backup og meta

Gaji Isteri Lebih Besar Menyebabkan Suami Rasa Merendah Diri Dan Boleh Jadi Punca PERCERAIAN!

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/07/2020

    Gaji Isteri Lebih Besar Menyebabkan Suami Rasa Merendah Diri Dan Boleh Jadi Punca PERCERAIAN!

    Kebanyakan wanita zaman sekarang cenderung memilih untuk bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Ia adalah perkara yang bagus dalam usaha memperkasakan wanita dan mengukuhkan lagi kesamarataan gender. Namun, ia mungkin mendatangkan stres buat individu yang bergelar suami. Ingin tahu lebih lanjut? Jom baca artikel ini!

    Kajian terbaharu di Amerika

    Menurut kajian baru-baru ini yang dijalankan terhadap 6,000 pasangan suami isteri di Amerika oleh University of Bath, UK, suami didapati akan mengalami stres apabila gaji isteri besar dan mampu menampung perbelanjaan keperluan rumah sebanyak 40%.

    Kajian yang dijalankan selama lebih 15 tahun ini menunjukkan pola yang menarik. Suami akan stres jika isteri tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah. Jika isteri bekerja dan gaji mereka hampir mencecah 40% perbelanjaan isi rumah pula, stres suami akan berkurangan. 

    Namun, stres suami akan kembali meningkat jika gaji isteri mula melebihi 40% perbelanjaan isi rumah. Menurut Dr Joanna Syrda yang merupakan seorang pakar ekonomi, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tekanan yang dialami oleh suami berkaitan gaji isteri yang besar adalah berbahaya kepada kesihatan mereka!

    Impak kesihatan yang mungkin dialami oleh kaum Adam akibat daripada situasi ini adalah masalah kesihatan pada aspek fizikal, mental dan sosial mereka. Dr Syrda menegaskan bahawa isu gaji isteri yang besar mungkin akan membuat lelaki berasa rendah diri, sekali gus mencipta jurang yang agak luas dalam perhubungan mereka.

    Dalam erti kata yang lain, suami akan berasa seperti diri tidak berguna dan stres kerana terpaksa bergantung kepada isteri untuk menanggung perbelanjaan isi rumah yang semakin mahal zaman sekarang.

    Trend kini yang tidak sama seperti dulu

    Zaman sekarang, kebanyakan wanita bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri untuk membantu suami menjana pendapatan. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pew Research Centre pada tahun 1980 di Amerika, 13% daripada isteri yang bekerja mempunyai gaji yang lebih besar dari suami. Menjelang tahun 2017 pula, statistik tadi semakin meningkat dan dijangka akan terus menaik menuju tahun-tahun yang berikutnya.

    Dr Sydra menyatakan bahawa dia dan rakan-rakan pengkajinya amat berminat untuk melihat bagaimana trend ini memberi kesan kepada perhubungan suami isteri.

    “Gaji isteri yang lebih besar dari suami akan menyebabkan satu trend yang dikenali sebagai ‘gender role reversals’. Trend ini sebenarnya agak berbahaya kepada kaum lelaki kerana ia mungkin menjejaskan kesihatan mereka dari aspek fizikal, mental, sosial dan lebih menakutkan, mengakibatkan penceraian”, kata beliau lagi.

    stres

    Jadi, apa perlu buat untuk elak suami stres?

    Tujuan artikel ini ditulis bukan untuk merendahkan para suami sebagai ketua keluarga. Namun situasi ini adalah realiti dunia yang berlaku pada hari ini. Jika isteri anda mempunyai gaji yang besar dan mampu menanggung separuh atau lebih daripada perbelanjaan isi rumah anda, jangan stres. Ini apa yang perlu dilakukan oleh kedua pasangan.

    #1. Jangan terlalu merendah atau meninggi diri

    Perkara ini adalah norma yang agak normal pada zaman sekarang. Sebagai suami, jangan terlalu merendah diri. Jika gaji anda lebih kecil dan tidak mampu menanggung sepenuhnya keperluan isi rumah, jangan sesekali anda berasa stres. Sebaliknya, tolong hargai usaha dan pengorbanan isteri dalam membantu menjana pendapatan isi rumah anda.

