backup og meta

Anak Jadi Terlalu Manja Sebab Salah Mak Ayah? Bertindak Sebelum Menyesal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/03/2020

    Anak Jadi Terlalu Manja Sebab Salah Mak Ayah? Bertindak Sebelum Menyesal

    Anak meraung, menjerit dan bergolek sakan di mall gara-gara permintaannya untuk membeli mainan baru tidak dipenuhi, pernahkah anda melihat situasi tersebut atau melaluinya sendiri? Adakah itu dinamakan anak manja?

    Sayangkan anak

    Tiada ibu mahupun bapa yang tidak sayangkan anak, apatah lagi jika si manja merupakan satu-satunya zuriat dalam keluarga setelah bertahun-tahun menunggu. Disebabkan itu, segala permintaan dan keinginan si manja pastinya akan cuba dipenuhi, walaupun adakalanya apa yang diingini itu lebih kepada satu pembaziran.

    Adakalanya apabila ibu bapa tidak mahu menunaikan permintaan si kecil, maka akan berlangsunglah babak tangisan dan jeritan. Kebiasaannya babak seperti ini akan berakhir dengan ibu bapa menurut sahaja permintaan si kecil semata-mata tidak mahu babak tangisan dan jeritan berpanjangan terutama di tempat awam.

    anak manja

    Menjadi kebiasaan

    Namun, tanpa disedari tindakan tersebut sebenarnya telah menanam satu stigma dalam fikiran si kecil: apa yang diminta akan diperolehi. Tiada kompromi. Jika itu yang diingini, pasti harus ditunaikan. Sekiranya tidak, tangisan dan jeritan adalah kunci utamanya.

    Sememangnya keadaan seperti ini adalah satu perkara yang biasa untuk berlaku, pada mana-mana ibu bapa sekalipun. Sama ada ibu bapa baru ataupun mereka yang sudah memiliki lebih daripada seorang anak.

    Isu anak manja ini sebenarnya sudah semakin berlambak. Malahan dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh Parenting and Today Moms mendapati lebih daripada 59 peratus ibu bapa merasakan bahawa anak-anak mereka lebih dimanjakan berbanding ketika mereka berada pada usia yang sama. 

    Apa yang menyebabkan anak menjadi manja?

    Anak yang terlalu dimanjakan adalah anak yang sering mendapat atau memperolehi apa yang mereka mahukan. Seringkali mereka ini tidak boleh menerima sebarang penolakan. Bermakna ‘TIDAK’ adalah jawapan yang tidak ingin mereka dengari.

    Menurut pakar psikologi pendidikan dan juga pengarang “UnSelfie: Why Empathetic Kids Succeed in Our All-About-Me World”, Michele Borba, “Setiap kanak-kanak dan juga individu dewasa mempunyai off-day (iaitu hari di mana emosi dan mood dalam keadaan tidak begitu baik), namun bagi kanak-kanak yang terlalu dimanjakan, mereka terperangkap dalam mod ‘me’ sepanjang masa.”

    Ini bermakna segalanya hanyalah berkisar mengenai keperluan, keinginan, perasaan, permintaan mereka semata-mata dan apa yang melibatkan individu lain adalah merupakan perkara yang kedua.

    Bagi ahli psikologi klinikal, Laura Markham, isu wujudnya anak manja ini sebenarnya merupakan satu perkara yang harus dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa dan bukannya kanak-kanak itu sendiri atas kelakuan yang ‘rosak ‘ ini. 

    “Kanak-kanak akan melakukan apa yang kita ajarkan kepada mereka, mengenai apa yang mereka jangkakan. Sekiranya kita memberikan sepenuh kasih sayang dan tidak pernah menetapkan sebarang had, maka anak itu tidak akan dapat menerima batasan yang akan diwujudkan kemudian hari,” jelas Laura. 

    Tidak sampai hati menolak keinginan

    Apabila ibu bapa memanjakan dan memenuhi permintaan anak-anak mereka, niat mereka adalah baik walaupun mungkin terpesong. Ibu bapa sering kali memanjakan anak kerana mahu memberikan mereka kehidupan yang terbaik, yang mungkin tidak diperolehi oleh diri sendiri sewaktu membesar

    Terdapat sesetengah ibu bapa yang bimbang jika mereka menyatakan “tidak” dengan tegas, ia akan menyakiti hati dan perasaan si kecil, dan mungkin akan menyebabkan keyakinan diri mereka terjejas. 

