backup og meta

Aaron Aziz Tersentak Bila Anak Tanya Gaji untuk Sejam, Ini 5 Cara Luang Masa Berkualiti dengan Anak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/06/2020

    Aaron Aziz Tersentak Bila Anak Tanya Gaji untuk Sejam, Ini 5 Cara Luang Masa Berkualiti dengan Anak

    “Berapa banyak gaji Daddy untuk sejam?” Apakah perasaan anda sebagai ibu bapa jika mendapat pertanyaan seperti ini daripada ahli keluarga anda terutamanya anak anda? Ini yang dialami oleh pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz. Baru-baru ini, anak bongsunya, Dahlia Arissa yang berumur 9 tahun, bertanyakan kepada isterinya berkenaan jumlah bayaran yang diterimanya dalam tempoh sejam.

    Isterinya, Datin Diyana Halik kemudiannya menjawab bahawa bayaran yang diterimanya terlalu mahal dan bertanya kembali kepada anaknya mengapa bertanyakan berkenaan hal tersebut. Luluh hatinya apabila anak bongsunya itu memberitahu bahawa dia ingin ‘membeli masa’ selama satu hingga dua jam untuk bersama-sama pelakon itu.

    Dilema seperti yang dialami oleh Aaron Aziz ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan selebriti sahaja, malah ia turut berlaku dalam kalangan ibu bapa yang sibuk bekerja dari pagi sehinggalah malam.

    Secara tidak sedar, kesibukan bekerja telah menjadikan ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka dalam meluangkan masa bersama anak-anak. Ada juga yang langsung tidak menghiraukan berkenaan hal ehwal kebajikan anak-anak dan menyerahkan kesemuanya secara bulat-bulat kepada pembantu rumah.

    Ibu bapa yang prihatin terhadap anak-anak mereka perlulah sentiasa cakna berkenaan keadaan dan situasi anak-anak mereka. Oleh itu, apa yang boleh anda usahakan bagi memastikan anak-anak anda tidak berasa terpinggir dan mendapat perhatian yang secukupnya daripada anda?

    Langkah mudah luangkan masa bersama anak

    aaron aziz

    • Wujudkan rutin hujung minggu. Anda boleh memilih waktu tertentu semasa hujung minggu seperti pagi atau petang Sabtu untuk melakukan aktiviti bersama-sama di rumah atau keluar bersiar-siar. Siapkan makan tengah hari di rumah dan bawa bersama sebagai bekalan berkelah ketika bersiar-siar. Cara ini lebih menjimatkan dan lebih mengeratkan hubungan antara ahli keluarga.
    • Makan malam bersama. Ia mungkin kelihatan biasa, tetapi ia boleh menjadi satu medium terbaik untuk kesemua ahli keluarga berkumpul setelah sibuk dengan tugasan masing-masing di siang hari. Pada waktu makan malam, kesemua ahli keluarga berpeluang untuk berborak mengenai aktiviti mereka pada siang hari. Ibu bapa boleh bertindak dengan cara memberikan nasihat dan galakan kepada anak-anak selain menunjukkan minat kepada apa yang disampaikan oleh anak-anak.

    ibu bapa

    • Bantu kerja rumah anak. Untuk ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, cuba untuk pulang ke rumah pada waktunya bagi memberikan sedikit ruang bersama anak anda dengan cara membantu mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru. Cara ini sedikit-sebanyak membantu anak anda menyelesaikan kerja sekolah mereka dengan bantuan dan sokongan anda. 
    • Bermain permainan video. Anda tidak perlu terlalu tegas dalam mendidik anak. Sesekali, anda boleh memilih untuk melakukannya dengan cara yang lebih santai seperti bermain permainan video bersama-sama anak anda.

    ibu bapa

  • Rancang percutian berkala. Untuk rancangan jangka panjang, anda boleh merancang untuk mengadakan percutian bersama ahli keluarga terutamanya pada musim cuti persekolahan. Gunakan cuti tahunan anda untuk bercuti bersama-sama anak anda. Percutian tidak semestinya memerlukan kos yang besar dan lokasi yang jauh, asalkan tempat yang dituju cukup memberikan kepuasan kepada anda sekeluarga.
  • Kesimpulan

    Sebagai ibu bapa, anda perlu meletakkan keutamaan atau prioriti kepada anak-anak anda. Masa bersama anak dan keluarga bukanlah satu pilihan, sebaliknya ia adalah satu kemestian bagi individu yang bergelar ibu dan bapa.

    Sesibuk manapun anda bekerja, anak adalah keutamaan yang paling atas berbanding pekerjaan anda. Contohilah Aaron Aziz yang berusaha untuk meluangkan masa bersama anaknya sejurus mengetahui luahan hati kecil anaknya berkenaan ketidakcukupan masa yang diluangkan bersama mereka.

    Institusi keluarga yang baik bermula daripada ibu dan bapa yang prihatin. Oleh itu, jadilah ibu bapa yang prihatin kepada kehendak dan keperluan anak-anak walaupun anda begitu komited terhadap kerja dan tugas anda. 

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan