
Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Penyakit Tulang Belakang Bengkok (Skoliosis)!
Adakah anda mengetahui maksud scoliosis? Skoliosis secara umumnya merupakan sejenis penyakit atau keadaan tulang belakang bengkok. Ikuti penerangan yang lebih lengkap menerusi artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Tulang & Otot, anda boleh klik di sini.
Apa maksud scoliosis?
Bagi anda yang ingin tahu apa maksud scoliosis, skoliosis merupakan keadaan di mana tulang belakang menjadi bengkok ke sisi badan sama ada ke sebelah kanan atau kiri.
Pembengkokan tulang belakang ini boleh berlaku pada mana-mana bahagian tulang belakang.
Namun, ia biasa berlaku pada bahagian tulang belakang sebelah atas dan juga sebelah bawah.
Skoliosis paling kerap berlaku pada peringkat akhir zaman kanak-kanak atau awal remaja. Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Skoliosis yang berlaku agak jarang disedari.
Namun, sesetengah individu yang mengalami keadaan ini kelihatan cenderung untuk condong ke satu sisi, atau mempunyai bahu atau pinggul yang tidak rata disebabkan oleh lengkungan tulang belakang.
Simptom-simptom tulang belakang bengkok
Antara tanda atau simptom utama jika seseorang itu mengalami skoliosis ialah:
- Bahu yang tidak rata atau senget sebelah
- Sebelah bahu menjadi lebih tinggi berbanding sebelah bahu lagi
- Pinggang yang tidak sekata
- Sebelah pinggul menjadi lebih tinggi berbanding sebelah pinggul lagi
- Sebelah sisi belakang badan menjadi lebih menonjol apabila menundukkan badan
Punca berlakunya skoliosis

Pakar perubatan masih tidak mengetahui apakah punca sebenar yang menyebabkan keadaan tulang belakang bengkok.
Walau bagaimanapun, ia mungkin disebabkan oleh faktor genetik memandangkan penyakit ini boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang mungkin menyebabkan skoliosis terjadi.
Antaranya ialah:
- Keadaan neuromuskular tertentu seperti cerebral palsy atau distrofi otot
- Kecacatan kelahiran yang menjejaskan perkembangan tulang-tulang belakang
- Pembedahan yang pernah dijalankan pada dinding dada semasa masih bayi
- Kecederaan atau jangkitan pada tulang belakang
- Keabnormalan saraf tunjang
Faktor risiko skoliosis
Terdapat beberapa faktor risiko utama yang menyebabkan skoliosis boleh berlaku. Antara faktor risiko tersebut ialah:
- Umur. Tanda dan gejala tulang belakang bengkok biasanya bermula pada zaman remaja
- Jantina. Walaupun kedua-dua kanak-kanak lelaki dan perempuan mengalami skoliosis ringan pada kadar yang sama, kanak-kanak perempuan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat skoliosis yang lebih teruk
- Sejarah keluarga. Skoliosis boleh berlaku dalam keluarga. Namun, kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai skoliosis tidak mempunyai sejarah keluarga bagi penyakit ini
Komplikasi skoliosis
Walaupun kebanyakan individu yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok hanya berada pada tahap yang ringan, ia kadangkala boleh juga menyebabkan beberapa komplikasi.
Antaranya ialah:
- Masalah sakit belakang. Individu yang mengalami skoliosis semasa kanak-kanak mungkin lebih cenderung mengalami sakit belakang kronik apabila dewasa, terutamanya jika lengkungan tulang lebih teruk dan tidak dirawat.
- Masalah pernafasan. Bagi skoliosis yang teruk, tulang rusuk mungkin akan menekan paru-paru dan menjadikannya lebih sukar untuk bernafas
- Penampilan. Apabila skoliosis bertambah teruk, ia boleh menyebabkan perubahan yang lebih ketara. Antaranya pinggul dan bahu yang tidak rata, tulang rusuk yang menonjol, dan peralihan pinggang ke bahagian sisi tubuh.
Diagnosis tulang belakang bengkok

Pada peringkat awal diagnosis, doktor akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan mungkin akan bertanya soalan tentang perkembangan yang terkini.
Semasa pemeriksaan fizikal, doktor mungkin menyuruh anak anda berdiri dan kemudiannya membongkok ke hadapan.
Anda juga perlu melepaskan lengan anda untuk melihat sama ada satu sisi tulang rusuk lebih menonjol daripada yang lain.
Doktor juga mungkin akan menjalankan pemeriksaan neurologi untuk melihat sebarang kelemahan otot, rasa kebas dan juga refleks yang tidak normal.
Rawatan tulang belakang bengkok
Rawatan skoliosis berbeza-beza, bergantung kepada keterukan lengkungan tulang belakang tersebut.
Kanak-kanak yang mempunyai lengkungan pada tahap yang ringan biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan sama sekali.
Namun, mereka mungkin memerlukan pemeriksaan berkala untuk melihat sama ada lengkungan itu semakin teruk semasa mereka membesar.
Pendakapan (braces) atau pembedahan mungkin diperlukan jika lengkung tulang belakang berada pada tahap sederhana atau teruk.
Faktor yang perlu dipertimbangkan termasuklah:
- Kematangan. Jika tulang kanak-kanak telah berhenti membesar, risiko perkembangan lengkungan adalah rendah. Ini juga bermakna bahawa penggunaan pendakap mempunyai kesan yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak yang tulangnya masih membesar
- Keterukan lengkungan tulang. Lengkungan yang lebih besar cenderung untuk bertambah buruk dari semasa ke semasa
- Jantina. Kanak-kanak perempuan mempunyai risiko skoliosis yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki
Kesimpulan
Jika anda menyedari simptom-simptom tulang belakang membengkok seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Doktor boleh membantu mengenal pasti sama ada skoliosis yang dialami berada pada tahap yang ringan atau teruk.
Jika ia berada pada tahap yang teruk, rawatan awal boleh dilakukan agar komplikasi lain boleh dielakkan.