backup og meta

Ada Tompok Hitam Di Badan? Mungkin 5 Penyakit Ini Puncanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    Ada Tompok Hitam Di Badan? Mungkin 5 Penyakit Ini Puncanya!

    Ada banyak tompok hitam di badan, tetapi tidak pasti apakah puncanya? Bintik hitam pada badan boleh muncul pada bila-bila masa, namun ia lebih lazim berlaku kepada individu pertengahan usia.

    Selalunya, tompok hitam di badan ini berpunca daripada pendedahan terhadap sinaran matahari. 

    Namun, ia juga boleh berlaku disebabkan penyakit tertentu dan sebagai kesan sampingan ubat.

    Ingin tahu punca sebenar bintik hitam pada badan anda? Jom, ikuti kupasan kami di dalam artikel di bawah.

    Simptom tompok hitam di badan

    Bintik hitam pada badan bukanlah sesuatu yang berbahaya. Namun, kadangkala, ia boleh menjadi tanda kanser kulit.

    Jika ia mengganggu serta membuatkan anda rasa tidak yakin terhadap diri, pakar kulit boleh membuang bintik ini dari badan anda.

    Tompok ini kadangkala berwarna coklat cair. Ia leper dan berbentuk bujur. 

    Bintik hitam boleh muncul pada mana-mana bahagian badan. Namun, ia selalunya naik pada kawasan yang terdedah pada cahaya matahari. Sebagai contoh:

  • Muka.
  • Belakang tapak tangan.
  • Bahu.
  • Lengan.
  • Belakang badan.
  • Kondisi yang menyebabkan tompok hitam di badan

    Ada beberapa jenis penyakit atau kondisi yang boleh menyebabkan bintik-bintik hitam naik pada badan. Antaranya:

    1. Tompok usia

    Tompok usia merupakan bintik yang kecil dan gelap pada permukaan kulit. 

    Saiznya berbeza-beza, namun ia selalunya muncul pada kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari seperti muka, tangan, bahu dan lengan.

    Kadangkala, tompok usia juga dikenali sebagai sunspot atau bintik hati.

    Bintik hitam disebabkan usia ini amat lazim dalam kalangan orang dewasa yang berusia 50 tahun ke atas.

    Namun, orang muda juga boleh mengalaminya lebih-lebih lagi jika mereka menghabiskan masa yang panjang di bawah sinaran matahari.

    Ramai yang menganggap bintik ini sebagai tanda kanser. Namun, tompok usia bukanlah sesuatu yang berbahaya dan ia boleh dibuang melalui prosedur kosmetik.

    Untuk mencegah tompok hitam ini, pakai pelindung matahari dengan kerap.

    2. Vitiligo sebabkan tompok hitam

    tompok hitam di badan

    Vitiligo merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan kulit kehilangan warnanya. Selalunya, bahagian kulit yang terkesan akan menjadi semakin besar seiring dengan masa.

    Malah, kondisi ini juga boleh berlaku pada mana-mana bahagian badan. Ia juga boleh terjadi di dalam mulut dan pada kawasan rambut.

    Vitiligo berlaku apabila sel yang menghasilkan melanin mati atau berhenti berfungsi.

     Kondisi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun lebih ketara dalam kalangan mereka yang berkulit gelap.

    Penyakit ini boleh menyebabkan penghidapnya rasa sangat tertekan dan stres.

    Walaupun ia tidak akan menjejaskan kesihatan dan tidak akan berjangkit, namun vitiligo boleh membuatkan pesakit rasa tidak yakin dan malu untuk keluar rumah.

    3. Hiperpigmentasi disebabkan parut

    Salah satu punca lazim bintik hitam pada badan ialah parut yang berlaku disebabkan jerawat, ekzema, luka atau selaran matahari.

    Parut boleh menyebabkan kulit menjadi hitam atau kemerah-merahan mengikut warna kulit. Kondisi ini dikenali sebagai hiperpigmentasi atau hipopigmentasi.

    Rawatan untuk parut bergantung pada punca dan keseriusannya. Sebagai contoh, untuk membuang parut keloid, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan. Manakala, untuk parut biasa, penggunaan krim sudah memadai.

    Parut atau tompok hitam pada wajah disebabkan jerawat pula boleh pudar dengan sendirinya.

    Jika anda risau mengenai parut dan kesannya pada badan anda, berjumpalah dengan pakar dermatologi untuk sesi konsultasi.

    4. Tahi lalat

    tompok hitam di badan

    Tahi lalat merupakan sesuatu yang amat lazim pada kulit. Ia selalunya tumbuh berwarna hitam atau coklat gelap. 

    Seorang manusia mempunyai 10 hingga 40 tahi lalat secara purata. Malah, tahi lalat juga boleh tumbuh atau lama-kelamaan hilang daripada kulit.

    Kebanyakan tahi lalat tidak berbahaya dan bukanlah tanda kanser. Ia merupakan gumpalan sel yang selalunya terbentuk ketika kanak-kanak atau remaja.

    Walau bagaimanapun, tahi lalat boleh menjadi tanda kanser. Salah satu langkah untuk mengesan kanser kulit adalah dengan memantau keadaan tahi lalat masing-masing.

    5. Kanser kulit

    tompok hitam di badan

    Jarang sekali, tompok hitam di badan boleh menandakan kanser kulit, terutamanya kanser melanoma.

    Kanser kulit selalunya berlaku pada kawasan yang terdedah pada cahaya matahari seperti di kulit kepala, muka, bibir, leher, dada, lengan dan tangan.

    Walau bagaimanapun, ada sesetengah kanser yang terbentuk di kawasan yang tersorok seperti di bawah kuku, pada tapak tangan dan di alat kelamin.

    Kanser kulit boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit.

    Antara tanda kanser melanoma ialah:

    1. Bintik hitam pada badan.
    2. Tahi lalat yang berubah saiz, warna atau berdarah.
    3. Lesi kecil dengan keliling yang berwarna merah, merah jambu, putih, biru atau hitam.
    4. Lesi yang sakit atau pedih.
    5. Lesi pada kawasan tapak tangan, tapak kaki atau jari.

    Kesimpulan

    Tompok hitam di badan jarang sekali menimbulkan masalah kesihatan. 

    Walau bagaimanapun, jika anda risau mengenainya, tidak rugi jika anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

    Sebarang masalah kosmetik boleh diselesaikan dengan rawatan yang bersesuaian. Namun, jika tompok hitam ini berlaku disebabkan kanser, anda perlukan rawatan susulan daripada doktor.

    Tompok hitam juga tidak akan menyebabkan kesakitan. Malah, ia juga mempunyai tekstur yang sama dengan kawasan kulit yang lain.

    Dengan rawatan yang bersesuaian seperti pengambilan ubat-ubatan dan krim preskripsi, ia boleh dihilangkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan