backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

Sakit Mata Berjangkit? Ini Sebab Jangan Pandang Orang Yang Ada Keradangan Mata!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 26/07/2023

    Sakit Mata Berjangkit? Ini Sebab Jangan Pandang Orang Yang Ada Keradangan Mata!

    Masalah sakit mata atau konjunktivitis adalah keradangan atau jangkitan pada membran telus (konjunktiva) yang melapisi kelopak mata anda dan menutupi bahagian mata putih.

    Apabila saluran darah kecil di konjunktiva mulai meradang, warna kemerahan pada mata lebih kelihatan.

    Konjunktivitis juga biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus, atau  alergi.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Mata di sini.

    Adakah masalah sakit mata berjangkit?

    Ya, jika ia disebabkan oleh bakteria atau virus. Masalah mata sakit yang disebabkan oleh bakteria boleh merebak kepada individu lain sebaik sahaja mulai bergejala.

    Konjunktivitis yang disebabkan oleh virus pada umumnya akan menular sebelum gejala mula muncul dan dapat bertahan selagi ia berlangsung.

    Namun begitu, konjunktivitis yang diakibatkan oleh alergi dan konjunktivitis bersifat perengsa tidak akan menular.

    Bagaimana ia disebarkan?

    sakit mata

    Jangkitan mata ini dapat dijangkiti kepada orang lain dengan cara yang sama jangkitan virus dan bakteria lain disebarkan.

    Tempoh inkubasi (masa antara dijangkiti dan gejala mulai muncul) untuk virus atau bakteria konjunktivitis adalah sekitar 24 sehingga 72 jam.

    Sekiranya anda menyentuh sesuatu dengan virus atau bakteria di atasnya, dan kemudian menyentuh mata, anda berpotensi untuk dijangkiti.

    Selain itu, sebilangan besar bakteria dapat bertahan di permukaan sehingga 8 jam. Pun begitu, beberapa bakteria mampu hidup selama beberapa hari.

    Sebilangan besar virus juga dapat bertahan selama beberapa hari, dan terdapat virus yang bertahan selama 2 bulan di permukaan objek.

    Jangkitan juga dapat disebarkan kepada individu lain melalui kontak dekat, seperti berjabat tangan, berpelukan, atau ciuman.

    Semestinya batuk serta bersin juga berpotensi menyebarkan virus ini.

    Berapa lama harus anda kuarantin?

    Mata yang sakit akan mulai berjangkit apabila gejala muncul, dan keadaannya tetap menular selagi berlaku kontak dengan objek atau orang.

    Sekiranya anda mengalami konjunktivitis, anda dinasihatkan agar kuarantin diri di rumah dan tidak pergi ke tempat sesak sehingga gejala mulai reda.

    Sekiranya didapati pulih, anda boleh kembali tetapi anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga, seperti mencuci tangan dengan bersih setelah menyentuh mata anda.

    Simptom-simptom konjunktivitis

    Tanda pertama masalah ini adalah perubahan pada warna bahagian putih mata anda, yang dikenali sebagai sclera- lapisan luar yang melindungi iris dan seluruh mata.

    Meliputi bahagian sclera adalah konjunktiva, selaput nipis yang menjadi radang apabila anda mendapat masalah sakit mata.

    Ia menjadi penyebab kepada mata yang kelihatan kemerahan atau merah jambu  kerana saluran darah di konjunktiva meradang, menjadikannya lebih kelihatan daripada kebiasaan.

    Konjunktivitis sebenarnya juga cenderung mempunyai gejala-gejala lain, termasuk:

  • Kegatalan
  • Pengeluaran cecair yang boleh membentuk kerak di kelopak mata anda semasa tidur
  • Berasa seperti ada kotoran atau sesuatu yang menjengkelkan mata anda
  • Mata yang berair
  • Sensitif terhadap cahaya yang terang
  • Masalah sakit mata ini boleh terbentuk pada satu atau kedua-dua mata. Sekiranya anda memakai kanta lekap, anda harus mengelakkan daripada memakainya ketika mengalami simptom.

    Dalam kes sakit mata yang serius, konjunktivitis boleh menyebabkan beberapa pembengkakan di kelenjar limfa atau turut dikenali sebagai kelenjar getah bening berhampiran telinga anda.

    Ia juga mungkin terasa seakan gumpalan kecil. Kelenjar getah bening ini membantu tubuh melawan jangkitan. Setelah jangkitan virus atau bakteria dibersihkan, kelenjar ini akan menyusut.

    Bagaimanakah konjunktivitis dirawat?

    sakit mata

    Kes-kes konjunktivitis yang ringan selalunya tidak memerlukan rawatan. Anda mungkin hanya memerlukan pek sejuk untuk melegakan masalah ketidakselesaan radang mata.

    Konjunktivitis virus juga mungkin tidak memerlukan perawatan.

    Namun jika disebabkan oleh virus seperti herpes simplex atau virus varicella zoster (herpes zoster), ubat antivirus mungkin akan diberikan oleh doktor.

    Di samping itu, masalah mata yang sakit berpunca daripada kehadiran bakteria boleh dirawat dengan titisan atau ubat mata antibiotik.

    Antibiotik akan dapat bantu mengurangkan masa anda mengalami gejala dan mengurangkan risiko anda menjangkitkan ia kepada orang lain.

    Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa antibiotik tidak berkesan dalam merawat virus.

    Secara umumnya, anda tidak boleh menyentuh mata dengan tangan, terutamanya jika anda belum mencuci tangan dengan sabun sebelum memegangnya.

    Amalkan mencuci tangan sebelum atau selepas anda menyentuh mata, cara ini akan membantu mengelakkan masalah sakit mata daripada berlaku.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 26/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan