Pandai Pilih Seluar Dalam Wanita, Ada 5 Tip Perlu Ikut


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 28/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan