backup og meta

Ingin Cegah Masalah Tulang Rapuh? Caranya, Manfaatkan Hormon Cinta Dalam Tubuh Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/01/2024

    Ingin Cegah Masalah Tulang Rapuh? Caranya, Manfaatkan Hormon Cinta Dalam Tubuh Anda

    Tahukah anda kajian saintifik telah membuktikan keberkesanan hormon oksitosin dalam mencegah masalah tulang rapuh (osteoporosis)?

    Ia merupakan satu penemuan yang sangat mengujakan berikutan masalah kesihatan tersebut boleh meningkatkan risiko tulang retak atau tulang patah sehingga boleh mempengaruhi kualiti hidup penghidap.

    Osteoporosis boleh didiagnosis pada semua peringkat usia namun ia lazim berlaku kepada warga tua terutamanya wanita.

    Bahagian tubuh badan yang sering mengalami masalah ini adalah tulang rusuk, tulang pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.

    Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor namun bagi wanita, terutamanya mereka yang sudah menopaus, perubahan hormon merupakan sebab utama.

    Namun, baru-baru ini, kajian yang dijalankan di Brazil telah menemui solusi pencegahan bagi mengimbang lawan kesan penurunan hormon estrogen selepas menopaus.

    Kunci kepada solusi tersebut adalah hormon cinta, oksitosin.

    Kenapa oksitosin digelar hormon cinta?

    hormon cinta

    Pernah tak anda terfikir kenapa hormon tersebut diberi gelaran sedemikian. Apa kaitannya oksitosin dengan cinta?

    Adakah paras hormon tersebut di dalam aliran darah akan menentukan tahap keghairahan kita semasa berhubungan intim dengan pasangan?

    Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2012 oleh Jabatan Psikologi Universiti Bar-llan, pasangan kekasih yang berada pada peringkat awal hubungan romantik mempunyai paras hormon oksitosin yang tinggi.

    Perbandingan dibuat dengan individu yang tidak terlibat dalam hubungan romantik.

    Perkara ini membuatkan saintis lebih ‘bersemangat’ untuk mengkaji potensi hormon oksitosin dan kesannya terhadap kualiti hidup individu.

    Dapatan daripada kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan paras hormon oksitosin di dalam badan turut berkait dengan aktiviti seksual serta tahap orgasme yang dialami pasangan.

    Kajian pada tahun 2013 oleh Universiti Oxford menunjukkan hormon cinta mempunyai peranan dalam sebarang interaksi yang boleh menguatkan pertalian pasangan. 

    Antaranya adalah:

    1. Rasa percaya
    2. Empati
    3. Memori indah hubungan intim
    4. Komunikasi positif di antara pasangan
    5. Kesetiaan
    6. Renungan kasih sayang

    Oksitosin dihasilkan oleh hipotalamus dan kemudiannya dirembeskan oleh kelenjar pituitari.

    Bersama-sama dengan hormon seperti dopamin dan serotonin, ia berupaya untuk menguatkan daya tarikan anda terhadap seseorang di samping mewujudkan emosi positif, mengurangkan tekanan dan keresahan.

    Peningkatan usia dan perubahan hormon 

    osteoporosis

    Secara amnya, nilai ketumpatan tulang berada di puncak semasa anda berusia di antara 25 hingga 30 tahun.

    Tulang merupakan tisu hidup yang mengalami proses pembentukan dan hakisan pada masa yang sama, sepanjang hidup manusia.

    Apabila kadar hakisan tulang berlaku lebih kerap berbanding dengan pembentukan tulang, struktur organ tersebut akan menjadi rapuh dan mudah retak.

    Keadaan ini dikenali sebagai osteoporosis.

    Walaupun masalah tulang rapuh boleh berlaku pada kedua-dua jantina, wanita lebih berisiko terutamanya selepas menopaus.

    Hormon estrogen yang merupakan tunjang kepada kekuatan tulang itu sendiri turun secara mendadak selepas wanita mengalami menopaus.

    Ia memainkan peranan penting dalam mengawal rembesan molekul interleukin yang berupaya untuk meningkatkan aktiviti menghakis tulang.

    Semasa fasa perimenopaus (beberapa tahun sebelum menopaus), organ ovari wanita akan menghasilkan estrogen pada jumlah yang sedikit.

    Keadaan ini boleh menyebabkan wujudnya simptom seperti perubahan mood, perpeluhan pada waktu malam dan penurunan pada tahap ketumpatan tulang.

    Namun, perlu diingatkan bahawa bukan semua wanita mengalami simptom seperti yang tersenarai semasa dalam fasa perimenopaus.

    Jika tiada langkah pencegahan dibuat untuk menghalang proses patologi osteoporosis berlaku, risiko untuk mendapat komplikasi akibat daripada keadaan kesihatan tersebut meningkat.

    Anda mungkin berminat:

    Pemberian hormon cinta semasa fasa perimenopaus

    hormon cinta

    Kajian berkaitan dengan hormon oksitosin yang dijalankan di Brazil lebih memfokuskan kepada risiko subjek untuk mendapat masalah tulang pinggul retak.

    Wanita mempunyai risiko 3 hingga 4 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan lelaki untuk didiagnosis dengan masalah kesihatan tersebut.

    Penghidap boleh mengalami kesukaran pada fungsi pergerakan harian dan kira-kira dua per tiga daripada jumlah yang didiagnosis memerlukan bantuan untuk menjalani aktiviti rutin.

    Subjek yang digunakan bagi melihat keberkesanan rawatan hormon oksitosin merupakan tikus makmal yang berusia 18 bulan.

    Itu merupakan peringkat usia di mana tikus mengalami fasa perimenopaus.

    Subjek diberikan terapi hormon oksitosin selama sebulan dan sampel darah akan dibandingkan dengan tikus yang tidak menerima rawatan oksitosin.

    Analisis menunjukkan subjek yang menerima terapi oksitosin tidak menunjukkan penurunan pada tahap ketumpatan tulang.

    Apa yang lebih menarik lagi, terdapat tanda biokimia yang memberikan implikasi proses pembaharuan tulang sedang giat berjalan.

    Keadaan ini memberikan harapan baharu terhadap potensi terapi oksitosin bagi golongan berisiko untuk menghindarkan masalah tulang rapuh.

    Konklusi

    Tidak dinafikan bahawa hormon oksitosin memainkan peranan penting dalam mengawal atur proses fisiologi pembentukan dan hakisan tulang.

    Apabila wanita mengalami menopaus, hormon penting seperti estrogen dan oksitosin semula jadi menurun secara mendadak.

    Keadaan ini menyebabkan wanita berisiko untuk mendapat komplikasi kesihatan seperti osteoporosis.

    Jika anda risau akan risiko anda untuk mengalami keadaan kesihatan tersebut, dapatkan nasihat perubatan daripada doktor bertauliah.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 16/01/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan