Apa Yang Patut Anda Makan Dan Elak Jika Menghidapi COPD?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Seramai kira-kira 384 juta individu menderita penyakit COPD di seluruh dunia dan lebih 3 juta kematian adalah disebabkan olehnya pada setiap tahun. Mungkin ada dalam kalangan kita yang tahu bahawa ia mempunyai kaitan dengan paru-paru dan perlu dirawat dengan kadar segera. Pun begitu, masih ramai yang belum tahu bahawa ia juga mempunyai kaitan dengan aspek penjagaan pemakanan kita. Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.

Apa itu COPD?

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah salah satu daripada penyakit paru-paru yang biasa dan mengakibatkan penderitanya mengalami kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis utama COPD, iaitu:

  • Bronkitis kronik
  • Emfisema

Pun begitu, kebanyakan individu dengan penyakit ini akan menghidapi kombinasi antara kedua-dua kondisi ini.

Apa simptom COPD?

Antara simptom penyakit ini adalah seperti berikut:

  • Batuk, dengan atau tanpa kahak
  • Pelbagai jangkitan pernafasan
  • Kerap sesak nafas (dispnea)
  • Kerap mengeluarkan bunyi mendesah
  • Keletihan

Namun begitu, kebanyakan individu tidak mengetahui bahawa mereka menghidapi penyakit ini kerana simptom-simptomnya akan berkembang secara perlahan. Sebaiknya, segera berjumpa doktor sekiranya anda mula berasa sesuatu yang pelik terhadap sistem pernafasan anda.

Apa punca COPD?

Penyakit ini adalah berpunca daripada beberapa perkara, termasuklah:

  • Merokok
  • Kekurangan protein alpha-1 antitrypsin dalam tubuh badan
  • Terdedah kepada gas atau asap di tempat kerja
  • Terdedah kepada pencemaran atau asap pasif perokok
  • Penggunaan dapur memasak yang terlalu kerap tanpa sistem pengudaraan yang baik

Jika anda telah didiagnosis dengan penyakit ini, doktor berkemungkinan besar akan menasihatkan anda untuk menjaga dan mengawal pemakanan anda. Jadi, makanan apakah yang sesuai atau tidak sesuai untuk anda makan jika menghidap penyakit ini?

Makanan yang bagus untuk dimakan oleh penghidap COPD

  • Makanan yang kaya protein seperti yang terdapat dalam daging haiwan pemakan rumput, daging ayam, telur ayam, ikan salmon, ikan sardin dan ikan makerel.
  • Makanan yang kaya potasium seperti yang terdapat dalam aprikot, asparagus, tomato, ubi kentang, pisang dan oren
  • Karbohidrat kompleks seperti yang terdapat dalam kekacang, barli, ubi kentang dan oat
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan segar yang mengandungi vitamin, mineral dan serat

Makanan yang perlu dielak oleh penghidap COPD

  • Makanan bergaram atau berperisa seperti snek dan makanan ringan
  • Makanan bergoreng atau makanan pedas seperti kentang goreng atau ayam goreng
  • Coklat yang mengandungi kafein

Ya, penjagaan diet mungkin tidak berkeupayaan untuk memulihkan sepenuhnya penyakit ini namun ia mungkin membantu tubuh badan anda melawan jangkitan pada dada yang akhirnya boleh mengakibatkan anda terpaksa dimasukkan ke hospital. Dalam masa yang sama, tabiat makan yang sihat memang bagus untuk memastikan anda dapat menjalani hidup yang sihat, bukan? Jadi, tidak salah untuk anda mengikuti panduan ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut