Penting ke untuk melakukan ujian kolesterol ini? Jika anda masih ragu mengenainya, baca penjelasan berikut untuk fahami kepentingan mengetahui paras kolesterol diri.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Pentingnya ujian kolesterol dilakukan
Tiada cara lain untuk mengesan tanda awal paras kolesterol tinggi melainkan dengan hanya menjalani ujian darah.
Pakar Runding Kardiologi Institut Jantung Negara, Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof berkata, masalah kolesterol tinggi tidak menunjukkan sebarang simptom awal seperti sesetengah penyakit lain.
“Jika paras kolesterol tinggi, kita takkan rasa apa-apa. Selepas 10 hingga 20 tahun barulah muncul masalah seperti serangan jantung.
“Anda tidak akan tahu tahap kolesterol dalam darah jika tidak melakukan ujian darah,” katanya.
Baca juga:
Menurut Dr Ahmad Khairuddin, secara umumnya, kesedaran tentang bahaya kolesterol dalam kalangan rakyat Malaysia memang ada, namun mereka tidak akan tahu paras kolesterol mereka tanpa menjalani ujian darah.
Beliau berkata, kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah juga bukan bergantung pada usia, saiz badan ataupun gaya hidup seseorang.
Malah, katanya, tidak mustahil untuk golongan muda, kurus ataupun yang sering melakukan aktiviti fizikal untuk mendapat paras kolesterol yang tinggi.
Tanda lain bagi mereka yang mempunyai kolesterol tinggi adalah timbul bintik-bintik putih (mendapan lemak) pada kawasan mata dan beberapa bahagian sendi.
Mengikut kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, kira-kira 47.7 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas mempunyai tahap kolesterol darah yang tinggi (hiperkolesterolemia).
Pengumpulan kolesterol di dalam arteri darah menyebabkan aterosklerosis yang boleh mengakibatkan serangan jantung atau strok.
Selain itu, kajian NHMS tahun 2015 juga mencatatkan bahawa penyakit tidak berjangkit (NCD) menyumbang kira-kira 73 peratus kematian di negara ini, dengan sebahagian besarnya adalah penyakit-penyakit berkaitan kardiovaskular, termasuk jantung dan strok.
[embed-health-tool-bmi]