backup og meta

Jom Semak Apa Tanda & Punca Lelaki Kurang Hormon Androgen (SEKS)!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/12/2021

    Jom Semak Apa Tanda & Punca Lelaki Kurang Hormon Androgen (SEKS)!

    Tahukah anda apa maksud kekurangan hormon androgen lelaki?

    Ini keadaan di mana tubuh mempunyai tahap hormon seks lelaki yang lebih rendah berbanding yang diperlukan, terutamanya testosteron.

    Ia mungkin disebabkan oleh masalah di kawasan otak yang mengawal fungsi testis (kelenjar pituitari dan hipotalamus), atau disebabkan isu oleh testis itu sendiri.

    Walau bagaimanapun, ini bukanlah dianggap sebagai ‘menopaus lelaki’ kerana tidak berlaku penurunan pengeluaran hormon seks secara mengejut seperti yang dialami oleh wanita.

    Proses penurunan tahap hormon ini pula selalunya terjadi secara beransur-ansur pada populasi lelaki dari usia sekitar 30 tahun, namun bukan semua lelaki bakal mengalaminya.

    Dalam kebanyakan kes, penurunan testosteron boleh disebabkan oleh mereka yang menghidap penyakit tertentu.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Lelaki di sini.

    Hormon androgen lelaki adalah hormon seks!

    hormon androgen lelaki

    Hormon boleh dianggap sebagai chemical messengers, mereka berkomunikasi dengan tisu di dalam badan untuk melakukan perubahan.

    Selain itu, fungsi hormon amat penting kerana ia diperlukan untuk proses yang berbeza seperti pertumbuhan, pembiakan dan kesejahteraan.

    Androgen adalah kumpulan hormon seks yang memberikan ciri-ciri ‘lelaki’ kepada seseorang kaum Adam.

    Hormon seks utama pada lelaki adalah testosteron, yang dihasilkan terutamanya pada testis.

    Testis dikendalikan oleh kelenjar kecil di otak yang disebut kelenjar pituitari, yang seterusnya dikawal oleh kawasan otak yang disebut sebagai hipotalamus.

    Justeru, wajar dikatakan bahawasanya hormon androgen adalah sangat penting untuk fungsi seksual dan pembiakan lelaki.

    Mereka juga bertanggungjawab untuk perkembangan ciri seksual sekunder lelaki, termasuk pertumbuhan bulu muka, badan dan perubahan suara.

    Bukan itu sahaja, hormon ini juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan metabolisme.

    Testosteron

    Seperti yang telah dinyatakan, hormon seks utama pada seseorang lelaki adalah testosteron.

    Berikut adalah beberapa fungsi testosteron, termasuk:

    • Memulakan dan menyelesaikan proses akil baligh
    • Perkembangan tulang dan otot
    • Pertumbuhan bulu badan, termasuk di muka
    • Pertukaran pita suara untuk menghasilkan suara lelaki dewasa
    • Dorongan seksual (libido) dan fungsi seksual
    • Pertumbuhan dan fungsi kelenjar prostat
    • Pengeluaran sperma

    hormon androgen lelaki

    Kekurangan hormon androgen lelaki, gejalanya…

    Apabila kehadiran testosteron tidak mencukupi di dalam badan, ia boleh menyebabkan pelbagai simptom.

    Walau bagaimanapun, sebilangan gejala ini mungkin tidak spesifik dan dapat meniru simptom penyakit dan kondisi lain.

    Antara beberapa gejala kekurangan androgen termasuk:

  • Mengurangkan keinginan seksual
  • Hot flushes dan berpeluh
  • Pembentukan payudara (gynaecomastia)
  • Kelesuan dan keletihan
  • Kemurungan
  • Mengurangkan jisim dan kekuatan otot
  • Peningkatan lemak badan, terutamanya di sekitar perut
  • Ereksi dan orgasme yang lebih lemah
  • Mengurangkan jumlah ejakulasi
  • Mengurangkan jisim tulang, lantas meningkatkan risiko osteoporosis
  • Kehilangan bulu badan
  • Apakah punca ia berlaku?

    Beberapa penyebab kekurangan hormon androgen termasuklah kondisi yang mempengaruhi:

    • Testis: Sebarang masalah perubatan yang mempengaruhi testis berisiko menghalangnya daripada menghasilkan testosteron yang mencukupi. Sebilangan kondisi ini wujud sejak lahir, misalnya, sindrom Klinefelter (gangguan genetik di mana terdapat kromosom seks tambahan di dalam sel badan)
    • Kelenjar pituitari: Kondisi yang paling biasa mempengaruhi kelenjar pituitari dan membawa kepada tahap testosteron yang rendah adalah kehadiran tumor jinak (adenoma). Tumor boleh mengganggu fungsi kelenjar pituitari, atau boleh menghasilkan hormon prolaktin, yang menghentikan pengeluaran gonadotrophins, merupakan hormon yang diperlukan untuk memberi isyarat kepada testis bagi menghasilkan testosteron
    • Hipotalamus: Kondisi tertentu, seperti tumor atau gangguan genetik (sindrom Kallmann), dapat menyekat hipotalamus daripada mendorong kelenjar pituitari melepaskan hormon. Ini akan menghalang pengeluaran testosteron oleh testis, lantas menjadi penyebab kepada masalah kekurangan androgen yang jarang berlaku

    Diagnosis kekurangan androgen

    Kekurangan androgen didiagnosis menggunakan beberapa penilaian, termasuk:

    hormon androgen lelaki

    • Sejarah perubatan: Sejarah lengkap diambil kira, termasuk perincian mengenai kesuburan, fungsi seksual, simptom kekurangan androgen, masalah perubatan lain, pekerjaan, penggunaan ubat-ubatan (dipreskripsi dan tidak dipreskripsi)
    • Pemeriksaan fizikal: Pemeriksaan umum secara menyeluruh dilakukan, termasuk mengukur ukuran testis dan memeriksa perkembangan payudara
    • Ujian darah: Diambil untuk menentukan tahap testosteron dalam darah. Sebaik-baiknya, ujian darah harus dilakukan pada waktu pagi untuk mengesan pengeluaran testosteron
    • Ujian lain: Mungkin diperlukan untuk menentukan sama ada kekurangan testosteron disebabkan oleh masalah perubatan yang perlu didasari. Ini mungkin termasuk ujian darah untuk memeriksa tahap zat besi, ujian genetik (untuk mendiagnosis kondisi genetik, seperti sindrom Klinefelter), atau imbasan otak MRI (untuk memeriksa kelenjar pituitari)

    Ini apa yang anda boleh buat

    Rawatan bagi masalah kekurangan androgen adalah berdasarkan terapi penggantian testosteron.

    Kekerapannya pula bergantung pada usia anda dan faktor risiko lain untuk kanser prostat.

    Bagi lelaki yang lebih tua, mereka perlu diperiksa untuk kanser prostat sebelum memulakan terapi penggantian testosteron.

    Ini kerana peningkatan kadar testosteron dapat menyebabkan kanser prostat yang tidak dikenali tumbuh.

    Sekiranya masalah kekurangan testosteron anda disebabkan oleh kelenjar pituitari dan anda sedang merancang untuk mempunyai anak, doktor mungkin mengesyorkan suntikan gonadotrophin beberapa kali seminggu selama berbulan-bulan, untuk merangsang pengeluaran testosteron dan sperma.

    Rawatan testosteron pula tidak digalakkan untuk lelaki yang sedang berusaha mendapatkan zuriat kerana ia bertindak sebagai alat kontraseptif, menyekat hormon pituitari yang mendorong pengeluaran sperma.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 17/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan