Ramai individu mungkin mempunyai impian untuk memiliki bibir yang mungil dan seksi. Alangkah bertuah pula jika kalian memang sudah lahir dengan bibir tebal bawah dan atas secara semula jadi.
Persoalannya, bagaimana cara untuk buat bibir kepunyaan anda ini lebih menarik dan menawan? Jom baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Fakta bibir tebal yang anda kena tahu!
Untuk pengetahuan anda semua, bentuk bibir itu adalah antara fitur yang bakal ditentukan oleh faktor genetik selain daripada bentuk mata, hidung, dagu, telinga, kening, rambut dan macam-macam lagi fitur lain.
Menurut kajian terbitan Frontiers in genetics pada tahun 2018, genetik yang lebih kuat sama ada dari sebelah ibu atau bapa akan mempengaruhi fitur-fitur di atas termasuk juga bentuk bibir masing-masing.
Kebiasaannya, bibir yang agak besar dan lebar ini dimiliki oleh individu dari kaum di benua Afrika. Pun begitu, adalah tidak mustahil jika fitur ini turut dimiliki oleh individu dari kawasan lain termasuk masyarakat kita.
Bergantung kepada individu, tidak kurang ramai yang meminati bentuk bibir sebegini kerana yakin jika ia tampak lebih menarik dan menawan terutama bagi kaum perempuan. Benar, ia mungkin tidak dapat dinafikan.
Apa yang mungkin menjadi tanda tanya, bagaimana cara untuk menjaga bibir tebal bawah dan atas agar kekal anggun?
Bagaimana cara menjaga bibir besar dan lebar?
Sebenarnya, cara penjagaan bibir mungkin lebih kurang sama sahaja tidak kira saiz dan bentuk. Perkara paling penting yang anda mesti tahu adalah ia tidak ada kelenjar peluh, lantas lebih mudah untuk kering.
Apabila bibir anda mula mengering, maka risiko untuk muncul luka, ulser atau rengsa itu turut akan meningkat. Dalam erti kata mudah, kunci utama penjagaan bibir terletak pada kelembapan bahagian tersebut.
Bagi mengelakkan bibir anda mengering dengan teruk, beberapa petua mudah berikut mungkin akan dapat membantu:
#1. Melembapkan ia dengan kerap
Sehubungan di atas tadi, anda perlu melembapkan bibir dengan kerap menggunakan produk seperti lip balm, lip gloss atau gincu yang sesuai sekurang-kurangnya 2 ke 4 kali sehari supaya ia tidak kering.
American Academy of Dermatology Association menyarankan agar kalian menggunakan produk yang ada kandungan SPF30+ untuk memastikan ia terlindung daripada terkena sinaran UV dek matahari.
#2. Hindarkan menjilat bibir
Kedua, cuba untuk buang tabiat menjilat bibir yang kering kerana cara itu kurang efektif bahkan turut akan membawa pertumbuhan kulat pada bibir lantas memicu kepada masalah infeksi lain pula.
#3. Elakkan mengopek bibir
Ketiga, buang juga tabiat mengopek bibir yang kering kerana ia cuma bakal mencederakan kulit lalu menyebabkan luka atau ulser kelak. Sebaliknya, sapu jeli petroleum untuk buang kulit mengelupas.
#4. Eksfoliasi
Apabila tiba masa, anda mungkin perlu skrub bibir tebal itu dalam usaha untuk menyingkirkan sel-sel kulit yang telah mati dengan produk sesuai sama ada secara sendiri di rumah atau di klinik pakar kulit.
Pastikan bahan produk yang digunakan itu tinggi kandungan BHA, AHA dan PHA agar prosedur berjalan lebih lancar!
#5. Menggunakan mekap yang tepat
Terutama bagi mereka yang memiliki bibir tebal, anda sudah tentu gemar memakai mekap dan gincu yang merah-merah sahaja bukan? Ia tidak salah namun gunakan produk yang tepat agar ia tidak terlihat terlalu berminyak, bersinar atau berlebihan.
Wujud prosedur untuk menebalkan bibir anda?
Meskipun kita semua sudah lahir dengan kecantikan serta keunikan masing-masing, mungkin sudah lumrah manusia bagi mendapatkan apa yang diimpikan individu termasuk bentuk bibir tebal bawah serta atas.
Buat anda yang belum tahu, memang wujud prosedur untuk menebalkan bibir sama ada dengan memasukkan silikon filler atau melakukan pembedahan plastik minor. Namun, ia juga hadir dengan kos yang tinggi.
Dalam pada itu, jangan percaya dengan mitos karut yang kata gemar berciuman, bercumbuan atau makan benda pedas mampu menebalkan bibir anda! Ia mungkin akan berlaku namun berlangsung buat sementara.
Konklusinya, cintai dan sayangi diri anda seadanya. Ketahuilah bahawa setiap manusia tercipta sesuai dengan keperluan dan bukan kemahuan yang mungkin hanya akan mendatangkan kesan buruk di hari esok!
[embed-health-tool-bmi]