Anda pasti pernah membeli ikan tuna dalam tin bukan? Tahukah anda, berapa jumlah sebenar kalori ikan tuna dalam tin?
Lebih penting lagi, adakah selamat memakan ikan tuna dalam tin berbanding ikan segar?
Nutrisi sebenar ikan tuna dalam tin
Pernahkah anda terfikir, adakah ikan tuna dalam tin ini dianggap sebagai makanan yang sihat atau makanan segera seperti jenis makanan dalam tin lain?
Berikut adalah kandungan nutrisi dan juga kalori ikan tuna bertin berbanding jenis yang lain.
Kita lihat kepada tiga jenis penyediaan ikan tuna seperti di bawah ini:
Ikan tuna segar
- Kalori ikan tuna: 31
- Jumlah lemak: kurang 1 gram
- Lemak tepu: kurang 0.5 gram
- Kandungan omega-3: DHA (25 mg), EPA (3 mg)
- Kolesterol: 11 mg
- Garam: 13 mg
- Protein: 7 gram
Ikan tuna bertin, bersama minyak
- Kalori ikan tuna: 56
- Jumlah lemak: 2 gram
- Lemak tepu: kurang 1 gram
- Kandungan omega-3: DHA (29 mg), EPA (8 mg)
- Kolesterol: 5 mg
- Garam: 118 mg
- Protein: 8 gram
Ikan tuna bertin, bersama air
- Kalori ikan tuna: 24
- Jumlah lemak: kurang 1 gram
- Lemak tepu: kurang 0.5 gram
- Kandungan omega-3: DHA (56 mg), EPA (8 mg)
- Kolesterol: 10 mg
- Garam: 70 mg
- Protein: 6 gram
Kalori ikan tuna bertin bersama minyak jauh lebih tinggi berbanding ikan tuna segar dan ikan tuna tin bersama air. Namun, kedua-dua jenis tuna bertin adalah tinggi kandungan garam berbanding ikan tuna segar.
Kadar protein pula adalah hampir sama bagi ketiga-tiga jenis ikan. Nutrisi ikan tuna dalam tin juga bergantung kepada jenis jenama, saiz hidangan dan juga resepi penyediaan ikan tersebut.
Kebaikan memakan ikan tuna dalam tin
Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan, tuna dalam tin adalah pilihan yang baik kerana ia rendah dengan kalori tetapi tinggi kandungan protein.
Selain ia rendah kandungan lemak, ikan tuna juga adalah sumber asid lemak omega-3 yang sangat baik. Omega-3 adalah lemak diet penting yang bermanfaat untuk kesihatan jantung, mata, dan otak.
Walaupun anda boleh mendapatkan omega-3 daripada sumber tumbuhan, tetapi ikan dianggap sebagai sumber omega-3 yang terbaik.
Pengambilan tuna dalam tin adalah cara mudah untuk anda meningkatkan kandungan omega-3 dalam makanan anda.
Selain daripada kandungan omega-3, tuna dalam tin juga membekalkan anda dengan beberapa jenis vitamin dan mineral yang baik, terutama vitamin D dan selenium.
Perlu diingat, walaupun ia adalah makanan dalam tin, ia masih lagi sihat dan selamat untuk dimakan kerana ia diproses secara minimum. Kebanyakan produk ikan tuna bertin ini hanya mengandungi kandungan ikan tuna, air atau minyak, dan juga garam.
Beberapa jenama lain juga mengeluarkan resepi ikan tuna mereka bergantung kepada jenis penyediaannya.
Adakah selamat untuk makan ikan dalam tin seperti ini?
Perkara yang menjadi kebimbangan bukanlah mengenai keadaan tuna yang ditinkan tersebut.
Tetapi isu utama adalah kandungan merkuri dalam ikan tersebut. Adakah kandungan merkuri ikan tuna bertin ini berada pada kadar selamat untuk dimakan berbanding ikan tuna segar?
Untuk pengetahuan anda, merkuri adalah sejenis logam berat yang sering terdapat pada ikan disebabkan oleh pencemaran air.
Kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada paras merkuri yang tinggi dapat menyebabkan masalah kesihatan yang serius pada manusia. Ini termasuklah gangguan pada sistem saraf pusat.
Kebanyakan ikan pemangsa atau ikan bersaiz besar akan memakan ikan kecil lain yang sudah tercemar dengan merkuri.
Memandangkan ikan tuna juga memakan ikan-ikan kecil yang lain di lautan, kandungan merkuri mungkin terkumpul dalam badan ikan tuna tersebut.
Semakin besar jenis ikan tuna tersebut, maka kepekatan merkuri akan menjadi semakin tinggi. Namun, ikan tuna bertin biasanya menggunakan jenis ikan tuna yang lebih muda dan lebih kecil.
Oleh itu, kandungan merkurinya adalah jauh lebih sedikit dan lebih selamat untuk dimakan berbanding ikan tuna segar atau sejuk beku.
Ikan tuna bertin tinggi kandungan garam
Selain kandungan merkuri, perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai ikan tuna dalam tin ialah kandungan garam dan juga lemaknya.
Ikan tuna dalam tin mempunyai kandungan garam yang jauh lebih tinggi berbanding ikan tuna segar.
Oleh itu, jika anda mahu membeli ikan tuna bertin, pilihlah jenama yang mempunyai kandungan garam yang sedikit.
Selain itu, anda juga digalakkan untuk memilih ikan tuna bersama air berbanding bersama minyak. Ini bertujuan mengurangkan pengambilan kalori berlebihan melalui ikan tuna tersebut.
[embed-health-tool-bmr]