Kebaikan makanan organik itu memang tidak dapat kita sangkal lagi. Kini, ia telah jadi satu trend hangat di mana makin ramai peminat dan pengamal diet daripada sumber ini.
Meskipun ia agak sukar dicari dan mahal dibeli, itu tidak akan menghalang orang ramai daripada terus memilih makanan organik berbanding makanan ‘moden’ yang sedia ada.
Persoalannya, apakah antara manfaat mengambil makanan organik ini? Jom terus baca artikel untuk tahu!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Apa definisi makanan organik?
Jika anda masih belum tahu, makanan organik adalah produk makanan serta minuman yang diproses, dihasilkan dan dikilangkan secara tradisional dan bukan konvensional.
Semua jenis makanan tidak kira daripada sumber haiwan atau tumbuhan yang organik itu bebas dari anasir seperti racun, radiasi, hormon, antibiotik dan lain-lain unsur buruk.
Tambahan itu lagi, makanan organik ini turut tidak wujud unsur daripada bahan tambahan seperti pengawet, pengeras, pewarna, pemanis serta perasa yang punya dampak negatif.
Contohnya adalah variasi jenis sayur-sayuran, buah-buahan, biji-bijian, tenusu dan daging yang ditanam dan diternak tanpa proses itu diganggu atau dicemar oleh persekitaran.
Dalam erti kata lebih mudah, makanan organik adalah makanan sihat? Persoalan ini masih jadi tanda tanya.
Ia wujud dalam banyak kategori?
Anda juga perlu tahu bahawa tidak semua makanan organik itu sama kerana ia turut wujud dalam banyak kategori bergantung kepada peratus bahan organik yang digunakan.
Berikut adalah kelompok kategori mengikut United States Department of Agriculture (USDA):
- 100% produk organik – Tiada bahan lain yang ditambahkan dan dihasilkan dengan cara total organik
- Produk organik – Produk ini mesti mengandungi sekurang-kurangnya 95% bahan organik
- Diperbuat daripada bahan organik – Produk ini mengandungi hampir 70% bahan organik. Ia mungkin tidak memaparkan pengesahan USDA pada pembungkusan tetapi akan menyenaraikan bahan organik tertentu pada label
- Mengandungi bahan organik – Produk ini mengandungi kurang 70% bahan organik. Ia juga tidak memaparkan pengesahan USDA pada pembungkusan tetapi akan menyenaraikan bahan organik tertentu pada label
Manakala di negara kita pula, anda mungkin perlu rujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hal berkaitan dengan makanan atau minuman yang organik.
Dalam usaha anda untuk mendapatkan kebaikan makanan organik dengan penuh, sila lebih peka kepada label produk. Jika kurang pasti, tanya pada mereka yang lebih pakar.
Kebaikan makanan organik buat anda!
Sebenarnya, wujud banyak kebaikan makanan organik terhadap kesihatan tubuh badan termasuk:
#1. Risiko keracunan lebih rendah
Manfaat makanan organik pertama adalah ia mungkin kurang atau tidak langsung mengandungi bahan telah tercemar dengan kotoran, serangga, bakteria dan lain-lain.
Disebabkan itu juga, risiko anda untuk mengalami keracunan makanan adalah lebih rendah. Pun begitu, risikonya masih ada terutama jika ia bukan 100% produk organik.
Kebaikan makanan organik #2. Antioksidan
Menurut kajian melibatkan sayur jagung dan buah beri yang organik serta tidak organik, didapati bahawa produk organik 52% lebih berantioksidan berbanding produk tidak organik.
Ia adalah sangat penting untuk tubuh badan melawan dan mencegah infeksi serta radikal bebas.
#3. Rendah kandungan asid nitrik
Kebanyakan produk yang organik adalah 30% lebih rendah kandungan asid nitrik berbanding produk tidak organik. Ia sangat bagus untuk kesihatan tubuh badan anda.
Ini kerana kandungan nitrat yang tinggi mungkin boleh jadi faktor risiko penyakit. Antaranya adalah beberapa jenis kanser serta gangguan pada hemoglobin sel darah merah.
#4. Tinggi kandungan asid lemak
Asid lemak jenis omega-3 merupakan khasiat penting yang sangat bagus untuk kesihatan sistem kardiovaskular manusia termasuk organ jantung dan salur darah individu.
Berita baik buat anda, ia juga adalah antara kebaikan makanan organik ini. Jadi, usah lagi berfikir atau bertangguh dan mula amalkan produk organik di dalam diet seharian.
Jika makanan itu tidak organik, bermakna ia tidak sihat?
Ya, memang wujud banyak manfaat, kelebihan dan manfaat makanan organik terhadap tahap kesihatan. Namun, ia bukan bermakna yang tidak organik itu tidak bagus.
Apa yang mungkin sama penting dengan apa yang kita makan adalah bila dan berapa banyak kuantiti yang anda ambil. Tanpa produk organik sekali pun, anda masih boleh kekal sihat.
Jika anda ada pertanyaan lebih lanjut tentang perkara ini, dapatkan info dan nasihat daripada doktor!
[embed-health-tool-bmr]