Mungkin anda pertama kali mendengar mengenai diet Whole30 atau ringkasnya, diet 30 hari. Apakah itu pelan diet 30 hari? Apakah manfaat dan risikonya kepada tubuh?
Ini yang perlu anda tahu mengenai diet 30 hari.
Apakah itu diet 30 hari?
Diet Whole30 atau pelan diet 30 hari merupakan satu pergerakan kesihatan viral yang semakin popular.
Ia mula diperkenalkan pada tahun 2009 oleh dua pakar pemakanan sukan.
Mereka mempromosikan pelan diet ini sebagai satu kaedah untuk mengatur metabolisme tubuh dan membentuk semula hubungan anda dengan makanan.
Diet ini memberikan fokus kepada idea bahawa kumpulan makanan tertentu boleh mempengaruhi kesihatan dan kecergasan anda secara negatif.
Oleh itu, menyingkirkan jenis makanan ini dapat membantu tubuh anda untuk pulih daripada kesan negatif dan meningkatkan kesihatan jangka panjang.
Diet 30 hari ini menggalakkan pengikutnya untuk tidak mengambil alkohol, gula, biji-bijian, kekacang, produk tenusu dan bahan tambahan lain dalam diet mereka selama 30 hari.
Mereka yang mengamalkan diet ini begitu yakin mengenai manfaat kesihatannya.
Namun, ada sesetengah pihak yang menyatakan bahawa diet ini merupakan antara jenis diet yang kurang baik kepada tubuh.
Pro dan kontra amalan diet 30 hari
Pelan diet 30 hari ini dipenuhi dengan makanan yang sihat dan kaya dengan nutrisi.
Ini termasuklah kandungan protein, sayur-sayuran, buah-buahan, dan lemak sihat.
Sebilangan besar pengamal diet ini melaporkan mereka berasa lebih sihat secara fizikal, mental, dan emosi setelah mengamalkan diet ini.
Pakar pemakanan bersetuju bahawa menghentikan pengambilan gula tambahan dan makanan yang diproses ialah antara salah satu tabiat pemakanan yang amat baik.
Tambahan pula, diet ini juga boleh membantu anda mengenal pasti jenis makanan yang mungkin mencetuskan alahan kepada tubuh badan.
Namun, diet ini juga mempunyai beberapa kekurangannya.
Apabila mengikuti pelan diet khusus ini, anda perlu membaca label makanan dengan teliti selain terpaksa mengelakkan pembelian makanan di kebanyakan restoran.
Selain itu, anda juga perlu merancang pelan pemakanan dengan lebih awal, dan terpaksa menyediakan makanan daripada permulaan.
Ia boleh memakan lebih banyak masa anda dan ramai yang menganggap ia sebagai satu bahagian yang paling mencabar dalam diet ini.
Apabila mengamalkan diet ini, ia juga boleh menyebabkan anda sukar untuk bersosial dengan keluarga dan rakan-rakan.
Bagaimana pelan diet 30 hari ini berfungsi?
Pelan diet ini direka khas berdasarkan penyelidikan mengenai bagaimana nutrien yang berbeza dapat mempengaruhi tubuh. Pelan diet ini tidak menyekat waktu makan anda.
Walau bagaimanapun, ia mengesyorkan anda untuk makan tiga kali sehari dan tidak mengambil sebarang snek atau makanan ringan antara selang waktu makan tersebut.
Walaupun program awal diet ini berlangsung selama 30 hari, pengenalan semula makanan mungkin memerlukan lebih banyak masa.
Dalam tempoh ini, anda perlu menambahkan satu kumpulan makanan dalam satu-satu masa.
Selain itu, anda juga perlu makan pelbagai jenis makanan dalam kumpulan tersebut selama tiga hari dalam beberapa hidangan.
Kumpulan makanan ini boleh ditambah tanpa sebarang turutan tertentu.
Walau bagaimanapun, sesetengah individu memilih untuk mengambil kekacang terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan biji-bijian tanpa gluten, susu, dan kemudiannya biji-bijian yang mengandungi gluten.
Setelah anda mengambil semula kumpulan makanan ini, perhatikan gejala seperti gastrik, ruam, sakit badan, atau penurunan tenaga yang berlaku kepada tubuh.
Apa yang boleh dimakan dalam diet ini?
Semasa mengikuti diet ini, anda mesti fokus untuk mengambil makanan yang belum diproses sepenuhnya.
Ini termasuklah protein haiwan, sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, dan lemak sihat.
Pada masa yang sama, anda perlu mengelakkan biji-bijian, legum, produk tenusu, gula tambahan, gula tiruan, alkohol, dan bahan tambahan tertentu.
Berikut ialah peraturan yang mesti anda ikuti:
- Makan daging, makanan laut, dan telur secara sederhana. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah-buahan, lemak semula jadi, herba dan juga rempah
- Makan makanan yang belum diproses
- Elak makanan yang telah dilarang walaupun dalam jumlah yang kecil selama 30 hari
Setelah 30 hari mengikuti pelan diet ini, anda boleh mula mengambil kumpulan makanan lain secara perlahan-lahan dalam satu-satu masa.
Perhatikan jika kumpulan makanan tersebut ada mencetuskan sebarang reaksi kepada tubuh anda.
Selamat mencuba ya!