Senaman yang bermanfaat untuk menurunkan tekanan darah
Senaman aerobik ataupun senaman ketahanan (endurance) baik untuk jantung. Dengan melakukan senaman ini, sejumlah besar otot akan digunakan; pernafasan akan meningkat; jantung akan berdegup laju dan badan akan menggunakan lebih banyak oksigen. Perkara ini akan membantu menguatkan jantung dan peparu anda.
Selain itu, senaman ini membantu untuk mengendurkan arteri, merendahkan tekanan darah, mengurangkan paras gula dalam darah, dan meningkatkan paras kolesterol ‘baik’ (HDL). Dengan melakukan senaman ini, risiko serangan jantung berkurangan bagi pesakit yang menghidapi darah tinggi.
Contoh senaman aerobik yang boleh dilakukan ialah berjalan kaki, berenang, mengayuh, menaiki tangga,joging dan menari.
Berapakah banyak senaman yang anda perlukan
Anda tidak perlu melakukan senaman aerobik setiap masa, cuba amalkan senaman ini sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu. Sebagai contoh, anda boleh berenang 30 minit setiap hari, 5 kali dalam seminggu.
Jangan paksa diri, mulakan dengan aktiviti yang lebih ringan. Cukup sekadar bersenam selama 10 minit setiap hari bagi minggu pertama. Kemudian, tingkatkan aktiviti anda secara beransur-ansur. Apabila senaman yang anda lakukan menjadi mudah, tambahkan lagi cabarannya.
Elakkan duduk terlalu lama, cuba untuk bangun dan lakukan sebarang aktiviti fizikal. Duduk terlalu lama boleh mendatangkan penyakit.