Pedal ayam adalah antara organ dalaman haiwan yang mempunyai peminatnya tersendiri selain hati atau jantung ayam. Teksturnya yang kenyal membuatkan ia enak dijadikan sebagai salah satu lauk utama makan tengah hari. Namun, tahukah anda khasiat dan nilai kalori pedal ayam?
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa fungsi pedal ayam?
Seperti yang kita tahu, ayam merupakan sejenis haiwan yang tergolong dalam keluarga burung.
Oleh itu, sistem badannya adalah serupa dengan burung-burung yang lain.
Pedal merupakan sebahagian daripada sistem pencernaan ayam.
Fungsi utamanya adalah untuk menghancurkan makanan yang dimakan oleh ayam.
Kandungan kolesterol dan kalori pedal ayam
Siapa sahaja yang tidak pernah mencuba lauk pedal masak kicap. Ia amat menyelerakan dimakan bersama nasi panas pada waktu tengah hari.
Namun, sebelum anda makan, anda perlu tahu kandungan kalorinya terlebih dahulu.
Bagi satu hidangan pedal iaitu sekitar 145 gram, ia mengandungi sebanyak 223 kalori. Jumlah ini pastinya akan menjadi lebih tinggi berdasarkan cara dan kaedah masakan anda.
Selain itu, ia juga tinggi dengan kandungan kolesterol iaitu sebanyak 537 miligram.
Memandangkan kolesterol yang dimilikinya agak tinggi, anda tidak boleh memakannya dengan kerap setiap hari.
Walau bagaimanapun, jika anda mencari sumber protein yang lebih rendah lemak, pedal merupakan pilihan yang lebih bagus berbanding daging lembu atau kambing.
Kaya nutrien penting untuk tubuh
Sebenarnya, pedal ayam mempunyai beberapa nutrien penting yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh kita.
Pedal mengandungi beberapa jenis vitamin termasuklah vitamin B12 yang penting untuk fungsi otak.
Vitamin B12 juga bertanggungjawab untuk membentuk sel darah putih dan niasin, yang baik untuk peredaran darah.
Selain itu, vitamin ini juga menghasilkan hormon dan riboflavin, yang berperanan memastikan kulit dan rambut anda sentiasa dalam keadaan yang sihat.
Bukan itu sahaja, pengambilan pedal juga boleh meningkatkan tahap penggunaan zat besi, fosforus dan zink.
Zat besi membantu badan anda untuk membentuk sel darah merah dan fosforus, yang memberi manfaat kepada fungsi jantung dan otot.
Kandungan zink pula memainkan peranan dalam meningkatkan fungsi sistem imun tubuh kita.
[embed-health-tool-bmr]
Mengapa pedal ada batu apabila dibersihkan?
Sebelum ini, pernah tular kes di mana seorang pembeli ayam menunjukkan pedal yang dipenuhi dengan batu-batu kecil.
Malah, gambar pedal tersebut telah ditularkan dengan menyatakan bahawa dirinya seolah-olah telah ditipu kerana berat pedal yang dipenuhi dengan batu.
Persoalannya, adakah peniaga ayam sengaja berbuat seperti yang didakwa?
Untuk pengetahuan pembaca, haiwan seperti ayam dan burung-burung lain tidak mempunyai gigi untuk mengunyah atau menghancurkan makanan yang dimakan.
Jadi, sewaktu makan, ayam akan terus menelan makanannya tanpa disiat atau digigit.
Untuk tujuan menghancurkan atau melumatkan makanan yang dimakan, ayam akan menelan bersama batu-batu kecil atau pasir yang akan bertindak sebagai gigi atau bahan pengisar makanan dalam pedal.
Dengan itu, makanan yang telah dimakan akan menjadi lebih kecil atau hancur disebabkan kehadiran batu-batu ini selain enzim dalam pedal.
Jadi, ia adalah satu perkara yang biasa atau semula jadi jika anda menjumpai ketulan batu dan pasir dalam pedal ayam yang dibeli.
Cuci bersih pedal sebelum dimasak
Memandangkan pedal adalah sebahagian daripada saluran pencernaan ayam, maka ia perlu dibersihkan dengan sebaik mungkin sebelum mula dimasak.
Jika tidak, anda pasti akan memasak bersama segala kotoran dan pasir yang terdapat pada pedal tersebut.
Apabila anda membersihkan pedal, belah ia dan bersihkan dengan menggunakan air paip sehingga tiada sebarang kotoran yang melekat.
Setelah itu, kopek dan tanggalkan selaput putih atau kekuningan yang terdapat pada bahagian dalam pedal tersebut.
Kemudian, bilas bersih sekali lagi dan barulah boleh dimasak.
Kesimpulan
Pedal merupakan antara sumber protein, vitamin dan mineral yang sangat baik dan juga murah.
Ia juga kurang kandungan lemak berbanding jenis protein yang lain.
Namun, anda tidak boleh memakannya setiap hari. Ini kerana, ia mengandungi kandungan kolesterol yang agak tinggi.
Oleh itu, jika anda memasak lauk seperti pedal masak kicap atau pedal goreng kunyit, kurangkan jumlah pedal dalam pinggan anda.
Ia sememangnya sedap tetapi boleh membahayakan kesihatan jika dimakan terlalu banyak.