Seperti yang diketahui umum, buah limau dan buah lemon adalah dikategorikan sebagai buah sitrus sama seperti pelbagai lagi buah yang lain seperti strawberi, kiwi, belimbing, oren, sitron dan lain-lain.
Buah sitrus ini sangat popular dengan rasanya yang masam dan asidnya yang tinggi lantas menjadikannya sebagai antara bahan utama dalam industri kulinari.
Ia juga sangat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan penambah pelbagai perasa makanan dan minuman serta di dalam bahan pengawet masakan.
[embed-health-tool-bmi]
Kandungan nutrisi buah limau & lemon
Berikut merupakan kandungan nutrisi bagi setiap 100 gram atau 3.5 auns kedua-dua buah sitrus ini:
Buah limau | Buah lemon | |
Kalori | 30 | 29 |
Karbohidrat | 11 gram | 9 gram |
Serat | 3 gram | 3 gram |
Lemak | 0 gram | 0 gram |
Protein | 1 gram | 1 gram |
Vitamin C | 48% RDI | 88% RDI |
Zat besi | 3% RDI | 3% RDI |
Potasium | 3% RDI | 4% RDI |
Vitamin B6 | 2% RDI | 4% RDI |
Vitamin B9 | 2% RDI | 3% RDI |
Kedua-dua buah sitrus ini sebenarnya memiliki kandungan nutrisi yang lebih kurang sama sahaja.
Mungkin terdapat sedikit sahaja perbezaan bagi kandungan kalori, karbohidrat, potasium, vitamin B6 dan vitamin B9.
Namun, kedua-duanya adalah sama sahaja kandungan serat, lemak, protein dan zat besi.
Pun begitu, mungkin perbezaan yang jelas dan nyata adalah kandungan vitamin C.
Seperti yang dapat kita lihat, lemon jauh lebih tinggi kandungan vitamin ini berbanding limau.
Kandungan asid buah limau & lemon
Selain itu, kita juga perlu tahu bahawa terdapat sedikit perbezaan di dalam kadar pH di antara kedua-dua buah sitrus ini, iaitu:
- Buah limau: kadar pH adalah dalam lingkungan 2.00 ke 2.35
- Lemon: kadar ph adalah dalam lingkungan 2.00 ke 2.60
Ini menunjukkan bahawa lemon adalah sedikit berasid berbanding dengan limau.
Manfaat buah limau & lemon terhadap kesihatan
Kedua-duanya mempunyai kandungan antioksida, vitamin dan mineral yang sangat tinggi dan penting untuk kesihatan.
Berikut merupakan manfaat buah-buah sitrus ini terhadap kesihatan individu:
#1. Membantu menguatkan imuniti
Kedua-dua buah sitrus ini adalah kaya dengan kandungan vitamin C, yang turut popular dengan nama asid askorbik. Ia juga mampu membantu menguatkan sistem imun anda.
Vitamin ini mampu merangsang penghasilan sel darah putih yang merupakan lapisan pertahanan yang pertama buat tubuh badan apabila diserang oleh jangkitan atau penyakit.
Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh pihak International Antioxidant Research Centre yang bertempat di King’s College, London, vitamin C dan zat besi yang wujud di dalam buah-buahan sitrus ini mampu mengelakkan kerosakan DNA di dalam sel-sel yang sihat.
#2. Membantu menyegerakan penyembuhan
Seperti mana yang diketahui umum, vitamin C yang terdapat di dalam kedua-dua buah sitrus ini memainkan peranan yang sangat kritikal di dalam penghasilan kolagen.
Ia sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan dan pembangunan otot, sel kulit, tisu dan tulang pada tubuh badan kita.
Tanpanya, tahap penyembuhan penyakit atau jangkitan mahupun kecederaan akan menjadi sedikit perlahan.
#3. Membantu memulihkan penghadaman
Menurut Dr. Sherry Tanumihardjo dari Universiti Wisconsin-Madison, kedua-dua buah sitrus ini juga sebenarnya merupakan sumber serat yang bagus.
Menerusi kajiannya lagi, sifat buah-buah sitrus yang kaya serat ini adalah sangat bagus untuk sistem penghadaman kerana ia dapat melegakan sembelit, menyingkirkan gas dan angin di dalam perut.
3 gram serat yang terdapat dalam buah-buah sitrus ini mewakili sekurang-kurangnya 10 peratus pengambilan serat harian yang dicadangkan.
#4. Membantu melancarkan pengaliran darah
Kedua-dua buah sitrus ini mengandungi zat besi yang sangat tinggi, yang merupakan elemen penting di dalam hemoglobin.
Tanpa paras zat besi yang betul, individu mungkin akan mengalami anemia. Simptom anemia adalah lemah, letih, keliru dan sukar untuk tidur.
#5. Membantu mengurangkan berat badan
Hampir kesemua buah sitrus mengandungi kandungan serat yang sangat tinggi dan kalorinya yang rendah adalah sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam proses menurunkan berat badan.
Sama ada ia digunakan sebagai bahan penambah perasa makanan atau minuman, ia sudah pasti boleh membantu mengurangkan berat badan anda.
Manfaat buah limau & lemon #6. Aktiviti antioksidan
Buah sitrus seperti buah-buah ini mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, di samping penambahan vitamin C, yang boleh memberi kesan kepada radikal bebas.
Menurut beberapa kajian yang lepas, buah-buahan ini mampu merendahkan tahap stres oksidatif sekali gus mengurangkan risiko penyakit yang kronik seperti kanser.
Wujud risiko ambil buah limau dan lemon?
Secara keseluruhannya, kedua-dua buah sitrus ini adalah selamat untuk diambil dan dimakan oleh individu.
Walau bagaimanapun, buah-buahan sitrus ini boleh mengakibatkan rasa yang sakit atau pedih jika terkena pada luka terutamanya ulser yang terdapat di dalam mulut.
Kandungan asidnya yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah gastrik dan pedih hulu hati atau apa-apa masalah penghadaman yang lain terutamanya kepada individu yang pernah mempunyai masalah gastroesophageal reflux disease (GERD).
Selain itu, buah-buahan sitrus ini juga sebenarnya adalah agak berbahaya kepada kesihatan oral.
Jika diambil pada jumlah yang banyak, ia mampu menghakis enamel gigi lantas mengakibatkan kaviti.
Yang mana satu lebih bagus untuk diambil?
Sebenarnya, kedua-dua buah sitrus ini mempunyai kandungan nutrisi yang lebih kurang sama sahaja.
Apa yang membezakannya mungkin adalah kandungan vitamin C yang sangat nyata jauh berbeza.
Limau mungkin kurang kandungan vitamin C namun ia sangat banyak digunakan dalam makanan dan minuman.
Lemon pula mempunyai kandungan vitamin C yang lebih banyak dan tidak kurang hebatnya untuk digunakan di dalam makanan dan minuman.
Jadi, mungkin kita boleh dapat jawapannya bahawa lemon adalah lebih baik.
Oleh itu, apa kata anda mula gunakan lemon untuk menggantikan limau dalam cara pemakanan anda?