Anak-anak pasti suka dengan aiskrim Malaysia yang sentiasa ada dalam peti sejuk di rumah. Mana tidaknya, ia boleh dimakan pada bila-bila masa tanpa susah-susah ke kedai setiap kali ingin makan aiskrim. Buat ibu bapa di rumah, kami kongsikan kepada anda beberapa cara buat aiskrim Malaysia dan resepi aiskrim Malaysia yang lebih sihat.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Aiskrim Malaysia dahulu dan sekarang
Tidak kira sama ada generasi dahulu mahupun sekarang, semua orang pasti kenal dan pernah merasai keenakan aiskrim ini.
Walaupun ia tidaklah semewah aiskrim yang dijual di kedai-kedai runcit atau pasar raya, namun ia tetap memberikan satu kegembiraan kepada kanak-kanak.
Jika dahulu, perisa aiskrim dalam plastik ini tidaklah begitu banyak dan terhad kepada satu-satu jenis sahaja.
Antaranya ialah perisa asam boi, kacang merah, jagung, milo dan sirap bandung.
Kini, perisanya lebih banyak dengan pelbagai isian seperti perisa oreo, blue vanilla, sumi dan Choki-Choki.
Apa pun jenis aiskrim yang ingin dibuat, ia mestilah dihasilkan dengan resipi yang lebih sihat terutamanya untuk kanak-kanak.
Ini untuk mengelakkan pengambilan gula dan lemak yang tinggi dan merisikokan mereka menjadi obes.
Ini cara buat aiskrim Malaysia
Bagi ibu-ibu yang tidak tahu resipi aiskrim plastik versi sihat, boleh lihat 3 resipi yang kami kongsikan di bawah ini.
#1. Aiskrim coklat ala Magnum
Bahan-bahan:
- Satu kotak susu rendah lemak
- Gula
- 1 sudu kecil garam
- 5 sudu besar tepung jagung
- Air masak
- Sapuan coklat
- Plastik aiskrim
Cara-caranya:
- Masukkan susu rendah lemak, gula dan juga garam ke dalam periuk. Kacau dahulu sehingga sebati.
- Kemudian, hidupkan api dan masak susu sehingga ia mendidih.
- Semasa menunggu susu mendidih, bancuh dahulu tepung jagung dengan menggunakan air sejuk. Elak memasukkan tepung jagung terus ke dalam periuk tanpa membancuhnya terlebih dahulu. Jika tidak, tepung jagung akan menjadi berketul.
- Setelah tepung jagung dibancuh, masukkan ke dalam periuk dan kacau sehingga sebati.
- Setelah susu masak dengan baik, tutup api dan biarkan bancuhan susu sejuk.
- Sambil menunggu susu sejuk, masukkan sapuan coklat ke dalam plastik aiskrim.
- Isikan susu ke dalam plastik aiskrim.
- Ikat dan bekukan di dalam peti sejuk bahagian beku.
#2. Aiskrim LimauNMint
Bahan-bahan:
- Air
- 10 biji limau kasturi (boleh ditambah jika tidak mencukupi)
- Gula secukupnya
- Daun pudina
- Sedikit pewarna kuning
- Plastik aiskrim
Cara-caranya:
- Masak air dalam periuk sehingga mendidih.
- Sambil anda menunggu air masak, potong limau kasturi dan perah jusnya. Kuantiti limau ini bergantung kepada rasa yang diinginkan. Jika mahu membuat dalam jumlah yang banyak, boleh ditambahkan lagi limau tersebut.
- Setelah air mendidih, masukkan gula dan jus limau kasturi yang telah diperah ke dalam periuk.
- Titiskan sedikit pewarna kuning. Namun, jangan letakkan pewarna kuning terlalu banyak, cukup sekadar untuk menaikkan warna air daripada putih kepada sedikit kekuningan.
- Setelah air masak, tutup api dapur dan biarkan ia sejuk.
- Ambil daun pudina dan gosokkan sedikit pada tapak tangan supaya daunnya mengeluarkan aroma. Masukkan beberapa helai daun pudina ke dalam plastik aiskrim.
- Tuangkan air yang telah dimasak ke dalam plastik. Ikat dengan kemas.
- Sejukkan aiskrim dan sedia untuk dimakan.
#3. Aiskrim yogurt mangga
Bahan-bahan:
- Satu bekas besar yogurt asli tanpa perisa
- Satu kotak susu rendah lemak
- Air secukupnya
- Buah mangga yang telah masak sepenuhnya
- Gula
- Sedikit garam
- Plastik aiskrim
Cara-caranya:
- Masukkan susu, air, yogurt asli dan gula ke dalam periuk. Kacau sebati dan panaskan sehingga mendidih.
- Sambil menunggu bancuhan susu dan yogurt masak, kupas mangga terlebih dahulu. Kemudian potong kecil isi mangga dengan bentuk kiub.
- Setelah bancuhan susu dan yogurt masak dan gula melarut, tutup api dapur dan biarkan ia sejuk.
- Ambil plastik aiskrim dan masukkan potongan mangga ke dalamnya.
- Kemudian, tuangkan bancuhan susu dan yogurt tadi ke dalam plastik dan ikat dengan kemas.
- Bekukan dalam peti sejuk dan sedia untuk dihidang.
Kesimpulan
Tidak sukar untuk mempelajari cara buat aiskrim Malaysia yang lebih sihat ini.
Hanya gantikan bahan yang kurang sihat dengan bahan lain yang lebih sihat.
Jangan lupa untuk kurangkan penggunaan gula juga. Selamat mencuba ya!
[embed-health-tool-bmi]