    Meskipun situasi seperti ini dianggap sebagai satu kebiasaan kini, adat dan agama masih perlu dititikberatkan. Sebagai isteri, jangan sesekali meninggi diri jika gaji anda lebih besar dari suami kerana mereka tetap ketua dalam keluarga yang perlu dipatuhi dan dihormati. Kerjasama memang diperlukan dalam rumah tangga, bukan?

    Pun begitu, jangan pula suami berasa terlalu selesa, ya? Tanggung jawab memimpin dan menanggung keperluan keluarga ada berada di bahu anda!

    #2. Elak pertelingkahan berkenaan kewangan di hadapan individu lain

    Ini adalah perkara yang sangat perlu pasangan suami isteri elakkan terutamanya di hadapan anak-anak dan juga individu luar!

    Ya, memang perselisihan faham biasa terjadi dalam rumah tangga. Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Namun, ia perlu dielakkan di hadapan individu lain lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal kewangan.

    Ini kerana semasa bertengkar, kita mungkin tidak dapat mengawal perkataan kita ekoran perasan marah yang sedang membuak-buak. Jadi, kemungkinan untuk pasangan mengungkit tentang gaji masing-masing juga ada.

    Oleh itu, cuba kawal perasaan marah anda dan jangan sesekali bertengkar berkenaan kewangan di hadapan orang lain, ya?

    #3. Wujudkan simpanan kewangan bersama

    Apa maksudnya? Anda dan pasangan sebenarnya boleh membuat simpanan bersama-sama di dalam satu tabung. Anda mungkin boleh mewujudkan satu akaun bank khas untuk simpanan masa hadapan. Kemudian, setiap bulan suami dan isteri perlu menyimpan sejumlah wang yang sama amaunnya di dalam akaun tersebut. Bekukan, kemudian gunakan pada hari senja kelak.

    Dengan usaha ini, mungkin tiada lagi istilah mengungkit atau bergaduh sesama pasangan mengenai gaji masing-masing lagi.

    #4. Tetapkan peruntukan yang berbeza

    Sebagai contoh, suami mungkin boleh membelanjakan gajinya untuk hal keperluan rumah seperti membayar bil, ansuran kereta dan rumah serta perbelanjaan dapur. Manakala gaji isteri mungkin boleh digunakan untuk kegunaan kecemasan serta shopping! Sudah lumrah wanita gemar membeli-belah, bukan? 

    Cuma sebagai suami, anda perlu ingat duit anda adalah duit isteri juga manakala duit isteri adalah duit isteri sahaja. Jadi, jangan terlalu bergantung pada isteri. ya?

    #5. Saling membantu antara satu sama lain

    Pernah dengar lagu tema Wonderpets? Apa yang penting, kerjasama! Ya, begitulah juga dalam kehidupan suami isteri. Jika suami di dalam kesulitan dari segi kewangan, isteri boleh membantu dan begitulah sebaliknya. Jangan pula anda berasa s dan usah pula anda berasa pasangan anda itu menyusahkan.

    Kehidupan suami isteri perlulah erat dan jitu. Sebagaimana aur dan tebing, kedua-duanya saling memerlukan dan melengkapi satu sama lain.

    Konklusi

    Kesimpulannya, gaji isteri yang besar tidak sepatutnya mendatangkan stres kepada suami. Apatah lagi membuat suami stres. Ia sepatutnya menjadi satu motivasi buat para suami untuk bekerja dan berjaya lebih lagi dalam kerjaya mereka.

    Sebenarnya, ia juga adalah satu kelebihan untuk suami. Sekiranya anda berada dalam kesulitan, maka sentiasa ingat yang isteri anda selalu ada untuk membantu anda. Namun, jangan sesekali bergantung sepenuhnya kepada mereka pula ya!

    Suami adalah nakhoda kapal layar yang sedang menuju ke pulau kebahagiaan. Pastikan anda sebagai suami mengawal navigasi kapal itu supaya tetap kekal di landasannya. Sebagai isteri pula, sentiasa sokong suami anda dari belakang. Dengan ini, nescaya perhubungan anda berdua boleh kekal sehingga ke jannah.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 22/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan