brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Bukan Biasa-Biasa! Ini Yang Berlaku Jika Pesakit Jantung Alami Kayap

Pernahkah anda tiba-tiba sakit berdenyut atau rasa terbakar pada bahagian badan, kemudian muncul pula ruam merah yang berair seperti cacar air? Itu mungkin satu penyakit yang disebabkan oleh virus Varicella Zoster.

Bukan Biasa-Biasa! Ini Yang Berlaku Jika Pesakit Jantung Alami Kayap

Apa yang membimbangkan, kayap boleh menyebabkan sakit saraf berpanjangan walaupun ruam sudah hilang. Ramai yang tidak sedar tanda-tandanya pada peringkat awal, lalu hanya mendapatkan rawatan selepas keadaan menjadi teruk.

Kesakitan saraf yang teruk, kurang tidur dan tekanan fizikal merupakan kesan akibat dijangkiti kayap. Sakit ini boleh mengganggu keseimbangan kardiovaskular, terutama bagi mereka yang sudah mengalami masalah jantung. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Tanda kayap pada badan, ia lebih daripada sekadar ruam 

Jangkitan virus Varicella Zoster yang menyebabkan cacar air, biasanya berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Selepas jangkitan cacar air, virus menjadi tidak aktif dalam sistem saraf selama beberapa dekad dan boleh aktif semula apabila fungsi imun menurun. Dan inilah yang dipanggil kayap.1

Gejala kayap adalah konsisten untuk semua orang iaitu kesemutan, pedih jika disentuh, gatal dan ruam merah.2

Dan ia boleh berkekalan hingga berminggu-minggu!3 Ketika ini, pastinya anda berasa letih, penuh kerisauan dan tidak dapat tidur yang cukup. Kenali tanda kayap lebih awal adalah penting untuk beri peluang pada tubuh untuk dapatkan rawatan yang tepat.

Berikut ialah tanda kayap yang sering kali terjadi.3

tanda kayap
Tanda kayap seperti ruam yang berlaku di belakang badan.
  • Sakit terbakar atau kesemutan
  • Sensitif terhadap sentuhan
  • Ruam merah mula timbul beberapa hari selepas sakit
  • Lepuh berisi cecair yang mudah pecah
  • Gatal-gatal

Tanda kayap semakin pulih selepas empat minggu, tetapi kulit anda masih boleh merasai kesakitan selama berminggu-minggu selepas ruam hilang. Kebiasaannya, ia akan reda dari masa ke masa.4

Anda juga berkemungkinan untuk mengalami kayap lebih dari sekali jika tubuh badan anda mempunyai sistem imun yang lemah.2 Dan pada ketika itu, anda akan mendapat ruam di kawasan yang berbeza pula. 

Kayap pada tubuh: Bagaimana sakit saraf mempengaruhi fungsi jantung?

Tahukah anda, kesan kayap kepada badan akan menyebabkan kesakitan yang teruk dan berpanjangan? Hal ini kerana, kayap mungkin mengaktifkan sistem tindak balas tekanan badan lantas meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah tinggi. 

Buat pengetahuan anda, postherpetic neuralgia (PHN) akan menyebabkan anda mengalami situasi yang menjejaskan kulit dan saraf disebabkan jangkitan kayap. Hal ini akan menyebabkan pesakit mengalami kesan postherpetic neuralgia seperti keletihan, kegatalan, ketidakselesaan dada atau sesak nafas.5

Disebabkan ketika ini anda mendapat rehat dan tidur yang kurang mencukupi dan sentiasa berasa tidak selesa, ia akan membuatkan jantung bekerja lebih keras, terutama pada orang dewasa yang lebih tua ditambah pula dengan mereka yang mempunyai imun sistem yang lemah. Pada tahun 2022, data daripada lebih 205,000 orang dewasa mendapati mereka yang mempunyai sejarah kayap mempunyai hampir 30% peningkatan risiko untuk mengalami kejadian kardiovaskular pada masa hadapan.6

Kayap yang dialami boleh meningkatkan risiko kejadian kardiovaskular termasuk serangan jantung dan strok sebanyak 41 peratus, risiko strok sebanyak 35 peratus dan risiko serangan jantung sebanyak 59 peratus.7

Kesan kayap terhadap individu yang menghidap penyakit jantung

tanda kayap
Pesakit jantung memerlukan penjagaan rapi untuk melindungi nyawanya.

Jangkitan kayap boleh menyebabkan kerosakan salur darah, keradangan dan pembentukan darah beku sekali gus mengakibatkan penyakit jantung.8 Disebabkan itu, individu yang mengalami masalah-masalah ini memerlukan penjagaan yang mencukupi agar tidak memudaratkan pada masa akan datang.

Ketika ini juga, penting untuk anda mengetahui risiko yang boleh berlaku dan berikan kerjasama dengan doktor dalam memantau dan menguruskan faktor risiko kardiovaskular yang lain, seperti strok dan serangan jantung. Dalam masa yang sama, sentiasa ingat agar banyakkan berehat bagi mengurangkan tekanan pada jantung.6, 7

tanda kayap
6 tanda kayap berlaku pada tubuh anda.

Infografik ini adalah hak milik Hello Doktor.

Rujukan: Gotter, A. (2025, July 11). Shingles: Everything you should know. Healthline. https://www.healthline.com/health/shingles 

Lindungi saraf dan jantung anda untuk mencegah risiko dijangkiti kayap 

Untuk melindungi diri anda dari risiko kayap yang semakin melarat, anda digalakkan untuk dapatkan nasihat perubatan apabila anda melihat gejala seperti kesemutan, sakit atau ruam pada sebelah badan.

Kayap boleh dicegah jika anda sedar dari awal lagi tentang petanda kayap. Lakukan tindakan awal dengan berbincang dengan doktor anda tentang pencegahan kayap untuk mengelakkan komplikasi yang serius, terutamanya jika anda menghidap penyakit jantung. 

Pada masa yang sama, kekalkan gaya hidup yang seimbang semasa pemulihan dengan mendapatkan rehat yang cukup, kekal terhidrat, makan makanan berkhasiat dan amalkan teknik relaksasi seperti senaman pernafasan.

*Semua kandungan dihasilkan oleh Hello Doktor

Program pendidikan ini dibawakan kepada anda oleh GSK.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi doktor anda.

GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd 195801000141(3277-U)

©2026 syarikat kumpulan GSK atau pemegang lesennya.

NP-MY-HZU-WCNT-250007 02/26

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Norhanan Abdul Latip · Disemak pada 6 hari lalu