brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Sabun Tar, Pencuci Mujarab Untuk Kegunaan Pesakit Psoriasis Dan Ekzema!

Tahukah anda, ada sabun mandi untuk psoriasis? Sabun yang juga dikenali sebagai sabun tar ini amat baik untuk kegunaan penghidap psoriasis dan ekzema. Malah, ia juga berkesan untuk mengurangkan inflamasi dan kegatalan.

Sabun Tar, Pencuci Mujarab Untuk Kegunaan Pesakit Psoriasis Dan Ekzema!

Ramai penghidap psoriasis mengesyorkan penggunaan sabun tar untuk mengurangkan simptom yang dialami. Menurut mereka lagi, ia bukan sahaja berkesan, sabun tar juga selamat digunakan dan mempunyai kesan sampingan yang sedikit. 

Selalunya, sabun tar digunakan sebagai bahan wajib dalam syampu, krim, gel dan losyen untuk penghidap psoriasis.

Pesakit yang menggunakan sabun tar dengan kerap juga melaporkan perubahan positif terhadap kulit mereka.

Walau bagaimanapun, sabun tar mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Ia juga boleh melekat pada tuala dan baju serta meninggalkan kesan yang sukar untuk ditanggalkan. 

Anda sedang mencari sabun mandi untuk psoriasis? Jangan risau, anda berada di tempat yang betul! 

Melalui artikel ini, kami akan menerangkan secara lebih lanjut mengenai sabun tar serta cara untuk menggunakannya untuk merawat psoriasis dan ekzema. 

Apakah sabun tar?

sabun mandi untuk psoriasis

Sabun tar atau tar soap diperbuat daripada arang hitam yang mengandungi bahan seakan-akan tar yang dikenali sebagai bitumen atau asfalt. 

Selalunya, pakar dermatologi akan mencadangkan pesakit dengan penyakit kulit tertentu seperti ekzema atau psoriasis untuk menggunakan sabun tar sebagai pencuci harian. 

Sabun tar didapati dapat mengurangkan simptom serta mengelakkan keradangan dan kegatalan.

Selain itu, sabun ini juga menjadi pilihan ahli dermatologi untuk melegakan simptom psoriasis.

Ada dua jenis sabun tar iaitu tar arang dan tar pain. Sabun tar pain diperbuat daripada resin pokok pain. Baunya juga lebih kuat daripada biasa.

Sabun tar arang pula merupakan bahan hasil sampingan pemprosesan arang. Malah, komponennya juga berbeza mengikut cara penyediannya.

Menurut pakar, pesakit ekzema dengan simptom yang teruk bakal memperoleh pelbagai manfaat daripada penggunaan sabun tar arang ini.

Malah, ia juga dapat membantu individu yang mempunyai masalah psoriasis di bahagian kulit kepala.

Walau bagaimanapun, keberkesanan sabun mandi untuk psoriasis ini mungkin berbeza mengikut individu. 

Ada kajian yang menunjukkan penggunakan 1% ekstrak tar arang mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi berbanding sabun yang mempunyai 5% ekstrak. 

Jadi, lebih baik gunakan sabun yang mempunyai konsetrasi ekstrak yang lebih rendah untuk lebih selamat. 

Adakah sabun tar berkesan?

sabun mandi untuk psoriasis

Sabun mandi untuk psoriasis ini dikatakan berkesan untuk memperlahankan pertumbuhan kulit. Malah, ia juga dapat mengurangkan inflamasi dan pembentukan plak pada kulit. 

Dalam masa yang sama, sabun ini juga boleh mengurangkan masalah kulit bersisik, gatal-gatal dan inflamasi.

Menurut National Psoriasis Foundation, sabun tar dapat membuatkan kulit pesakit ekzema dan psoriasis menjadi lebih sihat.

Malah ia juga boleh digunakan bersama terapi atau rawatan lain seperti krim kortikosteroid dan cahaya ultraviolet B.

Berdasarkan kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Drugs in Dermatology, penggunaan sabun tar amat berkesan untuk merawat psoriasis dan dermatitis atopik.

Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong kenyataan di atas.

Cara menggunakan sabun tar

Ada banyak produk untuk merawat psoriasis yang mengandungi sabun tar. 

Malah, keberkesanannya dalam merawat masalah kulit ini juga menjadikannya sesuai digunakan sebagai bahan utama di dalam syampu dan sabun untuk psoriasis.

Malah, ia selamat untuk disapukan terus pada kulit yang terkesan dengan psoriasis. 

Anda juga boleh urutkan sabun ini pada kulit dengan perlahan supaya ia dapat meresap dengan lebih baik. Doktor anda boleh mengajar cara yang betul untuk menggunakan sabun tar.

Untuk meningkatkan keberkesanannya, anda juga boleh balut kawasan kulit tersebut dengan sabun tar. Namun, lakukannya hanya dengan nasihat doktor.

Langkah berjaga-jaga

sabun mandi untuk psoriasis

Sabun tar selalunya selamat digunakan, namun ia juga mempunyai beberapa kesan sampingan yang tidak menyenangkan seperti:

  1. Kulit menjadi gatal.
  2. Naik ruam.
  3. Kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari.
  4. Naik jerawat.
  5. Lebam.
  6. Kulit rasa pedih.
  7. Rambut menjadi rapuh dan kering.

Selain itu, sabun arang juga lebih mudah cair, tidak seperti sabun biasa. Ia juga mempunyai bau yang kuat dan boleh meninggalkan kesan pada rambut, baju dan tuala.

Namun, ada juga yang mengatakan sabun tar boleh menyebabkan kanser.

Tetapi, menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam Journal of Investigative Dermatology, sabun tar tidak boleh menyebabkan kanser. Malah, ia juga merupakan rawatan yang selamat untuk pesakit psoriasis dan ekzema.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 2 hari lalu