    Selain itu, ada juga ibu bapa yang berada dalam situasi terlalu letih untuk menguatkuasakan sebarang peraturan di dalam rumah atau tidak tahu bagaimana untuk mewujudkan sesuatu peraturan.

    “Ia sebenarnya lebih mudah untuk mengikut apa sahaja kemahuan si kecil apabila ibu bapa dalam keadaan yang letih. Kebanyakan mereka tidak suka mengatakan “tidak” apabila pulang ke rumah setelah seharian bekerja,” ular Michele.

    Tanda-tanda anak manja

    Anda rasa anak anda bukanlah anak manja, tetapi mengapa pula individu di sekeliling anda mengatakan sebaliknya? Hmmm…keliru jadinya. Jangan risau, berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan anak anda adalah anak manja:

    1. Menangis

    Jika sebarang keinginan tidak dipenuhi, mereka akan menggunakan tangisan, jeritan dan raungan sebagai senjata untuk memprotes keputusan anda.

    1. Tidak puas

    Si kecil sentiasa inginkan pakaian dan mainan baru. Walaupun pada hakikatnya mereka sudah mempunyai terlalu banyak permainan dan pakaian, sehinggakan ada yang tidak pernah mereka sentuh atau pakai sekali pun. 

    1. Tidak suka menolong

    Segalanya hanya berkisarkan mengenai diri mereka semata-mata. Walaupun perasaan mementingkan diri ini dikatakan sebagai sesuatu yang normal dalam diri anak kecil, tetapi ia juga sebenarnya tanda mereka terlalu dimanjakan.

  • Segera
  • Segala keinginan mereka harus dipenuhi pada kadar yang segera. Apabila mereka inginkan sesuatu, itu bermakna mereka mahukan pada masa itu juga. 

    1. Menang sentiasa

    Anak yang manja ini selalunya tidak suka dengan kekalahan. Sama ada ia sekadar untuk bersuka ria dalam sesebuah pertandingan. Mereka akan berdepan masa yang sukar untuk menerima kekecewaan.

    1. Berbohong

    Sering kali si kecil yang dimanjakan akan mempunyai sikap menyalahkan individu lain atau berbohong untuk menutup kesilapan serta untuk menyelamatkan diri. Jika ia adalah satu tabiat, anda perlu melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kebiasaan ini.

    Bagaimana mengatasi isu anak yang manja?

    Haaa…ada tak tanda-tanda anak manja pada si comel anda? Ada? Jangan risau, setiap masalah sudah tentu ada penyelesaiannya. Berikut dikongsikan beberapa tip untuk mengatasi masalah anak yang manja ini.

    Persediaan

    Untuk mengubah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan pada diri anak-anak, anda perlu bersedia untuk berdepan dengan penolakan daripada si kecil. Jika mereka menangis dan bersedih, biarkan mereka untuk berada dalam keadaan itu sehingga mereka bertenang sendiri. 

    Belajar katakan “tidak”

    Ada masanya penolakan itu adalah perkara yang tidak salah untuk dilakukan. Anda perlu membiasakan diri untuk mengatakan “tidak” tanpa rasa bersalah dan bertegas mengenainya. Wujudkan had atau batasan kepada anak-anak dan pastikan anda mematuhi apa yang anda sendiri tetapkan.

    Fikirkan tentang individu lain

    Cuba didik dan terapkan pada si manja untuk mula memikirkan mengenai individu lain. Terapkan dalam fikiran mereka pada kehidupan ini bukan hanya berkisarkan mengenai diri mereka semata-mata. 

    Galakan

    Ada masanya, si manja mungkin tidak dapat mencapai seperti apa yang anda harapkan, jangan melenting. Sebaliknya berikan galakan dan sokongan untuk mereka memberikan yang lebih baik pada masa hadapan.

    Akhir kata

    Sebagai ibu bapa, kita semua mahukan yang terbaik untuk si comel. Walau bagaimanapun, ia bukan bermakna kita perlu membesarkan mereka untuk menjadi anak manja. Belajar untuk menetapkan batasan dalam setiap perkara. Menyayangi tidak bermaksud anak anda perlu menjadi anak yang terlalu dimanjakan. 

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/03/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan