backup og meta

Orang GILA KERJA Ada Masalah Mental, Cuba Periksa Tanda-tanda Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 29/03/2021

    Orang GILA KERJA Ada Masalah Mental, Cuba Periksa Tanda-tanda Ini!

    Adakah anda tahu sekiranya anda seorang yang workaholic atau gila kerja? Bagi mengetahui jika anda seorang yang sibuk bekerja, kenalinya melalui tanda-tanda ini.

    Maksud gila kerja

    Dalam bahasa Inggeris, ia lebih dikenali dengan nama workaholic. Ia bermaksud anda terlalu sibuk bekerja seolah-olah sudah ketagih dengan pekerjaan tersebut.

    Ia adalah satu keadaan di mana anda tidak boleh mengawal diri daripada terus bekerja sepanjang masa.

    Ketagihan bekerja atau gila kerja ini adalah salah satu daripada gangguan kesihatan mental.

    Apakah punca kepada keadaan gila kerja ini? 

    Kebanyakan daripada keadaan gila kerja ini berpunca daripada paksaan yang dilakukan ke atas diri sendiri bagi mencapai kejayaan atau status dalam pekerjaan.

    Ada juga punca di mana ia bagi mengelakkan diri daripada mengalami stres atau tekanan yang berkaitan dengan emosi.

    Tetapi kebanyakannya berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu tugasan yang diberikan.

    Percaya atau tidak, mereka yang mengalami ketagihan gila kerja juga boleh mengalami ‘high’ seperti penagih dadah.

    Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami keadaan tersebut.

    Tetapi salah satu tanda bahawa mereka telah sampai ke tahap itu ialah, mereka kerap mengulangi tabiat gila kerja ini sehingga tidak mampu untuk menghentikannya. 

    Tanda-tanda jika seseorang itu ketagihan atau gila kerja

    Terdapat 11 tanda umum yang boleh menentukan sama ada anda adalah seorang yang terlalu sibuk bekerja atau tidak:

    #1. Tiada masa bersama keluarga

    gila kerja

    Pernahkah ahli keluarga anda menyatakan bahawa anda terlalu sibuk bekerja? Atau mereka rasa terabai?

    Jika pernah, itu adalah salah satu tanda bahawa anda terlalu sibuk bekerja. Anda mungkin memberikan alasan bahawa anda mendapat tekanan untuk mencapai sasaran prestasi tugasan.

    Tetapi anda tidak sedar bahawa banyak masa anda hanya dihabiskan dengan bekerja sehingga amat jarang melakukan aktiviti bersama keluarga. 

    #2. Kerap melihat email kerja di mana-mana

    Dengan kemudahan teknologi dan juga sambungan internet, kini tugas kerja boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

    Namun, anda mungkin tidak sedar bahawa anda menggunakan kemudahan ini dengan kerap ‘bersama’ tugas kerja anda tanpa mengira masa dan tempat.

    Sebagai contoh, anda memeriksa email kerja walaupun pada ketika anda sedang berehat, baring atau hendak tidur.

    Anda juga mungkin memeriksa email atau tugasan anda sewaktu membuang air di dalam tandas.

    #3. Rumah juga menjadi pejabat anda

    gila kerja

    Kebiasaan waktu bekerja hanyalah antara 8 ke 9 jam sehari.

    Namun, bagi mereka yang sibuk bekerja sehingga mengalami ketagihan, tugas kerja dibawa pulang ke rumah dan disambung sehingga waktu tidur.

    Tabiat ini diulang-ulang setiap hari tanpa disedari.

    Anda juga kerap melihat telefon bimbit, tablet mahupun komputer riba di mana-mana sahaja walaupun ketika di meja makan. 

    #4. Tidak wujud keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan

    Sepatutnya, apabila telah pulang ke rumah, apa yang perlu anda lakukan ialah berehat dan menikmati masa bersama keluarga.

    Banyak perkara boleh dilakukan di rumah seperti menonton televisyen, bersenam, berkebun, memasak dan pelbagai lagi.

    Namun, jika sudah terlalu ketagih bekerja, kesemua perkara ini tidak lagi dilakukan.

    Anda tidak lagi menonton televisyen bersama ahli keluarga atau melancong bersama rakan. Apa yang anda fikirkan hanyalah kerja, kerja dan kerja. 

    #5. Tidak mengambil cuti tahunan

    sibuk bekerja

    Individu lain mungkin gembira ketika mengambil cuti tahunan, tetapi tidak bagi anda.

    Apa yang anda fikirkan ialah, kerja yang semakin bertimbun atau risau jika rakan sekerja mencari anda untuk tugasan kerja.

    Hasilnya, anda takut untuk mengambil cuti tahunan dan terus bekerja sehingga akhir tahun.

    Apa yang perlu dilakukan adalah, menggantikan individu lain untuk melakukan kerja bagi pihak anda buat sementara waktu.

    Dengan itu, anda dapat mengambil cuti dan berehat dengan tenang tanpa risau. 

    Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami perkara-perkara seperti berikut:

  • Kerap mencari lebih banyak masa terluang untuk melakukan kerja, bukan untuk berehat
  • Bekerja dengan tujuan menunjukkan kebolehan anda walaupun anda sendiri rasa terbeban dan tidak berkemampuan
  • Tidak mengurangkan tugas kerja walaupun telah disuruh oleh individu lain
  • Mengalami masalah kesihatan akibat terlalu kuat bekerja seperti insomnia, pertambahan berat badan dan keresahan
  • Jika mempunyai masa lapang, anda menggunakannya untuk membuat kerja
  • Kerap berasa resah dan gelisah apabila kerja bertambah, tetapi tetap mahu menyiapkannya
  • Semak diri anda kembali

    Semak semula diri anda. Adakah anda mengalami satu atau lebih tanda-tanda yang dinyatakan ini?

    Jika ya, maka ia bermaksud bahawa anda sedang mengalami ketagihan bekerja atau gila kerja. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 29/03/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan